Jumaat, Februari 01, 2013

Kejohanan Bowling As-Salam 2013 meriah !!! ( 1 )

Kejohanan Bowling berakhir dengan penuh meriah !!!

Syukur yang tidak terhingga kehadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah izin dan kurnianya, pimpinan Masjid As Salam Puchong Perdana (‘MAPP’) berjaya merealisasikan satu lagi aktiviti riadah khususnya untuk para anak kariah. 

Bertempat di Ampang Superbowl Puchong, IOI Mall pada 28 Januari 2013 (Isnin), satu Kejohanan Bowling As Salam 2013 telah berjaya dilaksanakan dengan penuh meriah.  Seramai 128 pemain dan penggemar sukan boling telah mengambil bahagian dalam kejohanan yang julung-julung kali diadakan ini.

 



Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Rashidi


Upacara perasmian dan penyampaian trofi telah disempurnakan sendiri oleh Tuan Haji Yasim Mohamed, Nazir MAPP.  Beliau begitu teruja dengan kehadiran begitu ramai pemain dan ahli keluarga pada kejohanan kali ini. 

Dalam ucapan perasmiannya, beliau secara jujur mengakui bahawa pada awalnya, beliau agak ‘sceptical’ untuk menyetujui penganjuran program, khususnya dari segi sambuatan para anak kariah sekalian.  Namun, kehadiran luar jangka serta suasana bagaikan ‘pesta Hari Keluarga’ itu memadamkan dengan sendiri keraguan awal beliau itu.

Selepas menyampaikan ucapan, Tuan Nazir merasmikan kejohanan dengan membuat balingan pertama menandakan acara bermula. 
 
Kejayaan program ini, mungkin akan diterjemahkan pula kepada penganjuran Hari Keluarga As Salam pada masa hadapan.  InsyaAllah dengan sambutan dan respons yang diterima, kemeriahan ini mampu diterjemahkan dalam program Hari Keluarga pula. 
 
Namun, penglibatan dan sokongan padu seluruh anak kariah amat diperlukan bagi memastikan kejayaan program tersebut kelak.  Seperkara lagi, atas kapasiti Tuan Haji Yasim selaku Yang Dipertua Pimpinan Negeri Selangor, kejohanan boling ini berpotensi untuk di naik taraf di peringkat daerah dan negeri pada masa hadapan, insyaAllah.

 

Penganjur amat berpuashati dengan kehadiran dan sokongan para pemain baik dari aspek pendaftaran peserta, disiplin mematuhi masa dan beriadah dalam suasana santai bersama keluarga. 

Sesungguhnya anak kairah dahagakan program riadah seperti ini yang menyasarkan matlamat serampang dua mata iaitu, mengeratkan hubungan AJK MAPP dan surau serta hubungan erat kekeluargaan di antara para pemain dan ahli keluarga masing-masing.

Kejohanan kali ini telah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu: -

·         AJK MAPP & Surau – Muslimin (60 pemain);

·         AJK MAPP & Surau – Muslimat (38 pemain); dan

·         Terbuka Lelaki (30 pemain)

Kemeriahan yang bermula seawal jam 9.30 pagi itu telah berkahir pada jam 2.30 petang dengan upacara penyampaian hadiah oleh Tuan Nazir sendiri serta sesi bergambar bersama para pemain dan pemenang bagi setiap kategori.  Pada Allah kami mohon segala kemaafan di atas kekurangan, kelemahan dan kesilapan yang sengaja atau tidak disengajakan dalam menganjur kejohanan seumpama ini.  Dan sesungguhnya, segala kebaikan dan kelebihan adalah milikNya jua.

 Catatan

ROSLAN HANAPIAH
BIRO BELIA dan REKREASI MAPP

 
Pendaftaran

Pendaftaran peserta




 







 

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories