Khamis, November 15, 2012

Laporan Program: "Parenting Talkshow": Ibu ayah relax.... anak ke mana?

 
 
Pada 3 November 2012 bersamaan hari Sabtu, Biro Hal Ehwal Wanita Masjid As-Salam (BHEW MASPP) dan Badan Kebajikan Wanita Selangor (BAKEWANIS) telah menganjurkan suatu program iaitu ‘Parenting Talk Show’ dengan tajuk Ibu bapa ‘relax’...anak ke mana? Program ini telah dijalankan secara santai di ruang lobi masjid bermula jam 9.30 pagi dan berakhir jam 12.00 tengahari dengan kehadiran 48 orang terdiri daripada Ibu bapa dan anak remaja.


Mengupas tajuk yang berupa persoalan arah tujuan anak yang disebabkan ‘suatu tindakan’ Ibu Bapa adalah untuk mencapai objektif mengenalpasti  fenomena kekeluargaan masa kini, mengetahui punca masalah remaja dan keluarga serta merungkai jalan penyelesaian yang perlu diambil oleh keluarga dan entiti masyarakat.
NGO BAKEWANIS adalah NGO yang tidak asing lagi di Selangor dan juga Pusat Zakat Selangor terutama dalam usaha-usaha memotivasi remaja dan keluarga. Biro Wanita menjemput pengerusinya iaitu Pn. Noraini Husin sebagai panel tunggal untuk mengupas beberapa persoalan yang dikemukakan seterusnya berdialog dengan kumpulan peserta program. Jumlah peserta program yang kecil ini telah memberi ruang dan peluang yang luas kepada ibu bapa dan anak remaja untuk berkongsi perasaan bersama panel dan peserta program yang lain
   

 

 
Diantara intipati yang disampaikan oleh Pn. Noraini Husin yang perlu dihayati oleh Ibu Bapa sebagai pemandu kepada arah tujuan anak-anak ialah:
1.       “Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari azab api neraka”. Ibu bapa diberi tanggungjawab yang jelas oleh Allah untuk menjaga diri dan juga keluarga dari apa sahaja perkara dan tindakan yang memberi natijah menjadi ahli neraka.

2.       Ibu bapa mesti menyedari akan angka-angka kenaikan dari tahun ke tahun berkaitan masalah remaja anak  melayu Islam berbanding dengan kaum dan agama lain.

3.       Peningkatan taraf hidup, ekonomi, pendidikan, sosial dan teknologi bukanlah jaminan utama penentu arah tujuan anak-anak untuk ke syurga.

4.       Islam  Ad-Deen, mengambil Islam dan mengamalkan sepenuhnya pendidikan dan syariat Islam adalah jalan penentu arah tujuan anak-anak untuk ke syurga.

5.       Ilmu mendidik dan membimbing serta mengawasi perlu ada pada Ibu Bapa mengikut keadaan dan fenomena semasa.
 
Dipertengahan program ini, Pn. Noraini Husin mencuit hati peserta dengan berdialog spontan dari kaum Ibu dan seorang dari kaum Bapa untuk menjawab soalan spontan iaitu  “Abang pernah kata I Love U kepada isteri?” dan “Kakak pernah kata I Love U kepada suami?. Perkongsian ikhlas dari Ibu dan Bapa tersebut telah diulas oleh beliau dengan memberi contoh romantinya  Nabi Rasulullah s.a.w dan isterinya dalam pergaulan membina kasih sayang.



Dalam program ini juga, adik Aisyah (salah seorang peserta) telah berkongsi rasa berkaitan apa yang diharapkan oleh beliau sebagai anak remaja dari ibu bapanya. Sungguh mengharukan apabila seorang anak meminta beberapa perkara secara jujur di dalam program ini yang turut dihadiri oleh ibunya sendiri. Aishah seorang anak muda meminta untuk disayangi oleh ibu bapanya dan juga meminta untuk ibu dan bapanya memahami dirinya. Perkongsian ikhlas antara harapan seorang anak terhadap ibu bapanya telah diulas oleh Pn. Noraini dengan menjelaskan bahawa hubungan seorang anak dengan ibu adalah suatu hubungan yang sangat istimewa. Mendidik anak-anak adalah bermakna mengisi minda dan rohani anak-anak dengan ilmu Islam yang mencukupi untuk anak-anak mengenal jalan yang harus dilaluinya.

Program ‘parenting talk show’ ini berakhir dalam suasana dan pengharapan ibu bapa agar ianya tidak tamat di sini sahaja. Ilmu kekeluargaan dan pendidikan anak-anak adalah ilmu yang berkembang dengan susana perkembangan semasa. Maka ianya perlu dikupas, dihadam dan dikongsikan dalam ruang dan peluang yang ada untuk manfaat agama dan bangsa.

 
Disediakan oleh:
Setiausaha,
Biro Hal Ehwal Wanita
Masjid As Salam Puchong Perdana

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories