Sabtu, November 12, 2011

Program Korban Perdana Masjid As-Salam 2011 / 1432 Hijrah


Nazir Masjid As-Salam Tn Hj Yasim Mohamed  menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum program bermula
 


Petugas dan sukarelawan Program Korban sedang meng"amin"kan doa untuk kesejahteraan

Puchong, 6 Nov 2011: Alhamdulillah.  Segala puji-pujian itu hanyalah kepada Allah Tuhan pentadbir dan ampunya sekalian alam.  Tuhan yang telah memungkinkan satu lagi program berskala besar iaitu Program Korban Perdana 2011 yang berlangsung dengan jayanya di perkarangan Masjid As Salam Puchong Perdana.
 




   


Berbekalkan pengalaman menganjurkan dua siri korban yang terdahulu, sekali lagi Masjid As Salam diberi kekuatan, keizinan dan limpah kurnia yang tidak terhingga dari Allah untuk menganjurkan program korban bagi tahun 2011 / 1432 hijrah.  Program Korban Perdana ini bermula dengan promosi yang bersungguh dari pihak jawatankuasa yang dibentuk khusus bagi mengendalikan program ini.  Banner yang digantung di lokasi strategik serta paparan makluman yang sentiasa dikemas kini berhubung bilangan peserta serta lembu korban, telah menjadi satu bentuk motivasi kepada anak kariah untuk menyertai program pada tahun ini.




Pada tahun ini, Program Korban Perdana Masjid As Salam Puchong Perdana telah diketuai oleh pengarahnya, En Norhafizan Ibrahim.  Hasil permuafakatan dan perancangan yang baik beberapa jawatankuasa kecil telah diwujudkan bagi memastikan kelancaran program pada kali ini.  Dari aspek pendaftaran, siar raya, masakan, sembelihan, proses melapah, agihan dan kebersihan telah disusun dengan baik dan sistematik sekali.





Majlis telah bermula dengan ucapan aluan Pengarah Program dan disusuli bacaan doa. Nazir Masjid As Salam, Tuan Haji Yasim Mohamed seterusnya telah menyampaikan ucapan ringkas yang antara lain mengucapkan rasa syukur kepada Allah dan terima kasih di atas penglibatan para peserta dan para petugas bagi melaksanakan program pada tahun ini. Menurut beliau lagi, program berskala besar seperti itu tidak akan berjaya tanpa kerjasama dan persefahaman semua pihak yang terlibat.
 
Sejumlah 19 ekor lembu telah disembelih termasuk seekor lembu yang menyertai ibadah aqiqah serta seekor lagi sumbangan dari Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan, selebihnya 17 ekor lagi adalah lembu-lembu yang dikorbankan atas penglibatan individu dan syarikat. Hampir 1000 kupon telah diedarkan kepada jemaah yang hadir yang terdiri dari anak-anak kariah tempatan daripada surau-surau begitu juga para jemaah warga Bangladesh, Pakistan, Arab dan lain-lain. Kaunter agihan daging telah dibuka selepas waktu Zuhur dan daging korban disampaikan sendiri oleh Nazir Masjid As Salam Puchong Perdana. Proses serahan berakhir pada jam 2.30 petang.

Sekalung tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua petugas dan sukarelawan yang telah berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh sepanjang program berlangsung. Kepada Allah juga diserahkan sebaik-baik ganjaran kepada mereka yang terlibat.

Kejayaan program ini adalah hasil kerjasama, usaha, disiplin, komitmen, toleransi, perpaduan, ukhuwah, keakraban dan pastinya kasih sayang serta izin Tuhan Rabbul Jalil. Moga Allah akan terus memberi kekuatan kepada semua yang terlibat untuk menanam azam melibatkan diri pada masa-masa akan datang dalam program yang seumpamanya, insyaAllah.

Selain kejayaan lahiriah yang diraih, pasti ada di sana sini beberapa kekurangan dan kesilapan yang timbul sepanjang program ini berjalan. Bagi pihak Jawatankuasa Penganjur, kami memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan dan kelemahan yang tidak disengajakan itu. Hal yang sedemikian ini akan menjadi pengajaran pada kami dan pengalaman yang ditimba pasti akan menjadikan kami hamba Allah yang lebih insaf, merendah diri dan hanya mendambakan kekuatan dari Allah jua.

Wallah hu a’alam


Dicatat oleh:


ROSLAN HANAPIAH











En Ery Sudirman, Pegawai Khas Nazir As-Salam mengagihkan daging-daging kepada orang ramai








En Rahman, Bendahari Masjid dan En Faizal AJK Program Korban sedang sibuk membahagikan daging korban


Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories