Khamis, Januari 09, 2014

JURUKAMERA AS-SALAM KEMBALI KEPADA PENCIPTANYA


 


Kariah As-Salam khususnya rakan-rakan pimpinan masjid telah kehilangan seorang sahabat, teman dan sukarelawan yang amat dikasihi pada 25 Januari 2014 yang lalu.  Hamba Allah yang dimaksudkan adalah saudara Yusak Kasan.  Allahyarham telah meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada hari tersebut


Dari cerita ahli keluarganya, Allayarham berserta beberapa orang ahli keluarga yang lain dari Lembah Klang telah ke Kuantan baru-baru ini.  Percutian keluarga itu dirancang sekaligus untuk menziarahi ahli keluarga mereka yang ditimpa musibah banjir yang melanda Kuantan baru-baru ini.  Manusia merancang, namun perancangan Allah mendahului semuanya dengan seribu satu muslihat atau rahsia yang tidak diketahui.

 


 
Setibanya di Kuantan dan belum sempat untuk meraikan percutian itu, Allahyarham mengadu tidak sihat dan dibawa ke klinik.  Namun keadaannya semakin sukar dan akhirnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan lanjut.  Allahyarham telah ditempatkan di wad ICU hospital dan keadaan kesihatannya semakin buruk dari hari ke hari.

Wakil As Salam diketuai Timbalan Nazir, Tuan Hj Azmi Ghani dan dua orang pimpinan lain berkesempatan menziarahi Allahyarham pada hari Jumaat, 24 Januari 2014 yang lalu.  Sedikit sumbangan kewangan telah diberikan kepada isteri Allahyarham.  Turut hadir di hospital pada ketika itu adalah ahli keluarga dan juga rakan-rakan sekerja beliau dari Astro.
 
 


Takdir Allah tiada siapa yang mampu menahannya.  Pada tarikh 25 Januari 2014 yang lalu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga yang amat menyayanginya.  Pada malam sama juga telah berlangsung majlis Malam Penghargaan Jawatankuasa Masjid As Salam 2013.  Majlis sedikit sebanyak hilang serinya dengan ketiadaan beliau dan satu majlis tahlil ringkas telah diadakan di bawah pimpinan Ustaz Nik Mohd Akbari, Imam Masjid As Salam.

 



Awal pagi 26 Januari 2014, kira-kira jam 1.30 pagi seramai lima orang jawatankuasa telah berlepas ke Parit Raja, Batu Pahat, Johor dari Masjid As Salam, Puchong Perdana bagi menghadiri solat jenazah dan seterusnya penyempurnaan jenazah Allahyarham di tanah perkuburan Islam pekan Parit Raja.  Sewaktu jenazah di bawa keluar dan seusai ucapan terima kasih dan penghargaan ahli keluarga Allahyarham, wakil Masjid As Salam, saudara Roslan Hanapiah telah diberi peluang untuk memberi ucapan ringkas berkaitan peranan, sumbangan dan sikap Allahyarham terhadap pelbagai aktiviti masjid sepanjang hayatnya kepada hadirin.





Allahyarham meninggal dunia di usia 50 tahun, meninggalkan seorang isteri (kakitangan LHDN) dan sepasang anak kembar berusia setahun setengah.  Moga keluarganya tabah dan redha dengan ketentuan Allah ini, dicucuri rahmat dan ditempatkan dari kalangan orang-orang yang beriman, insyaAllah.
Dari Allah dia datang kepada Allah dia kembali.  Al Fatihah.
Catatan
ROSLAN HANAPIAH
Pengerusi Biro Belia & Rekreasi
Masjid As Salam



Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories