Rabu, Julai 11, 2012

Program "Retreat As-Salam 2012"




Alhamdulillah, satu program retreat atau permukiman dari kalangan AJK Masjid As Salam telah berjaya diadakan pada hari Sabtu dan Ahad, 30 Jun 2012 dan 1 Julai 2012.  Program ini telah diadakan di Nur Sungai Merab, Bangi, Selangor.  Seramai 37 orang peserta yang terdiri dari AJK, sub-AJK dan juga AJK dari surau-surau di bawah pentadbiran Masjid As Salam telah mengambil bahagian dalam program ini termasuk 9 peserta dari Biro Hal Ehwal Wanita.

Objektif utama program adalah untuk: -
a.       Merangka secara praktik pelan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk Masjid As Salam untuk tempoh 34 bulan akan datang;
b.      Mengadakan sesi percambahan minda dan perbincangan dalam kumpulan kecil aktiviti-aktiviti yang perlu dirangka dan dilaksanakan dalam tempoh 34 bulan akan datang;
c.       Mengeratkan ukhuwah sesama pihak pengurusan, pegawai, jawatankuasa masjid dan surau; dan
d.      Meraikan segala usaha dan gerak kerja yang telah disumbangkan oleh jawatankuasa di segenap peringkat untuk kemakmuran masjid.


Para peserta telah mula mendaftar dan sampai ke Nur Sungai Merab secara berperingkat-peringkat bermula sebelum Zuhur sehingga Asar.  Selepas solat Asar, peserta telah melalui aktiviti jungle tracking secara bersama.  Secara individu, mungkin sebahagian peserta tidak mampu untuk melakukan aktiviti ini, namun semangat berpasukan yang kuat dan sokongan yang bertukar ganti telah menjadikan aktiviti ini berjaya ditempuh dengan selamat.
 
Selepas solat Maghrib, Tuan Haji Yasim Mohamed, Nazir Masjid As Salam telah memberikan pengisian mantap berhubung hala tuju As Salam, pentingnya menjaga hubungan dengan Allah, dengan manusia dan alam sekitar.  Sekali lagi penekanan berhubung visi dan misi As Salam telah diperjelaskan dan segarkan kembali.



Selepas solat Isyak’, sesi bengkel telah bermula dengan aktiviti ice breaking di mana para peserta telah diminta untuk melakarkan wajah masing-masing di atas sehelai kertas menggunakan sebatang pen warna yang diberi.  Lakaran setiap peserta ini telah dikumpulkan dan peserta kemudiannya telah diminta untuk mengambil mana-mana lakaran secara rawak dan cuba mengenal pasti tuan punya diri yang sebenar hanya berpandukan lakaran sahaja.  Aktiviti ini berakhir dengan setiap peserta berjaya mengenal pasti pemilik lakaran, memperkenalkan pemilik sebenar dan berkongsi satu peristiwa atau pengalaman unik yang pernah dilalui yang tidak pernah diketahui teman-teman sebelum ini.
 
Sesi yang lebih serius bermula selepas itu di mana para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membincangkan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan di Masjid As Salam untuk tempoh 34 bulan akan datang.  Setiap kumpulan telah berbincang dan mencadangkan pelbagai aktiviti mengikut bidang biro masing-masing.  Setiap cadangan telah dibahaskan dan akhirnya, di hari kedua “Resolusi Sungai Merab 2012”, alhamdulillah, telah berjaya dihasilkan.




Aktiviti berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari (selepas makan tengah hari) dengan setiap peserta meninggalkan Nur Sungai Merab dan kembali ke Puchong Perdana.

Kepada Allah, kami berserah dan bertawakal agar segala perancangan yang telah dibuat dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.  Apa yang lebih penting adalah mencapai redha Allah dari setiap perkara yang dilaksanakan itu.

Catatan

ROSLAN HANAPIAH
Pengarah Retreat As Salam 2012



















Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories