Ahad, September 02, 2012

Grupbuku Karangkraf dengan kerjasama Masjid As-Salam anjur Program Imarah Masjid

Datuk Abd Jalil (kanan) merasmikan Program Imarah Masjid anjuran Grup Buku Karangkraf sambil diperhatikan oleh Tn Hj Yasim Mohamed (tengah) di Masjid As Salam Puchong Perdana, hari ini.

PUCHONG, 1 September 2012 – Bermatlamat mengajak belia dan masyarakat setempat sering mengunjungi masjid, Grup Buku Karangkraf dengan kerjasama Masjid As-Salam Puchong Perdana di sini dan Majalah I terbitan Kumpulan Media Karangkraf melancarkan program Imarah Masjid hari ini.

Kira-kira 7,000 anak kariah dan masyarakat sekitar Puchong hadir memeriahkan program yang dilancarkan oleh Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali.

Pengurus Karya Bestari Grup Buku Karangkraf, Wan Rohana Abdul Manaf berkata, program bertujuan menggalak masyarakat daripada semua peringkat usia berkunjung ke masjid yang penuh dengan pelbagai aktiviti dianjurkan.

Katanya, selain pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pengisian dipenuhi dengan kuiz bahasa al-Quran, tazkirah dan juga forum dijayakan penceramah dan penulis buku terkenal.

Antara yang hadir termasuk Dr Rizwan Bakar, Mohammad Nazir Mohamed Khalid, Prof Madya Dr Mohd Noor Mamat, Dr Robiah K Hamzah dan Yaakob Mohd Yunus.

Turut hadir dalam Forum Bicara Cinta Anak Muda ‘Mencari Jalan Ke Syurga’ yang berlangsung jam 9 malam, artis tanah air Farah Asyikin Zulkifli dan Yatt Hamzah.

Menurut Wan Rohana, ia sebagai salah satu usaha memupuk semangat cintakan masjid selain mewujudkan perkongsian ilmu daripada aktiviti dijalankan.

“Selepas program di sini, akan ada lanjutan aktiviti dari masa ke semasa di masjid lain di negeri Selangor,” katanya.

Datuk Abd Jalil dalam ucapannya pula berkata, pihaknya berbangga usaha pihak masjid yang mengadakan aktiviti dengan mewujudkan penglibatan daripada masyarakat bukan Islam.

Menurutnya, ia usaha murni dalam mendekatkan dan memperkenalkan agama kepada orang bukan Islam.

“Saya difahamkan masjid ini mengadakan acara dengan mengundang pemimpin dari rumah-rumah ibadat bukan Islam sejak 2009. Mudah-mudahan dengan usaha murni ini lebih ramai tertarik kepada agama Islam,” katanya.

Tambah beliau, penglibatan Grup Buku Karangkraf juga dilihat dapat merapatkan hubungan dengan jemaah dan penduduk setempat.

Dalam program sama Datuk Abd Jalil turut menyampaikan sumbangan wakaf bahan bacaan daripada Kumpulan Media Karangkraf kepada pusat sumber Masjid As-Salam Puchong Perdana.

Sementara itu, Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana, Tn Hj Yasim Mohamed berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya setiap Program yang dianjurkan di Masjid As-Salam sentiasa bertunjangkan kepada risalah dakwah untuk memperkenalkan Islam kepada bukan Islam secara lebih dekat.

Katanya, selain rumah terbuka Aidilfitri, masjid bekerjasama dengan Grup Buku Karangkraf dan Kumpulan Media Karangkraf melalui program Imarah Masjid.

Katanya, tujuan program itu dianjur supaya masyarakat khasnya golongan belia berminat dan sering berkunjung ke masjid dan dapat berhijrah menjadi individu yang lebih baik.

Tambahnya, ia berikutan kebimbangan terhadap peningkatan masalah sosial dan kelalaian masyarakat yang terlalu sibuk dengan kehidupan seharian sehingga menyebabkan ramai yang jauh daripada masjid, agama dan juga ilmu.

“Kita harap akan menimbulkan kesedaran dalam kalangan remaja dan belia untuk menjadi manusia yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Nur Farhana Abdul Manan
Wartawan Sinar Harian
2hb September 2012

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories