Sabtu, April 26, 2014

FUTSAL PIALA NAZIR AS SALAM 2014 BERLANGSUNG MERIAH




Alhamdulillah pada hari Ahad, 20 April 2014 bertempat di KSL Sports Centre, Puchong Utama telah berlangsung Kejohanan Futsal Piala Nazir As Salam.  Kejohanan kali ini adalah kali kedua setelah kejayaan Futsal Nazir As Salam pada tahun 2012 lalu.  Kejohanan sama pada tahun 2012 telah berlangsung di Tonga Futsal, Seri Kembangan dengan penyertaan tidak sampai 30 pasukan.



 
Sesungguhnya kejohanan kali ini mempunyai banyak signifikan dan mencatat sejarahnya yang tersendiri.  Kejohanan kali ini telah berjaya menarik perhatian 38 pasukan bawah 18 tahun dan 24 pasukan bawah 13 tahun.  Justeru tidak hairanlah kejohanan kali ini telah berjaya menghimpunkan tidak kurang 450 orang pemain tidak termasuk para pengurus pasukan, ibu, bapa dan penyokong.  Kehadiran para peserta bermula seawal jam 7.30 pagi dan suasananya makin gamat dan meriah menjelang jam 8.00 pagi apabila kaunter pendaftaran dibuka.  Para pemain dan pengurus pasukan telah membuat semakan kedudukan kumpulan masing-masing dan diberi sesalinan jadual perlawanan untuk semakan dan memudahkan perjalanan pertandingan.



Yang berbahagia YDP Pimpinan Selangor merangkap Nazir Masjid As Salam, Tuan Haji Yasim Mohamed telah menyampaikan ucapan alu-aluan dengan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya para pemain, surau-surau dan masjid-masjid berdekatan yang telah memeriahkan kejohanan dengan menghantar bilangan penyertaan yang sungguh membanggakan.  Penganjuran kejohanan kali ini adalah ulangan kerjasama di antara Masjid As Salam dan AJK Surau An Nur Puchong Intan.




Tuan Haji Sharif, Ketua Kampung telah berkenan menyampaikan ucapan dan merasmikan Kejohanan.  Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan rasa bangga di atas anjuran program seumpama ini.  Program sebegini menjadi medan untuk menghimpunkan anak-anak muda dan belia yang bergiat aktif dan cergas dalam bidang sukan.  Program ini juga menyerlahkan lagi kerjasama masjid-masjid sekitar Puchong ekoran kejayaan program 3 Masjid dan kemudiannya diikuti program 7 Masjid.









Kejohanan telah bermula jam 8.30 pagi, berhenti rehat setengah jam dan bersambung semula hingga jam 1 tengahari.  Rehat satu jam dimanfaatkan dengan solat Zohor dan hidangan juadah tengahari di Masjid As Syakirin.  Kejohanan bersambung semula jam 2.00 petang dan berakhir jam 4.30 petang dengan majlis penyampaian Piala Kejohanan dan medal untuk para pemenang.  Tuan Haji Zul Bahari, Nazir Masjid Asy Syakirin dan Tuan Haji Yasim telah diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah.




Sesungguhnya, selain izin Allah, kejayaan Kejohanan kali ini ringkasnya berjaya kerana: -

·           Sokongan padu Nazir dan pimpinan Masjid As Salam, Puchong Perdana;

·           Sokongan padu dan persefahaman yang tinggi dari Nazir dan AJK Masjid As Syakirin, Puchong Utama;

·           Khidmat profesional sekumpulan lapan orang pengadil dan pengurus pengadil yang berjaya mengawal pertandingan dengan baik, berkesan dan mengikut jadual pertandingan yang disediakan; dan

·           Kerjasama, semangat berpasukan dan kesungguhan luar biasa sekumpulan AJK dan ahli kariah Surau An Nur, Puchong Intan diketuai oleh Tuan Haji Saibani telah bermula sejak bulan Januari 2014 yang lalu.  Khidmat mereka sangat cemerlang dan komitmen yang ditunjukkan amat tinggi bagi memastikan segala persiapan dan perjalanan kejohanan berjalan lancar dari mula hingga ke akhirnya.


 

Kepada Allah jua kita bersyukur dan berharap semua pihak yang terlibat dibalasNya dengan sebaik-baik ganjaran.  Kejayaan ini, berpotensi untuk diangkat ke peringkat yang lebih tinggi di peringkat daerah dan negeri pada masa akan datang, insyaAllah.

 

Disediakan oleh

ROSLAN HANAPIAH

Pengerusi Biro Belia & Riadah

Masjid As Salam Puchong Perdana

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories