Selasa, November 27, 2012

Bukan Melayu sertai Program Khatan Perdana di Masjid As-Salam

 

Musim cuti sekolah datang lagi dan aktiviti yang paling popular sepanjang musim ini adalah kenduri kahwin dan berkhatan.
 
Dalam usaha meneruskan tradisi membentuk jalinan masyarakat pelbagai kaum yang sangat sinonim dengan Masjid As-Salam, Program Khatan Perdana antara kaum telah diadakan Sabtu lalu. Khatan biasanya adalah majlis yang biasa bagi orang Melayu tetapi Masjid As-Salam buat julung kalinya menjemput dan melibatkan kaum India dan Cina dalam Program Khatan Perdana tahun ini.


Majlis khatan yang selama ini asing bagi orang bukan Melayu menjadi majlis yang sangat menarik bagi mereka.
Seramai 92 orang kanak-kanak berumur antara 7 ~ 12 tahun telah menyertai Majlis Khatan kali ini. Program yang menjadi aktiviti tahunan Masjid As-Salam sejak tahun 2009 itu turut dimeriahkan oleh penyertaan kanak-kanak berketurunan Cina dan 4 orang kanak-kanak berketurunan India.

Nazir Masjid As-Salam, Tn Hj Yasim Mohamed berkata, majlis tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya daripada masyarakat sekitar Puchong.

Beliau berkata, program itu diadakan bagi memenuhi tuntutan agama Islam yang mahukan setiap umatnya memiliki kualiti kesihatan yang terbaik di kalangan masyarakat.

"Menerusi majlis ini dapat meningkatkan kefahaman Islam terhadap kanak-kanak terutamanya kepentingan berkhatan seperti yang dituntut oleh agama Islam.

"Kanak-kanak yang telah berkhatan akan merasakan diri mereka berbeza daripada kanak-kanak kecil yang lain. Ini kerana amalan berkhatan adalah salah satu agenda dalam kehidupan menuju ke alam dewasa.

"Selain itu, program ini juga diadakan bagi merapatkan hubungan persaudaraan dan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dengan jawatankuasa Masjid seperti yang dituntut oleh Islam," katanya.

Penganjuran itu juga dapat membantu ibu bapa dalam mengurangkan tanggungan kos berkhatan kerana menawarkan harga yang sangat berpatutan dan menggunakan kaedah berkhatan terkini.
 


 
 
 


 


 





















 

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories