Isnin, Disember 24, 2012

Majlis Sambutan Maal Hijrah 1434H di Surau As-Solihin Desa Idaman


Pada tarikh 1 Dec 2012(Sabtu) bersamaan 17 Muharam 1434H, AJK Surau As-Solihin Desa Idaman dengan kerjasama Maahad Tahfiz Al Haziq (MTAH), Taman Puchong Prima, telah menganjurkan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1434H bagi menyambut kedatangan tahun baru mengikut kalendar Islam khusus untuk ahli kariah dan seluruh penduduknya.

 Majlis telah dimulakan dengan solat Zohor berjemaah sejurus ketibaan adik-adik pelajar Maahad Tahfiz Al Haziq yang diiringi oleh Mudir MTAH, Ustaz Muhamad Afifi Bin Mohd Yatim Al Hafiz diikuti bacaan Doa Selamat bertempat di Surau As-Solihin Desa Idaman.




Kemudiannya para jemaah telah sama-sama menjamu selera makan tengah hari bersama dengan jemputan yang hadir pada waktu tersebut.

Sebagaimana yang telah dirancang, majlis diteruskan dengan bacaan 30 Juzuk Al Quran oleh para Hufaz Maahad Tahfiz Al Haziq (MTAH) Taman Puchong Prima seramai 16 orang juga disertai dan disaksikan oleh jemaah yang hadir. Tidak ketinggalan juga tetamu yang turut hadir adalah barisan AJK Bantuan Pengurusan MTAH yang dipengerusikan oleh Tn Hj Abdul Razak Bin Ahmad merangkap Pengerusi Surau Al Mawaddah Pangsapuri Orkid Taman Puchong Prima yang sudi melapangkan masa beliau bersama-sama meraikan majlis ini.





Setelah berakhir bacaan doa Khatamul-Quran, doa mohon keselamatan, kesejahteraan, kerahmatan dan kasih sayang serta petunjuk dan hidayah dari Allah s.wt. khususnya kepada ahli kariah Surau As-Solihin dan umumnya kepada seluruh jemaah mukminin dan mukminat di mana jua berada, para jemaah terus saja sama2 mendengar tazkirah ringkas yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhamad Afifi Al Hafiz sementara menunggu masuknya waktu Solat Asar bagi kawasan2 yang sama waktu dengannya.



Sesudah selesai solat Asar berjemaah, AJK Surau As-Solihin telah berbesar hati menyampaikan sumbangan & cenderahati kepada MTAH dan juga cenderahati khusus kepada salah seorang pelajar yang baru sahaja melengkapkan hafazan 114 surah di dalam Al Quran dan telah bergelar seorang Al-Hafizul Quran iaitu adik Zul Azrai Bin Tajudin Al Hafiz. Semoga akan lahir lebih ramai lagi anak-anak yang bergelar Al Hafiz dimuka bumi Allah ini.

 Aturcara majlis diteruskan dengan alunan Qasidah oleh Maahad Tahfiz Al Haziq diiringi pukulan kompang dan gendang oleh para pelajar MTAH. Setelah berakhir dendangan qasidah oleh ustaz dan adik2 MTAH, para jemaah dan jemputan mengakhiri majlis dengan jamuan makan dan minum petang yang telah disediakan oleh AJK dan ahli kariah Surau As Solihin Desa Idaman. 

 Akhir kata, bagi pihak AJK Surau As-Solihin Desa Idaman, jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan program ini. Segala puji-pujian dan kesyukuran kita rafakkan ke hadrat Allah s.w.t serta selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah s.a.w, juga keluarga dan para sahabat baginda. Semoga slogan sambutan kali ini “ Salam Maal Hijrah 1434H, Semoga Tahun Ini Lebih Baik Dari Yang Lepas…” akan diperkenankan oleh Allah s.w.t. seterusnya menjadi kenyataan. Salam Maal Hijrah…


Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories