Jumaat, November 08, 2013

As-Salam meraikan petugas bukan Islam..

En Afizan selaku wakil dan ketua RELA MASJID menyerahkan hamper Depavali kepada En Sarakunan a/l Munisamy dan mewakilkan kepada beliau bagi pihak En. Nathan a/l Raman disaksikan oleh En Fazli (Ketua unit RELA MASJID) dan En Rahman (Bendahari)
Sempena Deepavali yang baru berlalu, Masjid As Salam turut tidak melupakan jasa dan khidmat 2 orang sukarelawannya yang beragama Hindu yang sudah hampir 4 tahun bersama dalam susah dan senang. Bermula dari sukarelawan biasa hinggalah tertubuhnya RELA MASJID dan kini mereka turut bergabung sebagai ahli RELA MASJID yang sah. Uniknya mereka ini adalah, bila diminta hadir untuk membantu sebarang program di Masjid As Salam, tiada apa-apa masalah yang timbul  dari diri mereka walaupun berbeza agama dan keturunan.
 
En Rahman selaku Bendahari Masjid mewakili Nazir Masjid As Salam Puchong Perdana menyerahkan “angpau Deepavali” kepada kedua-dua mereka.
Malahan komitmennya boleh dikatakan lebih dari sukarelawan masjid yang beragama islam itu sendiri, contoh yang boleh saya berikan adalah seperti, 
1) berkhidmat sepanjang bulan Ramadhan menjaga keselamatan jemaah yang hadir untuk solat terawih, 
2) disaat sukarelawan melayu pulang ke kampung di hari raya Aidilfitri, merekalah juga yang menjaga keselamatan masjid bermula dari malam raya hingga selesai jemaah masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri, malahan turut ringan tulang memikul tikar atau sejadah untuk jemaah yang tidak berpeluang menunaikan solat diruangan dalaman masjid akibat kepadatan kehadiran jemaah yang ramai. 
3) membantu memantau keselamatan pengunjung dan lalulintas ketika masjid menganjurkan program-program berskala besar baik diluar atau didalam kawasan masjid.
 
En Sarakunan atau lebih dikenali dikalangan kami dengan panggilan manjanya Guna, turut bersama sukarelawan Masjid  ketika membuat persiapan sehari sebelum menyambut Maal Hijrah 1435 di Masjid As Salam Puchong Perdana.

Dan yang paling saya terharu tentang mereka adalah, setiap tahun program ibadah korban di Masjid As Salam mereka turut bersama-sama sukarelawan melayu bertungkus lumus membuat kerja-kerja dibelakang tadbir. Begitulah mereka, sentiasa ada berdiri bersama-sama sukarelawan melayu yang lain memberi komitmen apabila khidmat diperlukan. Mungkin anda yang membaca nukilan saya ini kurang atau tidak percaya apa yang saya coretkan,  kenyataan atau realitinya biarlah koleksi gambar didalam blog masjid ini menjadi bukti atau jemaah setia Masjid As Salam yang mengesahkannya.

Kepada saudara Sarakunan a/l Munisamy dan Nathan a/l Mani, saya mewakili saf Ahli jawatankuasa Masjid As Salam  mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada anda. Semoga anda tidak akan merasa jemu untuk berkhidmat dimasa-masa akan datang dan sentiasa memberikan komitmen yang baik serta cemerlang. Biarlah hubungan persahabatan yang terjalin antara masjid dan anda ini berkekalan dan menjadi satu contoh yang unik kepada lain-lain masjid yang berkemungkinan jarang-jarang ada sukarelawan seperti anda. Happy Depavali.

Mohammad Nor Afizan b. Ibrahim
4hb November 2013

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories