Jumaat, Disember 07, 2012

Liputan Program E-Learning oleh TV9 di Masjid As-Salam




 
Rabu, 5 Disember 2012 bersamaan 21 Muharram 1434H telah diadakan Liputan Program E-Learning di Pusat Sumber Masjid As-Salam Puchong Perdana oleh TV9. Liputan ini adalah kesinambungan daripada sesi temuramah dengan Nazir Masjid, Tuan Haji Yasim Mohamed semasa program Raudah Di Hatiku bersama TV9 yang telah diadakan pada 13 Oktober 2012 lalu. Dalam temuramah tersebut, Tuan Nazir ada memohon supaya TV9 dapat mewar-warkan kelas E-Learning kepada masyarakat luar, sekaligus memohon sumbangan supaya Program E-Learning ini dapat dilaksanakan dengan lancar.

Sedikit mengenai Program E-Learning, ia adalah merupakan salah satu khidmat masyarakat anjuran Masjid As-Salam dengan kerjasama Persatuan Belia Masjid Selangor (PBMS). Program ini disasarkan kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah, keutamaan diberikan kepada anak-anak daripada keluarga asnaf dan anak-anak yatim. Pihak masjid akan menyediakan tempat dan sarana, manakala PBMS membantu dari segi tenaga pengajar dan bahan pembelajaran.



Semasa Liputan TV9 ini dibuat, seramai 15 orang murid telah hadir, terdiri daripada 4 orang murid sekolah menengah dan 11 orang murid sekolah rendah. Kebanyakkan yang hadir adalah anak-anak daripada keluarga asnaf. Program E-Learning dikendalikan oleh 7 orang guru, seorang bertindak sebagai pengajar utama dan yang lain-lain bergerak dari meja ke meja untuk membantu pelajar-pelajar. Di dalam Program E-Learning ini, setiap pelajar dilengkapi dengan komputer riba dan alat pandang dengar.


Program E-Learning dipilih untuk tujuan membantu bukan sahaja dari segi pendidikan pelajar-pelajar malah mendedahkan mereka kepada penggunaan komputer seiring dengan hasrat kerajaan supaya semua rakyat Malaysia celik IT. Melalui sistem yang digunakan, pembelajaran akan dilakukan sepenuhnya daripada bahan-bahan yang dimuat naik dalam sistem yang boleh dibuka oleh komputer riba masing-masing. Ini sekaligus dapat mengurangkan penggunaan buku-buku dan kertas yang mana membebankan dan tidak mesra alam sekitar.



 
Dengan adanya Program Pembelajaran yang sebegini, anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan berpeluang untuk menimba ilmu dan suatu hari nanti mereka dapat merubah nasib mereka dan keluarga mereka sendiri. Seperti firman Allah dalam surah Ar Ra’d ayat 11:

“... Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri …”

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak TV9 kerana sudi hadir dan membuat Liputan E-Learning ini. Insyallah rakaman Program ini akan ditayangkan semasa rancangan Nasi Lemak Kopi O dalam sesi berita pada hujung minggu ini.



 
Laporan oleh:
Shahir (PBMS)

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories