Selasa, Julai 09, 2013

Kejohanan Ping-pong As-Salam 2013: Tradisi diteruskan !!


Alhamdulillah, satu lagi aktiviti riadah yang boleh dianggap suatu tradisi di As-Salam berjaya dilaksanakan sekali lagi.  Pada tahun ini, aktiviti ini telah diadakan pada hari Ahad, 7 Julai 2013 bertempat di Dewan Saidina Abu Bakar, Masjid As-Salam (“MAPP”) bermula jam 8.30 pagi.

Aktiviti telah dimulakan dengan ucapan dari Pengarah Program yang menerangkan kembali serba ringkas berhubung peraturan dan garis panduan kejohanan.  Beliau turut mengalu-alukan kehadiran semua yang bertanding, khususnya, peserta yang menyertai aktiviti ini buat pertama kalinya di MAPP.  


Kejohanan seumpama ini selain dari membuka ruang aktiviti riadah yang menyasarkan pelbagai kelompok dan kategori jemaah, ianya sebenarnya satu peluang untuk anak kariah dan pengunjung yang lain untuk melihat sendiri fasiliti-fasiliti MAPP yang tersedia untuk digunakan untuk pelbagai aktiviti lain yang bersesuaian.  

Promosi dan pengenalan secara dekat seperti ini, semakin menyerlahkan kepelbagaian MAPP untuk muncul sebagai satu ‘one-stop centre’ di tengah-tengah masyarakat berbilang kaum khususnya yang menerima manfaat secara langsung atau tempias tidak langsung dari rahmat dan kemakmuran masjid.






Tuan Haji Azmi Ghani, Timbalan Nazir MAPP telah sudi untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan kejohanan kali ini.  Pada tahun ini Kejohanan  Pingpong As-Salam 2013 telah menarik penyertaan seramai 82 orang peserta yang terbuka kepada empat kategori iaitu: -
·           Perseorangan 15-20 tahun;
·           Perseorangan 21-40 tahun;
·           Perseorangan > 40 tahun; dan
·           Bergu terbuka





Kejohanan yang bermula jam 8.45 pagi ini telah berakhir pada jam 7.00 malam dengan majlis penyampaian hadiah.  

Keseluruhannya, para peserta telah menamatkan sebanyak 150 permainan yang berlangsung secara liga di peringkat kumpulan sebelum memasuki fasa kalah mati di peringkat suku, separuh dan peringkat akhir.

Selain dari anak kariah MAPP di Puchong, kejohanan kali ini turut menarik perhatian para peserta dari Shah Alam, Serdang dan Putrajaya.  

Dari aspek penyertaan ini, terbukti bahawa As-Salam sudah menjadi satu titik pertemuan atau tempat bertemu para golongan ‘atlit’ untuk singgah di MAPP untuk beriadah di samping beribadah apabila tiba waktu solat secara khususnya, mahupun lafaz zikrullah yang keluar spontan dari bibir pemain apabila pukulan tidak masuk ke gelanggang ataupun sesuatu pukulan diluar dugaan terhasil seperti “Astargfirulah hal azim…!”, “Allah hu akbar..!”, “La ilahaillallah…”



Moga Allah terus mengizinkan aktiviti riadah lain terus berkembang di As-Salam pada masa-masa akan datang, insyaAllah.  

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan kejohanan pada kali ini, moga Allah merahmati dan memberkati kalian semua.  

Khususnya untuk saudara Rahizan Che Lah dari Surau An Nur Puchong Intan dan Syafiq Bohari, AJK Biro Belia & Riadah MAPP.

Terima kasih.

ROSLAN HANAPIAH
Pengarah Program

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories