Ahad, Mac 22, 2015

Anggota Rela Berbangsa India tekun menjaga Lalulintas Masjid


Oleh: Noraizura Ahmad

Puchong – Tidak kira panas atau hujan, demi tugas yang digalas, tiga anggota RELA tetap setia menjaga keadaan lalu lintas di hadapan Masjid As-Salam di Puchong Perdana, setiap kali tibanya waktu solat Jumaat.

Masjid As-Salam merupakan masjid bagi kaum lelaki beragama Islam di kawasan berdekatan mengerjakan solat Jumaat, ia juga menjadi tumpuan kepada peniaga yang mengambil kesempatan mencari rezeki di situ.

Seperti kebanyakan masjid di Lembah Klang, keadaan di sekitar rumah Allah itu akan sesak dengan jemaah dan penjual dan kadang-kadang khidmat RELA untuk menguruskan keadaan lalu lintas dan tanggungjawab itu jatuh ke bahu tiga individu; Leftenan Rela Selvan Benjamin, 52, Chanoren Andrews, 49 dan Kannan Muniandy, 41.


Ketiga-tiga mereka tidak pernah menganggap tugas yang diberikan untuk mengawal lalu lintas adalah beban apatah lagi rumah ibadat yang dipertanggungjawabkan bukanlah untuk agama mereka, tetapi demi tugas mereka tetap membantu antara satu sama lain.

Selvan, yang sudah lebih setahun bertugas mengawal lalu lintas di sekitar masjid berkenaan, merupakan ketua yang akan memastikan dua anggotanya lain menjalankan tugas dengan baik sepanjang mereka berada di kawasan masjid.

Tugas sebagai anggota RELA itu bermula dari jam 10.30 pagi hingga 2.30 petang iaitu sehingga semua jemaah masjid selesai menunaikan solat Jumaat.

“Kami perlu memastikan semua yang masuk ke dalam masjid ini perlu meletakkan kenderaan mereka di tempat yang tidak menghalang laluan utama.

“Selain itu memberi ruang kepada pejalan kaki untuk melintas jalan dengan mudah,” katanya ketika di hadapan masjid As-Salam di sini.

Menurutnya, walaupun berlainan agama, ianya tidak menghalang dirinya untuk melaksanakan tugas.

“Kami tidak kisah untuk menjalankan tugas mengawal lalu lintas ketika mereka sembahyang. Kami hormati perkara itu dan melakukan perkara yang diperlukan sahaja,” katanya.

Selvan berkata, penempatan anggota  RELA di masjid tersebut bermula sejak tiga tahun lalu apabila pengurusan masjid membuat permohonan kepada Rela.

Menurutnya, mereka hanya membuat pemantauan dan kawalan di luar kawasan masjid dan selebihnya di bawah pihak pengurusan masjid.

“Kami menjaga di luar masjid terutamanya lalu lintas dan individu yang meletakkan kenderaan mereka sahaja. Ini kerana pihak pengurusan masjid sendiri juga mempunyai anggota keselamatan mereka,” katanya.

Selvan berkata, sepanjang tiga tahun bertugas di kawasan masjid itu, dia melalui beberapa pengalaman kurang menarik apabila ada masanya dia dimarahi dan ditumbuk.

Menurutnya, pengalaman dimarahi sering dialaminya apabila ada individu yang enggan mematuhi arahan dan melatakkan kenderaan mereka di kawasan tidak sepatutnya seperti di hadapan pintu masuk.

“Saya pernah dimarahi dan ditumbuk, tetapi itu tidak menjadi masalah kerana sudah menjadi kebiasaan.

“Kami akan menasihatkan mereka untuk tidak meletakkan kenderaan di laluan utama masjid kerana khuatir sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, sukar untuk pasukan keselamatan atau perubatan masuk ke dalam masjid nanti,” katanya.

Dia yang sudah lapan tahun menjadi anggota RELA berpendapat tidak menjadi masalah sekiranya bangsa lain membantu menjaga keadaan lalu lintas dan sebagainya apabila sekumpulan manusia yang berlainan agama menjalankan ibadah mereka.

Sementara itu, penduduk setempat, Syukuri Zakaria, 32, berkata, sejak adanya anggota RELA di kawasan itu, keadaan lalu lintas semakin baik dan penunggang motosikal dalam meletakkan kenderaan dengan lebih teratur.

Menurutnya, tindakan tiga anggota RELA yang membantu mengawal lalu lintas ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat adalah tindakan yang baik.

“Saya berterima kasih dengan mereka ini kerana dapat lihat sendiri, motosikal dan kereta diletakkan dalam keadaan teratur dan kesesakan juga kurang.

“Selain itu, pejalan kaki dapat melintas jalan tanpa rasa takut kerana mereka akan memastikan kenderaan berhenti ketika orang ramai melintas,” katanya.

Katanya lagi, penempatan anggota RELA ini perlu dikekalkan dan dipraktikkan di masjid lain supaya mengelakkan kesesakan dan memudahkan umat Islam menunaikan solat serta pengguna jalan raya lain.



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya lihat mereka ni menjalankan tugas yg baik

Tanpa Nama berkata...

Semoga Allah mengurniakan hidayahNya kepada mereka, agar sama2 beroleh kemenangan di akhirat nanti.

Grab this Widget ~ Blogger Accessories