Rabu, Julai 03, 2013

Pameran Kecemerlangan As-Salam: Antara Realiti dan Cabaran

YB Sallehen Mukhyi, Exco Agama dan Datuk Hj Marzuki, Pengarah JAIS antara kenamaan yang  mengunjungi Pameran Kecemerlangan As-Salam.

Pada 17 Jun 2013, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (“JAIS”) telah menghubungi saudara Norafizan Ibrahim (“Izan”) melalui telefon bagi mempelawa Masjid As-Salam , Puchong Perdana (“MAPP”) untuk menyertai pameran bersempena majlis Konvensyen Pengurusan Masjid dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Moreh Bulan Ramadhan 1434H / 2013M.  


Tiada komitmen diberi oleh saudara Izan kepada JAIS.  Namun, pihak JAIS meyakini MAPP mampu untuk menyertai pameran tersebut atas status dan kapasitinya sebagai Masjid Terbaik Selangor 2011 selain sebuah institusi ibadah berstatus lima bintang.


Pada malam hari yang sama, satu mesyuarat khas telah diadakan dari kalangan beberapa orang Ketua Biro.  Turut hadir dalam mesyuarat ‘tergempar’ itu adalah Timbalan Nazir dan Nazir MAPP telah bertindak mempengerusikan mesyuarat tersebut sendiri.  

Kehadiran pimpinan utama MAPP pada malam tersebut telah memberikan satu gambaran awal bahawa telah ada satu iltizam dan komitmen untuk menterjemahkan satu cabaran besar dalam bentuk realiti.  

Pokok utama perbincangan adalah apakah cabaran tersebut perlu disahut (‘go or no go’)?  Bagaimana untuk melaksanakannya?  Apa konsepnya?  Banyak mana masa yang ada?  Dan yang paling utama, siapa yang akan mengetuai eksperimen ini?


Biarpun MAPP sebuah masjid yang sarat dengan pelbagai aktiviti untuk pelbagai peringkat kariah dan pengunjung, serta blog masjid yang sentiasa dikemas kini, namun MAPP tidak pernah mengadakan apajua bentuk pameran kepada mana-mana pihak.  

Tegasnya, pengalaman kami adalah ‘kosong’ dan segalanya perlu dimulakan dari ‘scratch’!  Tanpa pengalaman bukan bererti tidak boleh, tidak upaya atau tiada kemampuan.  

Namun, gerak kerja perlu dirancang dan dilaksanakan dengan teliti, cermat, berhati-hati dan mencapai standard yang boleh dibanggakan.


Hakikatnya, pameran adalah satu bentuk penceritaan dan eksplorisasi berbentuk visual.  Justeru bahan-bahan pameran yang bakal dipilih mampu memenuhi kehendak, pengharapan dan mampu menarik seramai mana pengunjung untuk menyaksikannya.  

Ringkasnya, mesyuarat berakhir dengan pelantikan seorang Pengarah Program dan konsep asas pameran yang dipersetujui.


Cabaran utama Jawatan Kuasa Khas ini adalah faktor MASA di samping pemilihan visual serta kaedah paparan yang ‘catchy’!  Selain itu, di mana dan bagaimana bahan pameran itu perlu dipaparkan?  Di mana untuk mendapatkan panel pameran dan berapa kos yang perlu MAPP keluarkan turut menjadi persoalan.  

Alhamdulillah dengan izin Allah, berkat kesefahaman, kesungguhan dan keazaman untuk melihat hasil kerja yang cemerlang telah berjaya menyatukan hati, semangat, kreativiti dan komitmen setiap ahli kumpulan dipacu dan digembleng ke tahap optimum.  

Kecil atau besar peranan setiap ahli kumpulan amat penting demi mencapai matlamat dan misi yang asalnya dilihat agak ‘mustahil’ untuk dilaksanakan.


Pada malam 29 Jun 2013 kira-kira jam 8.30 malam, sekumpulan warga komited MAPP telah bergerak dalam dua buah kenderaan ke Masjid Negeri Selangor, Shah Alam dalam satu misi untuk menjadikan cabaran ini suatu realiti.  

Selesai solat Isya’, bahan pameran dipasang dan dilekatkan pada dinding panel dalam kawasan yang telah ditetapkan oleh penganjur.  Malam yang kian dingin telah dihangatkan dengan kehadiran Nazir MAPP dan beberapa orang Jawatan Kuasa Khas yang turut memberikan sentuhan terakhir ke atas susun atur dan kelengkapan setiap bahan pameran.  Kami meninggalkan Masjid Negeri ketika jam menunjukkan hampir ke detik 12.00 tengah malam.

Erti sebuah kejayaan dan kepuasan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan atau tugasan adalah apabila bahan yang dipapar berjaya menarik perhatian, mencuri tumpuan dan jauh lebih utama, berjaya membuka minda pengunjung untuk berkongsi resepi kejayaan yang ada di MAPP.  

Sesungguhnya yang baik dan indah itu milik Allah, kami sekadar berusaha untuk menyediakan bahan dan hasil terbaik untuk dinikmati oleh pihak-pihak berkenaan yang memerlukan, insyaAllah.  

Jika Allah izinkan, bahan-bahan pameran ini akan sentiasa dikemaskini dan dibawa ke mana sahaja untuk dipaparkan dalam kesempatan dan kemampuan yang terluang.  

Antara tetamu kehormat yang singgah di Pameran Kecemerlangan As-Salam ialah YB Sallehen Mukhyi, Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Desa.  Turut singgah adalah Yang Berbahagia Datuk Haji Marzuki, Pengarah JAIS.  

Misi kami berakhir dengan mengemaskan setiap bahan dan bersedia untuk pulang ke MAPP kira-kira jam 2.00 petang 30 Jun 2013.

Satu pengajaran besar yang dapat dipelajari dari aktivti ini serta paparan bahan pameran yang berlangsung dalam tempoh beberapa jam, sebenarnya memerlukan komitmen, kesungguhan, keperihatinan, peruntukan, kebolehan dan yang paling utama kerjasama serta sokongan segenap peringkat kepimpinan di MAPP.

Syukur tidak terhingga kepada Allah dan teman-teman yang berusaha gigih dalam menjadikan cabaran ini suatu realiti, biarpun ianya masih jauh dari erti kata sebuah kesempurnaan.

ROSLAN HANAPIAH
PENGARAH PROGRAM

1 ulasan:

Dr Ridzwan Haji Muda berkata...

Alhamdulilah Tahniah

Grab this Widget ~ Blogger Accessories