Jumaat, September 28, 2012

Intipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Tuan Nazir Masjid As-Salam pada 28 September 2012




Melangkah Ke Tanah Suci

Haji adalah salah satu daripada rukun Islam. Ia merupakan sendi-sendi Islam yang terkuat. Diwajibkan sekali seumur hidup. Dengan melaksanakan ibadah haji itu, akan sempurnalah Islam seseorang dan lengkaplah agamanya.

Sesungguhnya ibadah dalam Islam ada yang bersifat badaniyah, iaitu ibadah yang menitikberatkan pada kekuatan fizikal seperti solat dan puasa. Ada yang bersifat qalbiyah, iaitu ibadah yang pengamalannya pada hati, seperti zikir serta ada pula ibadah yang bersifat maliyah iaitu dengan wang seperti zakat, infaq dan sedekah.

Adapun ibadah haji adalah gabungan ketiga-tiganya iaitu badaniyah, qalbiyah dan maliyah. Badan ikut melaksanakan, hati ikut berperanan dan hartapun ikut menentukan. Ketiga-tiganya merupakan satu kesatuan yang tidak boleh dipisahkan.

Ibadah haji mentarbiyyah seseorang itu bermujahadah dengan mengeluarkan belanja yang besar, tekad yang kuat dan azam yang mendalam. Mereka mesti rela meninggalkan tanah air, keluarga yang dicintai, kesibukan kerja yang sukar ditinggalkan, menghadapi udara terlalu panas atau sejuk, dan makan minum yang terkadang tidak sesuai dengan selera. Namun, kerana panggilan Allah, mereka tetap menempuhinya dengan tabah, sehingga dengan begitu tahap keimannya menjadi semakin kukuh dan kuat.

Perjalanan ibadah haji menuntut bekalan yang cukup, dan persiapan yang sempurna. Selain daripada ilmu pengetahuan, maka perkara penting yang perlu diambil perhatian adalah seperti berikut;

Pertama : Ketika hendak melangkahkan kaki meninggalkan rumah dan kampung halaman menuju ke Tanah Suci, hendaklah dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.

Kedua : Ketika sampai di tempat yang dituju, hendaklah memanfaatkan kesempatan itu dengan sebaik-baiknya. Pergunakanlah seberapa banyak masa untuk beribadah, memastikan rukun dan wajib dipatuhi serta berdoa di tempat-tempat yang mustajab, InsyaAllah doa akan dimakbulkan Allah.

Ketiga : Tanah Suci Mekah dikatakan seumpama taman mini akhirat. Ungkapan itu mengandungi erti bahawa ketika di sana, seseorang mesti jujur pada diri sendiri. Apabila menemui kesulitan, jangan sampai menyalahkan orang lain. Sebaliknya, hendaklah mengembalikan kesulitan yang dihadapi itu pada diri sendiri. Ia hendaklah mencari sebab kesulitan itu pada dirinya sendiri. Oleh sebab itu, setiap perkataan dan perbuatan hendaklah dijaga dan dikawal supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.

Keempat : Ketika berada di tengah-tengah jemaah umat Islam di sana, janganlah mempersoalkan amalan orang lain.

Kelima : Ibadah haji merupakan ibadah yang mencabar. Oleh sebab itu, orang yang hendak menunaikan haji perlu mempersiapkan diri dengan penuh kesabaran. Dalam konteks kesabaran ini ada tiga hal yang dihadapi iaitu:
- sabar dalam menjalankan perintah dan ketaatan,
- sabar di dalam meninggalkan kemaksiatan dan larangan,
- serta sabar di kala menghadapi musibah dan cubaan. .

Ibadah haji itu dapat membentuk manusia bersifat amanah, ikhlas, jujur dan bertanggungjawab serta melahirkan manusia yang tawadduk dan terhindar jauh daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti takabbur, riak, sombong dan khianat.

Rahsia dan hikmah ibadah haji:

1. Memakai kain ihram

Ini adalah simbol persamaan manusia di sisi Allah SWT. Tidak ada saudagar kaya-raya, tidak ada kaum bangsawan yang tinggi pangkatnya dan tidak ada pula hamba abdi yang dianggap hina. Dengan pakaian putih itu, semoga hilanglah darjat orang yang selalu merasa dirinya tinggi, jatuhlah martabat orang yang merasa dirinya mulia, runtuhlah keangkuhan dan kesombongan seseorang.

2. Wukuf di Arafah

Iaitu pada 9 Zulhijjah, mengingatkan kita kepada satu peristiwa ketika dikumpulkan para makhluk di Padang Masyar pada hari kiamat, semua risau dan sangat khuatir, apakah amalan yang mereka lakukan di dunia diterima atau ditolak oleh Allah SWT.

Dengan mengingati hal ini, hati pun tetap merendah diri dan sangat mengharap belas kasihan Allah SWT.

Kepada kita yang belum menunaikan fardhu Haji, maka;
  • Berniat dan berazamlah untuk menunaikan fardhu Haji dengan segera.
  • Berusaha untuk menyimpan wang yang mencukupi.
  • Berusahalah menunaikannya dalam usia yang masih muda.
  • Berusaha mempelajari ilmu yang berkaitan amalan haji.
Rujukan:
Unit Khutbah
Jabatan Agama Islam Selangor

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories