Jumaat, Mei 04, 2012

Intipati Khutbah yang disampaikan oleh Nazir As-Salam pada 4/5/2012


Mempersiap Keturunan yang bertaqwa

Anak adalah amanah Allah SWT yang dipertanggungjawabkan kepada para ibubapa untuk memelihara dan membentuknya menjadi insan yang berguna.

Justeru sebagai ibubapa, kita seharusnya berusaha untuk mempersiapkan anak-anak dan keturunan kita dengan nilai ketaqwaan.


Anak-anak hendaklah dididik sejak awal usia mereka dengan menerapkan nilai-nilai yang mampu membentuk keimanan dan ketaqwaan mereka kepada Allah SWT. Apabila mereka telah mendapat didikan mengenai perkara-perkara keimanan dari usia kecil, dan akal fikirannya telah dimantapkan dengan dalil-dalil yang kukuh mengenai tauhid dan keesaan kepada Allah SWT, nescaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan gejala-gejala yang merosakkan akidah.

Antara cara-cara untuk menanamkan perasaan taqwa dalam jiwa anak-anak ialah ;

Pertama : Hendaklah membiasakan mereka mematuhi perintah solat semenjak peringkat usia mumaiyiz (masih kecil lagi)

Kedua : Hendaklah mendidik mereka supaya boleh membaca al-Quran.

Ketiga : Hendaklah mempersiapkan anak-anak dengan pendidikan akhlak dan rohani kerana ini adalah perkara yang amat dituntut oleh Islam.

Dalam masa yang sama, ibubapa juga mestilah mengambil berat terhadap nilai-nilai kerohanian yang mendorong kearah ketaqwaan mereka kepada Allah swt. Nilai kerohanian ini mestilah diterapkan kedalam jiwa anak-anak semenjak mereka masih kecil lagi.

Di antara nilai yang dapat membentuk kerohanian yang baik ini adalah seperti sifat malu, amanah, tawadhu', taat kepada ibubapa, guru-guru, orang-orang tua, tidak sombong, tidak takbur dan lain-lain lagi. Kesemua nilai ini jika tidak diterapkan ke dalam jiwa anak-anak, dibimbangi akan menyebabkan jiwa mereka menjadi kosong dan mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir negatif sehingga menjadikan mereka manusia yang liar dan terpesong jauh dari landasan agama.

Keempat : Ibubapa bertanggungjawab memastikan kesihatan fizikal anak-anak berada dalam keadaan yang terbaik. Kesihatan fizikal adalah merupakan salah satu faktor luaran penting yang dapat membantu melancarkan proses membentuk akidah dan akhlak anak-anak yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Kelima : Mendidik anak-anak dalam aspek sosial dan kemasyarakatan. Aspek ini juga mestilah dibudayakan dalam kehidupan mereka kerana sebagai manusia, mereka tidak boleh lari dari tanggungjawab hidup bermasyarakat yang mengutamakan hubungan persaudaraan.

Sesungguhnya mendidik anak-anak mengenai pelbagai bidang kehidupan adalah amat penting sebagai persiapan untuk mereka menjadi insan yang benar benar memahami erti kehidupan ini. Kesedaran anak-anak terhadap matlamat kehidupan di dunia ini akan mendorong mereka meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Justeru, kita sebagai insan yang dikurniakan zuriat dan keturunan oleh Allah SWT seharusnya dapat menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya keatas amanah yang telah diberikan ini.

Marilah kita teruskan tekad dan berusaha mendidik anak-anak mengikut saranan yang telah dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w.

Persiapkanlah anak-anak ini dengan ilmu yang berteraskan keimanan agar mereka dapat menjadi insan yang sentiasa tunduk dan taat kepada perintah Allah SWT. Mudah-mudahan usaha yang kita lakukan ini akan dapat menghasilkan keturunan yang bertaqwa kepada Allah SWT.



Rujukan:  Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories