Isnin, Mac 12, 2012

Majlis Penyampaian Sumbangan kepada anak yatim dan ibu tunggal di Surau AnNur Vista Mellinium

Tn Nazir Masjid As-Salam sedang menyampaikan ucapan

Seramai lapan orang ibu tunggal dan sepuluh orang anak yatim yang terpilih dari sekitar kawasan Puchong telah dijemput untuk menerima sumbangan. Pemilihan dilakukan dengan teliti dan lawatan ke rumah penerima sumbangan telah dilakukan sebelum surat jemputan diedarkan bagi memastikan penerima adalah anak yatim dan ibu tunggal yang sah.

Sumbangan yang berupakan wang ringgit dan bahan makanan adalah hasil sumbangan ikhlas penduduk Vista Millennium Condo, dan sumbangan kenalan penduduk Vista Millennium Condo. Sumbangan wang ringgit juga adalah hasil pemberian wang zakat individu yang diberikan terus kepada semua penerima.

Majlis bermula selepas solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh saudara Ahmad Bashier, imam Musolla Annur, disusuli oleh bacaan Yassin dan doa selamat oleh Ustaz Rusdhi, Imam Masjid As-Salam, Puchong Perdana.

Majlis diacarakan dan terjemahan Surah Ad-Dhuha dibacakan oleh Hj Mohd Nashrul. Penghormatan diberi kepada Yang Berbahagia Tuan Haji Yasim Bin Mohamad, Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana untuk menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim yang terpilih, diiringi oleh Yang Berusaha Tuan Syed Salim Bin Syed Abdullah (Pengerusi Musollah An-Nur, Vista Millennium Condo)

Manakala wakil muslimah Musolla Annur, Pn Najha Binti Johari dan Pn Inaz, menyampaikan sumbangan kepada para anak yatim perempuan dan ibu tunggal.

Majlis diteruskan lagi dengan jamuan makan malam yang diadakan selepas solat Isyak di bilik bacaan. Lebih seratus orang penduduk Vista Millennium Condo dan para jemputan telah menghadiri majlis ini, Majlis bersurai kira-kira jam 10.30 malam.

Adapun Kelebihan bersedekah menurut hadith…

Hadith :
Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur, dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk, dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”
(Hadis Bukhari)

Huraiannya
1. Selain daripada sedekah wajib iaitu zakat harta, zakat fitrah dan sebagainya, umat Islam umumnya digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

2. Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat.

3. Faedah sedekah di dunia adalah seperti seseorang itu akan dimurahkan rezekinya oleh Allah, terhindar daripada bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian yang buruk di mana orang yang selalu bersedekah akan dilindungi daripada ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematian dalam keadaan yang ngeri atau mati dalam keadaan tidak beriman (su’ul khatimah) kerana sedekah itu sebenarnya membawa rahmat di samping menghapuskan sifat sombong, takbur dan menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.

4. Manakala faedahnya di akhirat pula ialah seseorang itu akan mendapat naungan daripada panas terik di padang Mahsyar dan mendapat pendinding daripada api neraka.

Wassalam,
Laporan oleh:

Hj Mohd Nashrul Azrin Bin Hj Isa
Setiausaha Musolla AnNur Vista Millennium Condo,
016-216 6867
nash.isa@gmail.com



Tn Syed Salim bin Syed Abdullah, Pengerusi Surau AnNur Vista Melliniuem menyampaikan ucapan alu-aluan

Tn Hj Yasim Mohamed, Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana sedang menyampaikan sumbangan




Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories