Selasa, November 26, 2013

Majlis Sambutan Maal Hijrah 1435, 9 Nov 2013 (5 Muharram) -Surau As-Solihin Desa Idaman, Puchong Prima.

 Alhamdulillah sepertimana yang telah dirancangkan, AJK Surau As-Solihin dengan kerjasama ahli kariah Desa Idaman Taman Puchong Prima telah melaksanakan Majlis Sambutan Maal Hijrah Tahun 1435. pada tarikh 9 Nov 2013 bersamaan 5 Muharram. Kehadiran para jemputan dan pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Al Haziq, Sg Long bersama Mudirnya telah menceriakan lagi majlis.


Aturcara telah dimulakan seawal masuknya waktu solat Maghrib dengan solat berjemaah disusuli dengan alunan marhaban, qasidah, selawat dan diakhiri dengan Doa Selamat pimpinan Ustaz Muhamad Afifi B Mohd Yatim Al Hafiz serta iringan oleh pelajar Maahad Tahfiz Al Haziq, yang telah dijemput khas dari Sg Long, Ulu Langat. Sekaligus malam itu juga Surau As-Solihin sama-sama meraikan majlis Aqiqah putera kepada salah seorang ahli kariah, Saudara Mohd Fazli B Hashim.                                                                                                                                   


Bulan Muharram, bulan pertama dalam kalender Islam yang hadir saban tahun disambut oleh umat Islam sebagai tanda kecintaan mereka terhadap Islam. Surau As Solihin juga tidak ketinggalan dengan mengadakan sambutan Maal Hijrah beserta pengisiannya. 

Justeru pada malam itu para jemaah telah berbesar hati menerima kunjungan Nazir Masjid As Salam Puchong Perdana, Tuan Hj Yasim B Mohamed sebagai penceramah jemputan. Beliau dalam ucapannya sejurus solat Isyak berjemaah, mengajak para hadirin memahami konsep sebenar hijrah iaitu perpindahan dari sesuatu keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. 

Sambutan Maal Hijrah yang disambut ini harus dijadikan sebagai wadah dalam meningkatkan kualiti diri daripada yang tidak baik kepada kualiti hidup yang lebih baik dalam semua aspek termasuklah dalam pegangan akidah, akhlak dan sebagainya. 

Peristiwa penghijrahan Rasulullah S.A.W. ke Madinah harus diambil iktibar di mana Baginda berhijrah bagi membetulkan dan menguatkan akidah, memperbaiki dan meningkatkan ekonomi serta memaju dan meningkatkan ilmu pengetahuan dan menguatkan diri umat islam. Selaras dengan tajuk ceramah beliau “Cemerlang Dunia, Cemerlang Akhirat”.                                                                   













Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
Daripada Abdullah bin Amr r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Seorang muslim adalah orang yang menyelamatkan Muslim yang lain dengan lidah dan tangannya. Orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan larangan Allah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

TERIMA KASIH…”SEMOGA TAHUN INI LEBIH BAIK DARI YANG LEPAS”
DARIPADA AHLI JAWATANKUASA SURAU AS-SOLIHIN DESA IDAMAN
AHLI KARIAH SERTA KELUARGA


Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories