Sabtu, Mei 12, 2012

Memahami Petunjuk dan Teguran Allah



Alam ini ada sunnah dan ketetapan. Jiwa ini pun ada cara-caranya untuk berinteraksi. Bagi kita, setiap manusia itu memang diciptakan dengan sifat-sifat yang tersendiri. Masing-masing ada situasi masing-masing.


Kita meraikan semua perkara yang berkaitan dengan manusia pada tempat-tempat yang sepatutnya. Bagi kita :

1. Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang dalam segala aspek.
2. Allah mahukan kebaikan pada hambaNya.
3. Allah suka bila hambaNya datang kepadaNya.
4. Allah menyediakan segalanya untuk hambaNya dan memang manusia sukar mencari segala yang Allah sediakan pada zahirnya kerana, ia hanya untuk orang yang mencari kekuatan.

Bagi kita, dunia ini :

a. Permainan.
b. Kaburan syaitan.
c. Igauan sebentar.
d. Sekadar jambatan dan persinggahan.

Bagi kita, akhirat itu
SEGALANYA. Apabila timbul persoalan mengenai KEKUATAN, ia meliputi jiwa sebenarnya, sepatutnya dan sebetulnya atau lebih sesuai dikatakan meliputi hati orang yang beriman.

Maka ianya berkait dengan hati dan iman.

Apabila kita renungi kekuatan jiwa, ia sentiasa berkata ; "Wahai pemilikku, mengapa aku ini selalu lemah ? mengapa aku ini selalu jatuh ?

Aku tidak suka dalam lubang ini lama-lama, nanti aku berkawan dengan ahli-ahli yg terjatuh ke dalam lubang yang sama.

Jangan salahkan aku kalau aku susah nak bangun apabila kau ingin mengangkatku. Jangan salahkan aku kalau aku ditarik oleh kawan-kawan dalam lubang hitam yg dalam itu. Ketika mana kau ingin menggapai tali putih menuju ke arah cahaya terang benderang itu.

Bukan salahku, aku cuma bergaul dengan mereka, bersembang dengan mereka. Aku dah terbiasa. Itu bukan salahku. Itu salahmu, segalanya kamu. Segalanya." Lubang hitam itu gelap dan ahli-ahlinya meraba-raba mencari punca. Kadang-kadang terjumpa cacing. Kemudian dimakannya, sebab dah lapar sangat.

Kadang-kadang ular dan kala jengking diingatkan makanan, habis digigit lalu terkena racun.

Yang peliknya, tali putih itu sentiasa ada. Tapi bukan semua yang dapat. Ia Cuma pergi kepada sesiapa yang memanggil atau menghulur tangan untuk naik ke atas. Kembali melihat cahaya. Di luar sana, terang benderang. Macam-macam boleh nampak. Tapi masih ada yang terlindung.

Dunia ini banyak rahsia… Jiwa kita (yang terjatuh) mencari penyelesaian. Apa dia? Ia tidak lain.. hanyalah
KEKUATAN!

Ia perlukan kekuatan untuk :

1. Mengangkat tangan.

2. Membuka mata dan melihat cahaya di atas sana.

3. Menolak tangan-tangan yang menariknya untuk tidak naik ke atas.

4. Memegang erat tali putih itu hingga sampai ke atas.

Ya…
KEKUATAN. Bagi kita, kekuatan itu mutlaknya dari Allah tetapi kita yang memulakannya. Cuma mungkin bezanya dari segi petunjuk-petunjuk kekuatan yang Allah nak turunkan kepada kita.

PETUNJUK PERTAMA:
Kadang-kadang, Allah bagi petunjuknya dan tegurannya kepada kita seorang, maka kita sahut seruan dan kita menjana kekuatan secara individu dan bukan atas dorongan orang lain. Dengan itu, kita berubah kerana kesedaran dari diri kita sendiri.

PETUNJUK KEDUA:

Kadang-kadang, Allah bagi petunjuknya kepada keluarga dan orang-orang yang terdekat dengan kita. Maka kita sahut seruan bahawa aku perlu menjadi lebih kuat. Sepertimana Allah turunkan bencana kepada keluarga dan sebagainya.

Bezanya ini, orang akan nampak kita berubah setelah mendapat bala' dan kita seolah-olah terpaksa untuk menjadi kuat kerana tiada tempat bergantung melainkan Allah. Walau tidak bersedia pun… terpaksa lah..


PETUNJUK KETIGA:

Kadang-kadang Allah bagi petunjuknya kepada orang yang tegur kita, sebab kesalahan kita dia tahu, maka dia tegur kita. Maka kita pun menyahut seruan, aku perlu menjadi lebih kuat.



PETUNJUK KEEMPAT :

Kadang-kadang Allah bagi petunjuk kepada keadaan sekeliling kita, dunia, harta benda kita dan lain-lainnya. Apabila dunia bergolak seperti isu Palestin contohnya, maka kita pun merasakan bahawa kita perlu menjadi lebih kuat untuk dunia yang sedang bergolak dan sedia untuk menerima apa sahaja yang datang. Petunjuk-petunjuk tersebut ada turutannya sehingga turutan yang paling akhir selepas Allah bagi petunjuk-petunjuknya (yakni selepas petunjuk dari awal kita tak sahut, maka boleh jadi pergi ke petunjuk seterusnya).

Tapi, bagi kita, yang penting sekali, kita ini sedar dan perlu menyahut seruan menuju kekuatan berdasarkan hidup kita selama ini. Petunjuk Allah yang terakhir ialah
MAUT dan ALAM SELEPASNYA (mahsyar, mizan, neraka dsb).

Tapi bezanya pada ketika itu, kita bukan sahaja tidak mampu menjadi kuat, bahkan sudah terlambat atau sangat-sangat lambat.

Bukan apa, sebab kita melengah-lengahkan untuk menyahut seruan fitrah daripada Allah. Seruan kelesuan jiwa yang meronta-ronta, seruan kelesuan hati yang keras membatu .. seruan Allah yang menyuruh hambaNya berlumba-lumba ke arahnya.



Maka di sini kita membenarkan lagi sabda Nabi saw : "Cukuplah dengan maut itu sebagai nasihat / teguran." Setiap jenis petunjuk itu ada keistimewaannya. Bila kita sahut yang pertama, kadang-kadang kita tidak perlu jumpa yang kedua. Bila kita tinggal yang pertama, kadang-kadang ia boleh terus jatuh pada peringkat terakhir (maut dan selepasnya). Tapi kadang-kadang kalau kita dapat yang ketiga atau seterusnya, kita akan lebih 'rasa' pengalaman 'teguran' yang Allah bagi, berbanding orang yang menyahut seruan yang pertama.

Itulah uniknya teguran Allah yang penuh hikmah ini. Semuanya saling melengkapi, mengikut tahap masing-masing di sisi Allah.

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories