Ahad, Mac 09, 2014

Laporan Anugerah Ibu Mithali (26/2/2014)


Tuan Nazir Masjid As-Salam, Hj Yasim Mohamed menyampaikan Anugerah kepada Ibu Mithali yang terpilih



Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahqaf ayat 15 yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya telah mengandung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah”.

Buat julung kalinya, Biro Hal Ehwal Wanita Masjid As-Salam Puchong Perdana telah menganjurkan Anugerah Ibu Mithali bagi mengalungkan penghargaan kepada ibu yang mempunyai peribadi baik selayaknya seorang ibu mithali.
Seramai 11 borang pencalonan telah dihantar oleh surau-surau anak kariah Masjid As-Salam, Masjid Bukit Puchong dan Masjid Istiqomah. Setiap pencalonan yang disertai oleh maklumat oleh pihak pencadang telah dinilai oleh barisan Biro Hal Ehwal Wanita Masjid As-Salam dan Ustazah Junaidah Awang daripada Yayasan Al-Jendrami.

Kriteria pencalonan telah mengambil kira faktor-faktor penglibatan calon dalam pembentukan keluarga dan juga sumbangan kepada masyarakat. Keutamaan anugerah ini adalah untuk memberi contoh teladan yang baik kepada ibu-ibu dan para wanita di luar sana disamping menghargai ibu-ibu yang banyak memberi inspirasi kepada masyarakat.

Anugerah yang diadakan selepas solat maghrib berjemaah telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Rusydi dan kata-kata aluan oleh Nazir Masjid As-Salam, Tuan Hj. Yasim.  Sebagai kelainan, Ustazah Junaidah Awang telah menyampaikan tazkirah berkenaan jasa ibu menggantikan kuliah maghrib yang menjadi kebiasaan di masjid.

Majlis telah diserikan dengan tayangan video penerima Anugerah Ibu Mithali, Puan Nur Zaihan dan diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada calon-calon. Puan Nur Zaihan yang merupakan seorang guru tadika telah dikurniakan 11 orang cahaya  mata yang kesemuanya berjaya dan merupakan seorang aktivis dakwah yang banyak memberi khidmat kepada masyarakat.





Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories