Ahad, Februari 17, 2013

SAMBUTAN MAJLIS MAULIDURRASUL SURAU AL KAUTHAR BERLANGSUNG MERIAH

Kehadiran kariah surau amat menggalakkan walaupun hujan turun lebat di sepanjang majlis berjalan. Kira-kira 150 muslimin dan lebih kurang 50 muslimat hadir dari sekitar Pangsa Perdana dan Taman Puchong Perdana.
 
Alhamdulillah, Majlis Sambutan Malidur Rasul peringkat Surau Al Kauthar, Puchong Perdana telah berlangsung dengan jayanya pada 24hb Januari 2013 (Khamis) selapas waktu Magrib.

 Agenda sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad  S.A.W  Surau Al Kauthar: -

1.    Ceramah Menyelusuri Sirah Nabi – belajar mencintai dan menyayangi Nabi Muhammad

Penceramah: Ustaz Mohd. Zain

2.    Bacaan Marhaban dan selawat

3.    Anugerah Tokoh Maulidur Rasul

4.    Jamuan


Antara kandungan ceramah Ustaz Mohd. Zain:-
·      Untuk mengenal dan mencintai nabi, hendaklah kita sering membaca dan merujuk sirah bagi memotivasikan diri kita.
·      Sela masa di antara zaman kelahiran Nabi dan keadaan kita hari telah semakin jauh dan menjadikan kita semakin melupakan sirah tersebut.  Maka, hendaklah kita sentiasa mendengar dan menceritakan sirah Nabi agar sentiasa hidup dan segar dalam ingatan kita.
·      Hendaklah kita sentiasa bersalawat ke atas Nabi khususnya di dalam mahupun di luar solat.
·      Kita kena sedar bahawa sebenarnya Nabi Muhammad amat menyayangi kita (umatnya) sehingga ke saat akhir hayatnya, akan menanti dan berjumpa dengan kita di akhirat kelak.
·      Marilah kita mengajak mereka yang belum berjinak-jinak dengan agama Allah, agar kembali ke landasan yang sebenar.
·      Kisah kasih sayang seorang pengembala unta yang sanggup mencabut giginya sendiri demi ingin merasakan betapa sakitnya gigi Nabi yang dikatakan patah semasa Peperangan Uhud.
·      Kesan azan Bilal selepas kewafatan Nabi menyebabkan ramai yang menangis kerana mengimbau kembali zaman gemilang semasa Nabi masih hidup.
Majlis marhaban dan selawat pula telah diketuai oleh Imam Pak Man.

Dalam majlis ini juga anak kariah Abu Talib Bin Zianal Abidin atau lebih mesra dengan panggilan Pak Abu telah pun dipilih sebagai penerima Tokoh Maulidur Rasul.  Ustaz Mohd. Zain telah menyampaikan cenderahati kepada Pak Abu sebagai tanda penghargaan.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah Yang Berbahagia Tuan Haji Azmi Ghani, Timbalan Nazir Masjid As Salam Puchong Perdana, yang juga merupakan anak kariah Surau Al Kauthar, Puchong Perdana.
 
Majlis di akhiri dengan jamuan untuk semua jemaah yang hadir.  Jamuan telah ditaja oleh seorang lagi anak kariah yang dermawan iaitu Hj Jamaluddin Rejab atau lebih mesra dengan panggilan Pak Din.  Rakaman ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua petugas dan anak qariah yang sudi memeriahkan majlis pada tahun ini.  Semoga keberkatan dan suasana sebegini akan dapat dikecapi pada tahun-tahun yang akan datang.  Majlis tamat pada pukul 10.30 malam.
Catatan oleh
HAJI MOHD AZMAN BIDIN / ROSLAN HANAPIAH
SURAU AL KAUTHAR PUCHONG PERDANA

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories