Isnin, Januari 09, 2012

Program Bicara As-Salam Siri 05 Melabuh Tirai 2011 Dengan Cemerlang



Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Tuhan Semesta Alam yang telah mengizinkan satu lagi program berskala besar dilaksanakan di bumi Puchong Perdana. Sesungguhnya kejayaan ini layak disyukuri di atas beberapa faktor berikut: -

• Program telah berlangsung dalam suasana aman damai dan cuaca yang sangat baik. Maklumlah, bulan Disember sering dikaitkan dengan fenomena cuaca yang tidak menentu serta hujan lebat, namun, langit yang cerah serta angin yang bertiup sepanjang program ini berlangsung telah menjadikan suasana program begitu nyaman dan mendamaikan;

• Kehadiran ramai para pengunjung dan para peminat majlis ilmu yang tidak datang bersendirian bahkan dilihat memenuhi ruang yang disediakan bersama ahli keluarga. Kehadiran mereka juga membuktikan bahawa program bicara ilmu ini mempunyai tarikan yang tersendiri biarpun, pada masa yang sama banyak program lain dianjurkan di sekitar Puchong bagi menyambut ketibaan tahun baru Masihi 2012. Kehadiran pengunjung yang ramai juga telah menjadi punca rezeki kepada beberapa peniaga kecil yang turut mengambil kesempatan meningkatkan jualan masing-masing;

• Kehadiran para penalis dan moderator yang tersohor yang merupakan ikon ilmuwan agama di tanah air. Pastinya kehadiran yang Berbahagia Dato’ Siti Nur Bahayah Mahmood, Ustaz Dr Haji Zaharuddin Abd Rahman dari Universiti Islam Antarabangsa dan Ustaz Wan Akashah yang bertindak selaku moderator, begitu dinantikan oleh para anak kariah Masjid As Salam Puchong Perdana. Pengedaran flyers serta pemasangan banner di beberapa lokasi strategik seakan memujuk hati sanubari setiap anak kariah agar tidak terlepas peluang keemasan ini; dan

• Kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua para petugas dan AJK pelaksana di bawah pimpinan saudara Norhafizan Ibrahim bagi memastikan, tirai 2011 dilabuhkan dalam suasana yang sedikit berlainan berbanding sambutan ambang awal tahun baharu yang sering diamalkan.

Program Bicara As Salam Siri 5/2011 pada 31 Disember 2011 bertempat di Dataran Tasik Puchong Perdana telah dimulakan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Khairuddin Abd Malik, Imam Masjid As Salam.

Banyak kelainan dan pembaharuan telah diperkenalkan pada program ini. Antaranya persembahan Maulid oleh AJK Masjid As Salam di bawah pimpinan Ustaz Rushdi Hambaly Ahmad, bacaan sajak oleh saudara Ery Sudirman serta persembahan nasyid oleh Kumpulan E-voice. Persembahan-persembahan yang telah diadun dengan baik ini telah menjadikan suasana program kali ini lebih segar dan ceria. Mereka-mereka yang terlibat dengan persembahan ini juga telah menunjukkan komitmen yang tinggi dengan membuat persiapan dan latihan yang bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan para hadirin yang datang. Kini, selain Program Bicara As Salam, masjid juga telah membuktikan keupayaan untuk menghasilkan beberapa produk lain yang dapat menambah seri dan mewarnai program ini dengan lebih baik.

Ucapan aluan Yang Berbahagia Tuan Haji Yasim Mohamed, Nazir Masjid As Salam juga tidak kurang hebatnya. Gaya dan lenggok ucapan beliau telah disentuh oleh Ustaz Wan Akashah umpama ‘calon pilihan raya’ dan pendapat ini turut dipersetujui oleh dua orang ahli panel yang lain. Dalam ucapannya, Hj Yasim telah mengalukan kehadiran panelis dan moderator bertaraf heavyweight di atas kesudian mereka memenuhi undangan pihak masjid. Kehadiran penonton yang ramai turut diiktiraf oleh Hj Yasim sebagai satu sumber kekuatan kepada AJK Masjid As Salam untuk memenuhi tanggungjawab menyampaikan ilmu dalam keadaan yang santai, ceria serta turut disertai oleh sekalian ahli keluarga. Mungkin kerana kesibukan dengan tugas dan urusan seharian, para anak kariah jarang dapat mengikuti program ilmu di masjid atau pun di surau, namun dengan program seumpama ini, masyarakat dapat diajak untuk mendapatkan ilmu pengetahuan khususnya berkaitan hal ehwal agama dalam suasana yang lebih selesa dan tenteram.

Bagi Program Bicara As Salam siri 5/2011 ini, tajuk yang dipilih adalah “Perlukah Kita Berubah?”. Tajuk ini telah dikupas dengan baik oleh para ahli panel dan di senggara dengan berkesan oleh Ustaz Wan Akashah. Ustaz Dr Haji Zaharuddin Abd Rahman telah mengupas tajuk ini dengan begitu cermat sekali dengan sandaran beberapa potong hadis muktabar serta dalil-dalil Al Quran. Ulasan dan kupasan beliau lebih berbentuk ilmiah, mudah difahami sesuai dengan latar belakang beliau sebagai seorang pensyarah universiti yang tersohor di tanah air.

Berbeda sedikit dengan sosok Dato’ Siti Nur Bahayah yang bicara dan nadanya begitu mencuit hati sekali. Mungkin kemunculan beliau dan suami, Ustaz Wan Akashah dalam program di TV 9, ‘Semanis Kurma’ telah menjadikan para penonton begitu teruja untuk mendengar kupasan beliau dengan menampilkan pelbagai contoh yang begitu hampir dengan masyarakat. Sesekali bait-bait puisi dan pantun yang diucapkan beliau, mengundang senyum dan tawa di wajah sekalian yang hadir.

Para penonton juga tidak melepaskan peluang untuk mengemukakan beberapa soalan secara langsung kepada panelis. Ringkasnya, para penonton inginkan satu suntikan motivasi untuk berubah dan berusaha sedaya mungkin untuk kekal berubah walaupun faktor persekitaran sering kali menjadi ancaman kepada perubahan yang ingin dilaksanakan itu. Di sini, panelis telah memberikan cetusan semangat dengan mencadangkan perubahan secara kecil-kecilan, sabar, banyak bergantung harap kepada Allah dan elakkan untuk melakukan perubahan yang bersifat drastik atau total. Kerana perubahan mungkin akan berlaku, namun kesan jangka panjangnya mungkin tidak sebagaimana yang diharapkan.

Program kali ini diakhiri dengan persembahan Nasyid oleh Kumpulan E-voice dan bertepatan waktunya dengan sambutan tahun baharu Masihi 2012. Secara mudah, AJK pelaksana Bicara As Salam siri 5/2011 telah berjaya merealisasikan satu kaedah sambutan tahun baharu yang jelas berbeza dengan atur cara-atur cara biasa yang sering diamalkan. Jauh lebih penting, moga Allah mengiktiraf program serta segala usaha yang telah dicurahkan ini sebagai satu bentuk amal soleh disinyaNya.

Disediakan oleh
ROSLAN HANAPIAH


















Nazir Masjid As-Salam, Tn Hj Yasim Mohamed ditemubual oleh wartawan Sinar harian




Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories