Jumaat, Januari 09, 2015

Nazir Masjid Terbaik Negara

BUKAN mudah memimpin sesebuah institusi jika tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas.

Malah ia mungkin menjadi lebih sukar apatah lagi jika membabitkan pengurusan sebuah masjid yang bukan sahaja menjadi tempat beribadat malah rujukan masyarakat Islam setempat.

 Bagi Nazir Masjid As Salam Puchong Perdana, Tuan Haji Yasim Mohamed, pengetahuan dan pengalaman yang digarap ketika menyambung pengajian di luar negara ibarat bonus kepadanya apabila dilantik memegang jawatan itu sejak tahun 2009.

Misi ditanam yang pada mulanya hanya bayangan dan angan-angan kini hampir dicapai dan beliau bersyukur institusi agama di bawah pimpinannya dinobatkan sebagai masjid terbaik di seluruh negara, baru-baru ini.

Bapa kepada tiga anak ini berkata, beliau berhasrat menjadikan Masjid As Salam juga dikenali sebagai masjid terapung Puchong sebagai model institusi pengurusan berintegriti, pusat ibadah, penyebaran dakwah, perkembangan ilmu dan budaya Islam yang terkemuka.

 Untuk mencapai hasrat itu, Tuan haji Yasim menubuhkan sebuah pasukan kreatif dan inovatif dalam membangunkan masjid, malah turut mewujudkan jawatankuasa yang menjadi pemikir ke arah kecemerlangan institusi ibadah itu.

Beliau gemar membaca dan mengembara, malah tidak lokek memberi ilmu melalui ceramah di majlis dan program dianjur. Berkhidmat sebagai perunding untuk program kepimpinan, beliau pernah memberi latihan kepada kakitangan di beberapa syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Atas kurniaan pengetahuan dan pengalaman yang ada, Tuan Haji Yasim turut menubuhkan Pusat Khidmat Kaunseling di masjid sejak enam tahun lalu.  Usaha murninya ternyata membawa impak positif apabila banyak masalah rumahtangga diselesaikan dan pada masa yang sama menyelamatkan hubungan pasangan suami isteri daripada perceraian.

Jadi tempat mengadu

Bibirnya sentiasa menguntum senyum membuatkan beliau mudah didekati dan dijadikan tempat mengadu. Malah ratusan pasangan suami isteri berdepan isu rumah tangga sudah bertemunya untuk mendapatkan nasihat secara percuma.

 “Dalam banyak-banyak kes, paling saya tidak boleh lupa bila ada wanita berlari ke masjid, selepas suaminya letak kapak di atas kepala seolah-olah cuba membunuhnya. Memang mengejutkan kerana mereka dari golongan terpelajar dan berada,” katanya.

 Beliau juga pernah didatangi seorang isteri yang diceraikan pada waktu tengah malam dan dihalau keluar oleh suaminya.

 Wanita itu tidak ada tempat tinggal lain, lalu menghubunginya meminta nasihat dan bantuan. Rumah jiran akhirnya dijadikan tempat berteduh semalaman.

 Setelah mengadakan pertemuan keesokan harinya, suami wanita itu menyesal dan mereka rujuk kembali.

 Itu adalah antara asam garam pasangan suami isteri yang berjaya ditanganinya dengan baik dan diselesaikan menggunakan pendekatan agama.

 Selain itu, beliau turut memberi nasihat dan kaunseling percuma bagi masalah keluarga,  remaja dan ibu tunggal selepas temu janji dibuat.

 Hasil kajian dan penelitiannya, masalah komunikasi selain kewujudan teknologi canggih seperti laman sosial dan sebagainya antara punca utama masalah keluarga sering berlaku. Katanya, tidak menghairankan jika pasangan suami isteri yang bermasalah datang dari golongan berpendidikan tinggi.

Nik Aziz idolanya

Tuan haji Yasim yang menjadikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai idolanya kini lebih memberi fokus kepada pembangunan masjid.

 Dengan kebolehan yang ada, beliau sering dijemput membentang kertas kerja pengurusan masjid di seluruh negara yang turut membabitkan peserta dari beberapa negara termasuk, Brunei, Thailand, Indonesia dan Kampuchea.

“Sebagaimana Tok Guru yang berpandangan jauh, rendah diri, sabar, tegas, berjiwa rakyat dan mesra dengan masyarakat, itulah yang ingin saya capai dalam hidup” katanya.

Selain di peringkat kebangsaan, masjid di bawah pimpinannya, pernah merangkul anugerah Masjid Bertaraf Lima Bintang di Selangor sejak tahun 2012 dan masjid terbaik di daerah Petaling.

Ratusan pelawat dari seluruh negara, malah Kerajaan Brunei turut berkunjung menjadikan Masjid As Salam diurus beliau dan pasukannya sebagai contoh diikuti dalam pengurusan masjid di kawasan masing-masing.

Penekanan dalam pengurusan dititikberatkan atas empat aspek utama termasuk pengurusan, pengimarahan, prasarana dan persekitaran.

Idea pernah ditolak

Langit tidak selalu cerah, begitulah juga dengan kehidupannya yang juga diuji dengan cabaran, namun akhirnya berjaya ditempuhi dengan sabar dan tabah.  Pengalaman pahit tidak dapat dilupakan apabila jawatankuasa menolak cadangan diutarakan ketika ingin membuat pembaharuan dalam masjid.

Namun perkara itu ditanganinya dengan berhemah. Kini hubungan erat dijalin bersama pasukannya bagi menjadikan masjid bukan sekadar tempat beribadah tetapi pusat sehenti untuk berhubung dalam konteks kehidupan masyarakat Islam.

“Sebagai pemimpin nombor satu di masjid tentulah sedih apabila jawatankuasa menolak cadangan. Ketika itu , saya dapati mereka tidak faham tetapi setelah diberi kefahaman, Alhamdulillah kini pasukan saya lebih kuat dalam memikirkan pelbagai strategi membangunkan masjid,” katanya.

Masjid As Salam kini menjadi tempat menuntut ilmu dengan tertubuhnya tadika Islam, tahfiz dan pusat latihan. Beliau juga dalam usaha membina sebuah pasar raya diurus koperasi dalam kawasan masjid.

Masjid bawah pimpinannya turut menjadi pusat pengembangan ekonomi dengan wujudnya pusat cucian kereta, pusat perubatan Islam, kedai gunting, katering termasuk inap desa (homestay) yang  akan diwujudkan.

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories