Isnin, Julai 15, 2013

Iftar berjemaah erat silaturrahim


BULAN Ramadan sudah pun membuka gelanggangnya pada Rabu lalu. Ramai umat Islam menunggu kedatangan bulan yang penuh keberkatan dan menjanjikan ganjaran pahala yang besar itu.
Sedar atau tidak, cara untuk memperoleh ganjaran pahala lebih besar adalah dengan berbuka puasa, bersahur serta menunaikan solat fardu dan sunat tarawih secara berjemaah.
Walaupun amalan berbuka puasa secara beramai-ramai di restoran merupakan satu pemandangan biasa, jarang kita melihat sekumpulan orang menjamah makanan yang diletakkan di dalam sebuah dulang yang sama. 


Bagaimanapun, situasi itu boleh disaksikan di sebuah masjid di Puchong, Selangor. Berhampiran sebuah tasik buatan di Puchong Perdana, beberapa orang petugas Masjid As-Salam Puchong Perdana sibuk menyediakan juadah untuk ahli kariah yang datang berbuka puasa di situ.
Uniknya, jemaah di masjid ini berkongsi hidangan dalam sebuah dulang. 
MENU wajib makan dalam dulang ialah ikan masin dan sambal belacan
Menurut ahli jawatankuasa Masjid As-Salam, Puan Norrahmayati Nawawi, 43, amalan makan dalam dulang dipraktikkan di masjid itu setiap kali waktu berbuka puasa pada tahun ini.
Selain nasi dan lauk-pauk, sambal belacan dan ikan masin turut disediakan dalam dulang itu.
"Tidak sah jika tiada ikan masin dan sambal belacan," katanya sambil tersenyum.
Menurut Norrahmayati, dulang aluminium itu akan dibersihkan dan dikeringkan terlebih dahulu.
Kemudian, ia dilapik dengan plastik supaya senang untuk dicuci selepas makan nanti.
"Cuma balut dan buang susa makanan ke dalami tong sampah, mudah bukan," jelas wanita berumur 43 tahun ini berhubung sisa makanan yang ditinggalkan jemaah.
Menu lain yang biasanya dihidangkan ialah daging atau ayam masak kari dan sayur-sayuran goreng. Seramai empat orang akan berkongsi hidangan yang sama.
"Selalunya makanan akan habis. Sebenarnya makan berjemaah ini lebih berkat," Norrahmayati memberikan pendapatnya.

MAKAN dalam dulang seelok-eloknya dilakukan bersama individu yang tidak dikenali

Petugas dan sukarelawan menyediakan hidangan dalam dulang untuk diagihkan kepada jemaah

Puan Hajjah Norakmar, Ketua Biro Muslimat Masjid As-Salam bersama-sama membantu menyediakan makanan 
 Bagi Puan Hajjah Norakmar bt Re, 48, aktiviti makan dalam dulang sejak beberapa tahun lalu membolehkan dia mengenali jiran-jirannya dengan lebih rapat berbanding sebelum ini.

"Dulu kita tidak kenal jiran walaupun dia duduk selang beberapa rumah sahaja. Makan sebegini memerlukan kita mencari pasangan yang kurang dikenali.
"Imbuhannya, lebih ramai individu yang kita akan kenal. Ia ibarat magnet. Isu-isu yang berlaku di persekitaran juga dapat diketahui," katanya.

Usah berbicara panjang mengenai pengalaman orang lain. Kru Jurnal sendiri berpeluang makan bersama tiga orang kariah masjid itu baru-baru ini.

Aktiviti menghidangkan makanan dimulakan sejak pukul 6.30 petang. Pada hari itu, tidak kurang 30 dulang hidangan disediakan.
Nasinya menggunung tinggi manakala kari daging, beberapa ekor ikan masin, sambal belacan dan sayur-sayuran habis dimakan dalam tempoh kurang setengah jam.


Ternyata makan dengan cara ini juga dapat merapatkan hubungan kekeluargaan dan ini diakui oleh Muhd Fareezana Razak, 13.
Kekeluargaan
"Saya biasa makan menggunakan dulang bersama keluarga sejak beberapa tahun lalu.
"Bukan pada bulan Ramadan sahaja tetapi semasa makan malam. Pada pandangan saya, budaya ini mampu merapatkan hubungan dengan adik-adik serta ahli keluarga yang lain.
"Kadangkala kami saling menyuap makanan sesama sendiri termasuk ayah dan ibu. Nikmat itu tidak boleh digambarkan dengan kata-kata," ujarnya.
Makan bersama dalam dulang ada kelebihannya dari segi saintifik. Pakar kanak-kanak, Martha Marino dan Sue Butkus dari Universiti Washington, Amerika Syarikat, berkata, kanak-kanak yang makan bersama dengan kekerapan lebih tiga kali seminggu akan lebih berdisiplin di sekolah. Mereka juga lebih pintar berbanding rakan sebaya.
Menurut satu artikel oleh Matthew Kustenbauder dalam laman web www.theotherjournal.com, kebanyakan keluarga di benua Afrika makan menggunakan dulang. Sebelum makan, mereka akan mencuci tangan terlebih dahulu. 

Rencana oleh:
Wartawan Kosmo
14.7.2013

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories