Khamis, November 14, 2013

Gotong Royong & Agihan Bubur Asyura di Masjid As-Salam Puchong Perdana




Bulan Muharram adalah bulan istimewa bagi masyarakat Islam di seluruh dunia. Sebagai bulan pertama tahun Hijriyah, Muharram menjadi medan muhasabah diri akan amal masa lalu untuk dijadikan pedoman dimasa hadapan. Kebanyakan umat Islam juga seikhlas hati bersama-sama melakukan kebaikan dan sedekah pada bulan ini. Dalam bulan ini, selain puasa dan amalan sunat yang lain ‘Bubur Asyura’ sinonim dengan bulan Muharram ini.

Pada 14hb November 2013 bersamaan dengan 10 Muharam 1345H Biro Muslimat telah bersama-sama dengan wakil surau kariah dan pelajar-pelajar yang terlibat dengan kelas Muslimat bergotong royong memasak Bubur Asyura untuk diagihkan kepada anak kariah dan jemaah yang datang ke Masjid As-Salam Puchong Perdana.

Program yang bermula jam 9pagi ini diadakan untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara AJK Masjid dengan surau dan anak kariah. Lebih kurang 400pek bubur lambuk/asyura diagihkan dalam 2 sesi iaitu sesi I selepas  solat asar & sesi II seblm/selepas maghrib khasnya untuk jemaah yang berpuasa.


Sejarah Asal Bubur Asyura

Sejarah bubur ini adalah untuk memperingati hari Nabi Allah Nuh as. selamat mendarat setelah 40 hari mengharungi bah (banjir) besar yang melanda dunia pada ketika itu.
Diceritakan bahawa, ketika mana bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh di bukit Juudi pada ‘Hari Asyura’. Sesampainya di daratan Nabi Nuh as. bertanya kepada pada umatnya “Masih adakah bekalan pelayaran yang tinggal untuk dimakan?” kemudian mereka menjawab “Ada ya Nabi”. Berkatalah Baginda pada pengikutnya: “Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh as.: “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”. Maka terciptalah satu santapan yang lazat. Itulah Bubur ‘Asyura’. Kemudian Nabi Nuh as. memerintahkan untuk diagih-agihkan kepada semua yang ada.




Berdasarkan kepada kisah inilah kita mengenali Bubur Asyura, iaitu bubur yang dibuat untuk menghormati ‘Hari Asyura’ yang diterjemahkan menjadi‘bubur untuk kesejahteraan’. Bubur Asyura merupakan perlambangan rasa syukur manusia atas keselamatan yang selama ini diberikan oleh Allah SWT.


Kesimpulannya, Muharram menjadi berbeza kerana di dalamnya ada kejadian yang sangat berharga bagi Agama Islam iaitu Hijrah Rasulullah SAW. Hari ke-sepuluh dalam bulan ini didapati dengan nilai yang sarat dengan sejarah yang lebih dikenali dengan ‘Hari Asyura’ atau hari kesepuluh Muharram.

Banyak keistimewaan yang diberikan oleh Allah pada hari ini di antaranya adalah gandaan pahala bagi yang melaksanakan ibadah pada hari itu. Hari ini adalah hari kasih sayang, dianjurkan oleh semua muslim untuk melaksanakan kebaikan, menambah bekalan pahala dengan bersilaturrahim, beribadah, dan banyak sedekah terutamanya bersedekah kepada anak yatim-piatu. Wallahu a'lam.
 
 

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories