Selasa, Ogos 20, 2013

Laporan: Meraikan Anak Yatim Membuat Persiapan Raya




Puchong, Sabtu, 3 ogos 2013; Tidak dapat digambarkan betapa seronoknya kanak-kanak ini setelah diberi peluang untuk memilih sendiri kelengkapan bagi menyambut hari raya aidilfitri yang akan tiba beberapa hari lagi. 



Seramai 50 orang anak yatim dan asnaf fakir miskin terdiri dari anak kariah Masjid As Salam Puchong Perdana telah dipilih untuk menerima sumbangan khas ini, dengan peruntukan berjumlah RM250 seorang, kesemua peserta ini telah dibawa oleh pihak masjid untuk membeli belah di Jusco IOI Puchong. 

Ini merupakan salah satu dari program tetap masjid yang telah dirancang serta diletakkan dalam acara tahunan. Program yang sinonim dengan nama "Raya kembali lagi" ini, telah mendapat sokongan dan sumbangan dari pelbagai pihak seperti FELDA, individu dan anak kariah setempat. 

Bermula jam 2 petang, kesemua peserta dan petugas bertolak ke IOI Jusco dengan diringi oleh kelab motorsikal berkuasa tinggi iaitu Puchong bikers, Ketibaan disana telah disambut meriah oleh pihak Jusco dengan diketuai oleh Encik Ghazali selaku Ketua Pengurusan gudang Jusco.
Setiap peserta diberi peruntukan masa selama 2 jam untuk membeli belah pakaian pilihan mereka dengan dibantu oleh beberapa petugas samada dari pihak Jusco atau masjid. 2 buah kaunter khas turut disediakan oleh Jusco dengan bertujuan melancarkan lagi proses perjalanan. 

Jam 6 petang setelah selesai, rombongan bertolak ke masjid bagi meneruskan program seterusnya iaitu majlis berbuka puasa dan penyampaian duit raya kepada peserta. 

Duit raya tersebut telah disampaikan oleh Nazir masjid As Salam, Haji Yasim Mohamed bersama Timb Nazir iaitu Hj Azmi Ghani. Masjid As Salam dibawah Biro Kebajikan yang diketuai oleh Encik Harun Nayan mengucapkan jutaan terima kasih kepada mana-mana pihak yang telah membantu dalam memberi sumbangan samada dari segi wang ringgit, material atau tenaga. 

Terutamanya kepada pihak FELDA, individu terutamanya Encik Sarkunan a/l Munisamy, Persatuan Belia Masjid Selangor (PBMS), Puchong Bikers dan jemaah yang memberi sumbangan kedalam tabung khas yang ditubuhkan. 

Semoga sumbangan anda ini dapat memberi harapan kepada kanak-kanak ini yang sentiasa memerlukan perhatian serta bantuan dari kita sepanjang masa terutamanya dimusim perayaan dan musim persekolahan. 

Kegembiraan yang kita lalui bersama keluarga dihari raya ini turut dirasai bersama oleh anak-anak yatim dan asnaf fakir miskin ini hasil dari keperihatinan kita terhadap mereka.

Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Berkeupayaan membalas setiap kebaikan yang telah anda lakukan.

Laporan disediakan oleh,
Mohammad Nor Afizan Ibrahim,
Pengarah Program "Raya Kembali Lagi 2013"












Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories