Isnin, Mac 31, 2014

Perginya Seorang Pejuang: Coretan Seorang Teman


Allahyarham Harun b. Nayan


Seusai solat Subuh, bahkan baharu sahaja memberikan salam kepada Malaikat Allah (Rakib dan Atid) dan masih di atas sejadah, penulis menerima panggilan telefon dari saudara Izan (orang kuat Masjid As Salam), “Bang Lan, abang Harun dah tak ada!  Pukul 4.30 pagi tadi akibat sesak nafas…  Sebenarnya, badan masih penat kerana seharian memandu (lebih kurang 470km) ke Perak dan kembali ke Puchong kerana jemputan kenduri di Bidor dan membawa keluarga ke beberapa lokasi lain.  Cadang nak baring sekejap lepas Subuh nak hilangkan lelah, namun, kala berbaring air mata ni sudah tidak mampu dibendung lagi…

Mata cuba dipejam, namun deraian air mata kian laju dan perasaan terus sayu mengingatkan kembali sosok yang sangat istimewa dan luar biasa ini.  Cadangan nak sambung baring terus terbantut, mandi dan bergegas ke rumah beliau di Puchong Indah.  Jiran beritahu yang jenazah sudah di bawa ke masjid.  Penulis bergegas ke masjid dan mendapati sudah ada beberapa orang teman lain, rakan dan keluarga sudah ada di anjung kanan.  Penulis memeluk erat Ustaz Nik (imam As Salam) dan melepaskan airmata semahu-mahunya di bahu imam tersebut.  Bingung seketika dengan ujian yang Allah tunjukkan di depan mata.
 
Sebuah keranda yang terisi di dalamnya sekujur tubuh kaku, hamba Allah yang sangat hebat dari pelbagai segi telah ada di situ.  Seketika, tutup keranda dibuka dan balutan kain putih dibuka untuk tatapan para sahabat, saudara dan teman-teman lain untuk menatapinya.  Air mata terus mengalir melihat hamba Allah yang murah senyum ini seolah-olah sedang menikmati tidur yang amat lena (deep sleep).  Program Karnival Rasul In My Heart yang sedang berlangsung, seperti hilang seri dan kemeriahannya!  Kalangan teman-teman khususnya Penyelaras Program saudara Izan ‘hilang mood’!  Namun, beliau kemudiannya bergegas ke Balai Polis Bukit Puchong, melaksanakan beberapa urusan penting lain berkaitan laporan dan urusan pengkebumian.

Di masjid, bilangan yang hadir kian ramai.  Jenazah kemudiannya di usung ke bilik mandi jenazah untuk urusan seterusnya.  Saudara Ery Sudirman dengan bantuan Wak Syamsol mengetuai urusan memandikan jenazah.  Isteri, anak-anak dan menantu Allahyarham turut berada di dalam bilik mandi jenazah memandikan jasad yang amat mereka kasihi dan pastinya akan merinduinya selepas ini.

Seusai mandi dan dikafankan, jenazah dibawa ke ruang solat masjid di tingkat atas.  Jarang sekali penghormatan seperti ini dilakukan.  Tambahan pula banyak faktor lain seperti ruangan di anjung masjid dipenuhi dengan barang jualan para peniaga karnival, kedatangan orang ramai yang terus bertambah dan juga memberi ruang yang lebih selesa untuk lebih ramai mendirikan solat jenazah.  Ramai yang mengambil kesempatan menatapi jenazah Allahyarham buat kali terakhir termasuk Tn. Haji Yasim Mohammed (Nazir), sahabat handai, kenalan, isteri dan cucunya.  Jenazah di bawa semula turun ke bawah sementara menunggu proses terakhir dibawa ke tanah perkuburan Islam USJ.  Sementara itu bacaan Yasin dan doa dibaca dan terdapat dua Jemaah yang terus melakukan solat jenazah (yang tidak berkesempatan sebelum ini).  Turut hadir di perkarangan masjid semasa jenazah dibawa ke van adalah Yang Berhormat Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Puchong dan Yang Berhormat Norhanim Ismail, ADUN Seri Serdang.
 
Sekali lagi ramai yang mengiringi jenazah ke tanah perkuburan yang juga turut diiringi kedua-dua orang pemimpin tersebut.  Kira-kira jam 10.30 pagi urusan pengkebumian selesai dengan talkin dan doa dibaca oleh Ustaz Nik dengan sebak sekali.  Berakhirlah perjalanan seorang hamba Allah yang sangat merendah diri, mudah tersenyum dan menjadi ikon Kebajikan Masjid As Salam Puchong Perdana.
Sesungguhnya kariah As Salam telah kehilangan sesosok tubuh manusia yang dikenali bukan kerana harta dan kedudukannya.  Namun dia dikenali kerana kerja-kerja kebajikan yang banyak dilakukannya, gerak kerja yang berkualiti, sangat dipercayai, dedikasi yang tinggi, pencetus idea dan pelaksana dan penghibur teman-teman dengan gurau senda dan tawanya.
Penulis masih ingat pada malam pelancaran program Karnival Rasul in My Heart,  Allahyarham dan isterinya (mesra dengan panggilan kak Ara) berpegangan tangan berjalan, melihat dan meninjau gerai-gerai sekitar.  Cantik susunan Allah dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku di depan mata.  Tidak tahu penulis, berapa jam Allahyarham tidur sehari menjelang pelaksanaan program karnival ini bagi memberikan hasil terbaik kepada setiap pengunjung dan juga rakan-rakan tujuh masjid di ruang pameran dan pelbagai persediaan lain.
Pada hemat penulis, Allahyarham meninggalkan ruang yang besar (vacuum) di Masjid As Salam di atas ujian yang Allah berikan ini.  Merenung kembali ruang lobi masjid pasti menitiskan air mata kerana di salah satu tiang ada sebuah kotak kayu yang menggamit sesiapa sahaja untuk menyumbangkan pelbagai barang makanan dan keperluan serta wang tunai untuk disalurkan kepada mereka-mereka yang memerlukan.  Selain prasarana yang mampu menjadi mercu tanda sebuah masjid, kerja atau usaha kebajikan adalah aset atau cermin utama masyarakat dan kariah pada institusi ini.  Tugas-tugas berkaitan pencegahan maksiat dan nahi mungkar juga, kehilangan ‘harimau’ yang digeruni.

Sebagai seorang rakan, pemergian beliau amat mengejutkan dan menyentuh hati sanubari penulis.  Bahkan, bukan sebarangan orang mampu melaksanakan apa yang telah beliau lakukan selama ini, khususnya di Masjid As Salam.  Kelibatnya pasti dirindui oleh orang-orang yang mengenalinya.  Kehadiran ramai kenalan yang menziarahinya adalah satu kurniaan Allah kepadanya dan menyegerakan urusan pengkebumiannya adalah khidmat terakhir yang rakan-rakan mampu berikan kepadanya.
Penulis tidak mampu untuk melupakan segala kenangan bersama Allahyarham sampai bila-bila hinggalah penulis sendiri dijemput Allah pada suatu hari nanti, insyaAllah.  Hanya kepada Allah penulis memohon agar Allahyarham diberi keampunan, diterima segala amalnya, diberi sebaik-baik balasan disisiNya dan berharap ahli keluarga diberi ketenangan dan kesabaran di atas ujian ini.  Amin.

~ Al-Fatihah ~
 
ROSLAN HANAPIAH

Biro Belia & Rekreasi

Masjid As Salam Puchong Perdana










 



8 ulasan:

Masjid Jamek Batu 14 Puchong Selangor berkata...

Assalamualaikum.
Pegawai dan J/K Masjid Jamek Batu 14 Puchong merakamkan setinggi-tinggi ucapan takziah ke atas pemergian Allahyarham En Harun yang telah banyak berbakti terutamannya kepada pengurusan Masjid As-Salam.

Penulis blog Masjid Jamek Batu 14 Puchong sempat bercakap kali terakhir dengan Allahyarham pad 28hb. Mac 2014 jam 6:10 pegang. Ternyata Allahyarham menunaikan janji menyiapkan tugasan yang diberikan.

Semoga Allah akan mencucuri tahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama-sama golongan yang dijanjikan syurga oleh Allah swt.

Alfatihah.
Masjid Jamek Baru 14 Puchong.

Fadil Alos berkata...

assalamualaikum tuan penulis..setinggi2 ucapan terima kasih di atas coretan ini.sesungguhnya kami ahli keluarga lebih2 lg trasa kehilangannya.trasa sperti mimipi dn masih terbayang Arwah ayah masih ada di muka bumi ini.masih blom lgi puas..Amat jarang ada orag seperti Arwah yg lebih pentingkan orang lain dri diri sendiri..org lain didahulukan.masa tidur dn rehat jatuh no dua.tiada kata 'no' darinya kala org memerluksn pertolongan tp arwah sendiri di kala susah tidakmau lgsg minta pertolongan org xnak susahkn org prinsipnya..ternyata syukurla, akhir hyatny Allah mudahkan urusan arwah juga tidak menyusahkn orsng lain..arwah adalah Hero kmi..kami sayang ayah, kehilanganmu bukan shja kmi rasai bahkan semua rakan taulan dan masyarakat puchong amnya. semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ats ayah. Aminnnn. terima kasih tidak terhingga buat semua yg bertungkus lms dlam urusan pengemubian ayah.Ayah takkn prnh mnyesal punyai teman2 seperti anda semua.Terima kasih Allah, ko permudahkan segala urusan ayah. we luv u ayah! we miss u so much.baru 2 hari..bagaimana kami nak harungi hari mendatag menanggung rindu.Alfatehah buat Harun bin Nayan@ayahanda kami dkasihi..

Fadil Alos berkata...

# Terima kasih Allah,Kau. pmudahkan ....maaf salah ejaaan

wan aziey berkata...

takziah n alfatihah..semoga rohnya ditempatkan dikalangan org2 yang beriman..aamiin..

zauyah salleh berkata...

Dia...abg sepupu yg paling baik hati. Tak pernah lokek harta, jiwa dan masa utk sesiapa saja. Senyuman dan gurauannya menyenangkan hati semua yg mendampinginya. Semoga dia ditempatkan di kalangan org2 yg beriman.

zauyah salleh berkata...

Dia...abg sepupu yg paling baik hati. Tak pernah lokek harta, jiwa dan masa utk sesiapa saja. Senyuman dan gurauannya menyenangkan hati semua yg mendampinginya. Semoga dia ditempatkan di kalangan org2 yg beriman.

Tanpa Nama berkata...

Seminggu sblm pemergian sempat berbual dengan beliau..menceritakan hasrat beliau ingin mengerjakan umrah.namun beliau sudah dijemput oleh allah ke alam baqa'alfatihah untuk beliau..

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum pakcik Roslan..hari ini kalendar masehi genap 3 tahun pemergian arwah ayah. Terima kasih kerana prnah menjadi sahabatnya.

Grab this Widget ~ Blogger Accessories