Sabtu, Julai 19, 2014

KONVOI KEMBARA RAMADHAN AS SALAM 2014



 
Jam sudah menunjukkan angka 11 malam.  Logiknya pada detik dan ketika itu, ramai umat Islam sudah berkira-kira untuk masuk tidur, masih bertadarus al Quran atau menjalankan pelbagai aktiviti lain bersama keluarga di hujung minggu.  Namun, di perkarangan Masjid As Salam, Puchong Perdana (“MAPP”) suasananya sama sekali berbeza.  Ini kerana, sebentar nanti majlis perasmian Konvoi Ramadhan As Salam akan berlangsung.








Suasana di Dataran As Salam amat meriah.  Puluhan motor berkuasa tinggi telah tersusun mengikut formasi yang telah ditetapkan.  Kenderaan lain dari Kelab Hilux, kenderaan AJK As Salam juga telah bersedia untuk menghangatkan kedinginan malam yang mula menusuk tulang hitam.  Kemeriahan yang dirasai bagai tidak terasa bahawa hari sudah kian lewat.

Majlis perasmian konvoi diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Tuan Haji Syarif Iskandar, Ketua Kampung Batu 14, saudara Rosharizan Roslan, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon 13 merangkap Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, Tuan Haji Yasim Mohamed selaku YDP PIMPINAN Selangor merangkap Nazir, MAPP para peserta konvoi serta para jemaah MAPP.  Sekali lagi, program berskala besar ini telah mendapat sokongan, dokongan dan kerjasama pihak-pihak berikut: -
·           Polis Di Raja Malaysia (“PDRM”)
·           Jabatan Penjara Malaysia
·           Cure & Care Service Centre, Chow Kit
·           Jawatan Kuasa Penduduk MPSJ Zon 13
·           As Salam Bikers
·           Puchong Bikers
·           Kelab-kelab Bikers yang lain
·           Z Catering
·           Hilux Tuners Club Malaysia
·           Persatuan Anak Polis Malaysia
·           RELA Masjid As-Salam

 

Yang berbahagia Haji Syarif Iskandar telah berkenan melakukan flag-off melepaskan semua peserta konvoi ke tiga lokasi yang berbeza yang turut disertai oleh saudara Rosharizan Roslan dan Haji Yasim Mohamed.  Haji Yasim sendiri turut menyertai konvoi ini sehingga selesai bersama pimpinan lain MAPP.  Pergerakan ke semua lokasi berjalan lancar dan selamat diiringi oleh kereta peronda dan Unit Trafik PDRM.
 

Konvoi yang julung-julung kalinya diadakan berasal dari idea saudara Norafizan Ibrahim yang juga bertindak selaku Pengarah Program.  Konvoi telah memilih tiga lokasi untuk dikunjungi sambil mengedarkan makanan sahur kepada pihak-pihak yang berkaitan.  Lokasi pertama yang disinggahi adalah menyantuni gelandangan di bawah pejabat Cure & Care di Lorong Haji Taib 5, Chow Kit.  Kesempatan sama telah diambil oleh Ustaz Nik Mohd Akbari, Imam Masjid As Salam untuk menyampaikan tazkirah ringkas kepada semua yang hadir (kaedah ‘street’ dakwah).  Pengarah Cure & Care Service Centre, Chow Kit dan Nazir MAPP diberi peluang untuk menyampaikan ucapan ringkas masing-masing.

 




 
Dari Chow Kit konvoi bergerak ke Kompleks Penjara Kajang, Sungai Jelok.  Konvoi sepanjang satu kilometer itu menarik perhatian banyak pihak yang berhenti di simpang-simpang tertentu melihat pergerakan kami yang sistematik.  Konvoi juga mendapat laluan khas di semua plaza tol yang dilalui dengan bantuan pihak PDRM.  Di Kompleks Penjara Kajang, konvoi di sambut sendiri oleh Pengarah Penjara Kajang, KPj Haji Abdul Wahab Haji Kassim.  Sebanyak 90 pek makanan diserahkan kepada pihak penjara untuk pegawai dan kakitangan penjara yang bertugas pada malam tersebut.  Seramai kira-kira 4,600 banduan ditempatkan di penjara ini.


Dalam persinggahan yang ringkas itu, para peserta konvoi dijamu rempeyek yang diusahakan sendiri oleh para banduan.  Selain itu, sebahagian peserta konvoi mengambil kesempatan membeli pelbagai barangan dan makanan dari kiosk penjara, yang sebahagiannya adalah produk yang dihasilkan oleh banduan.  Kedua-dua orang pimpinan tertinggi Penjara Kajang dan MAPP berbalas ucapan penghargaan dan bertukar cenderahati di akhir pertemuan singkat tetapi penuh bermakna itu.

 
Konvoi kemudiannya bergerak ke destinasi terakhir di Ibu Pejabat Daerah Polis Subang Jaya yang sudah bersiap sedia untuk menerima ketibaan kami.  Sekali lagi, perjalanan kami lancar ke destinasi terakhir di IPD Subang Jaya.  Konvoi kami disambut oleh para pegawai dan anggota IPD Subang Jaya diketuai sendiri oleh ACP Yahya Ramli.  Persinggahan terakhir tambah meriah di mana semua peserta konvoi, pegawai dan anggota IPD Subang Jaya menikmati bersama-sama hidangan sahur yang telah disediakan.  Sekali lagi, kedua-dua pimpinan tertinggi IPD Subang Jaya dan MAPP berbalas ucapan penghargaan di akhir pertemuan.
 

Program konvoi biarpun baru pertama kali dilaksanakan boleh dianggap sebagai sangat berjaya dengan izin Allah kerana beberapa perkara berikut: -
·           Tingginya kerjasama yang terjalin di antara MAPP dan semua pihak yang terlibat baik dari agensi kerajaan, orang perseorangan, persatuan, kelab yang terlibat
·           Tingginya tahap disiplin setiap peserta konvoi di dalam mematuhi pelbagai arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa, khususnya PDRM
·           Keazaman yang tinggi semua pihak yang terlibat di dalam menganjurkan program ini khususnya Pengarah Program, saudara Norafizan Ibrahim, Nazir dan seluruh pimpinan MAPP beriltizam kukuh untuk merealisasikan hasrat berkongsi rezeki dengan pelbagai pihak yang memerlukan di samping pengukuhan silaturrahim yang sedia terjalin

Konvoi yang meninggalkan perkarangan As Salam kira-kira jam 11.50 malam telah selamat kembali ke destinasi masing-masing pada jam 4.00 pagi setelah melengkapkan perjalanan lebih 120 kilometer.  Kepada Allah dipanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana program telah berjalan lancar sebagaimana yang dirancang tanpa melibatkan sebarang insiden yang tidak dikehendaki.

Catatan santai:
ROSLAN HANAPIAH
Biro Belia & Riadah MAPP

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories