Ahad, September 02, 2012

Intipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Tuan Nazir Masjid As-Salam pada 31 Ogos 2012


"Kemerdekaan Menurut Perspektif Islam"

Kemerdekaan adalah merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat manusia di atas muka bumi-Nya ini. Nikmat kemerdekaan ini bukanlah dapat dirasai sepenuhnya oleh semua golongan manusia. Kita dapat melihat bagaimana sesetengah negara dijajah oleh kuasa asing seperti mana yang berlaku di negara Palestin.

Kita juga dapat melihat bagaimana sesetengah kelompok manusia dihalau dan diusir daripada tanahair mereka sendiri seperti mana yang berlaku kepada umat Islam Rohingya. Bahkan kita juga dapat melihat bagaimana sesetengah manusia pada hari ini dijadikan sebagai hamba dan diperdagangkan oleh orang lain demi mengaut keuntungan duniawi.

Kesemua perkara ini menzahirkan tentang sesetengah umat manusia yang tidak dapat merasai nikmat kemerdekaan seperti mana yang kita semua rasai di tanahair tercinta ini.

Kemerdekaan sebagaimana yang selalu difahami oleh masyarakat kita adalah kebebasan daripada penjajahan kuasa asing. Kerana itulah kita dapati saban tahun seluruh rakyat di negara ini meraikan sambutan hari kemerdekaan setiap kali menjelangnya tarikh 31 Ogos.

Persoalannya adakah memadai sekadar itu kemerdekaan yang dimaksudkan di dalam Islam? Jelasnya, Islam sebagai agama yang berasaskan ketauhidan, telah datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan kepada sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT.

Justeru, kemerdekaan yang hakiki adalah apabila manusia hanya mengikut petunjuk dan menyerahkan jiwa sepenuhnya kepada Allah SWT.

Islam tidak pernah menghalang kebebasan manusia, sebaliknya kebebasan itu mestilah digunakan sebaiknya untuk mencari keredaan Allah SWT.

Oleh kerana itu, orang-orang yang cuba membebaskan diri daripada tuntutan-tuntutan Islam, pada hakikatnya bukanlah mereka itu mendapat kemerdekaan, sebaliknya merekalah golongan yang sentiasa diperangi oleh Allah SWT dan juga Rasul-Nya.

Persoalan kemerdekaan pada hari ini bukan sahaja mengenai pembebasan dari penjajahan kuasa asing, tetapi yang lebih utama adalah persoalan mengenai kemerdekaan minda dan pemikiran, khasnya pemikiran umat Islam itu sendiri.

Ini kerana, setelah 55 tahun kemerdekaan negara ini dikecapi, masih terdapat di kalangan masyarakat kita yang rosak akhlaknya, masih ramai masyarakat kita yang mengagungkan budaya hidup songsang, bahkan sebahagian umat Islam pada hari ini di pelbagai lapisan dan peringkat masih lagi dijajah minda dan pemikiran mereka yang dipelopori oleh golongan Yahudi dan Nasrani.

Kemerdekaan yang sebenarnya bagi setiap individu Muslim pada hari ini adalah apabila mereka dapat membebaskan diri dari cengkaman hawa nafsu yang merosakkan kehidupan di dunia dan juga di akhirat. Selagi mana pemikiran kita masih terarah untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT, bermakna kita belum lagi mencapai kemerdekaan yang sebenar-benarnya.

Di dalam konteks sebuah negara yang merdeka, Islam telah menetapkan bahawa syariat Islam adalah merupakan peraturan dan perundangan tertinggi yang mesti diguna pakai di dalam negara yang ditadbir oleh umat Islam. Para pemimpin pula adalah golongan yang diberikan amanah untuk mendaulatkan agama Islam dan memurnikannya dari sebarang bentuk pengaruh asing.

Pemimpin yang berjiwa merdeka seharusnya membebaskan minda mereka daripada mentaliti yang hanya mengutamakan kepentingan diri sendiri. Sebaliknya keperluan rakyat mestilah diutamakan kerana ia adalah tanggungjawab bagi setiap pemimpin.

Sempena menyambut kemerdekaan pada tahun ini, maka tindakan yang perlu kita laksanakan adalah;

Pertama : Marilah kita sama-sama berusaha memerdekakan sepenuhnya minda dan pemikiran kita daripada terus dijajah oleh pemikiran dan pemahaman yang tidak berlandaskan syariat Allah SWT.

Kedua : Marilah kita beramal dengan ajaran Islam yang sebenar.

Ketiga : Berusaha membangunkan sosioekonomi sehingga kita dapat meningkatkan kualiti hidup umat Islam dalam negara ini.

Keempat : Berusaha untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran supaya kita dapat menghindari pemikiran yang sesat dan songsang.

Rujukan:
Unit Khutbah
Jabatan Agama Islam Selangor

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories