Selasa, November 01, 2011

Personaliti TV menambahkan lagi kemeriahan Program Bicara As-Salam Siri 04


Prof Dr Muhaya Mohammad dan Dr Robiah K. Hamzah bersama Nazir Masjid As-Salam di Program Ilmu Bicara As-Salam Siri 04

Tarikh 29 Oktober 2011, sekali lagi telah mencatatkan sejarah dan cerita yang tersendiri Masjid As-Salam Puchong Perdana.  Dengan izin Allah s.w.t. program ilmu Bicara As-Salam siri 4/2011 telah berlangsung dalam suasana yang hebat, ceria dan santai.  Namun begitu, sehebat dan serapi mana pun perancangan yang diatur, jika tiadanya elemen kerjasama, komitmen, kesungguhan, keazaman yang tinggi, sambutan dari para penggemar ilmu dan pastinya berpaksi dengan izin dan pertolongan Allah, program berskala besar ini pasti tidak akan mencernakan kejayaan yang diimpikan.


Di sebalik tabir, para Jawatankuasa Pelaksana sebenarnya berdepan dengan beberapa risiko.  Risiko pertama adalah faktor cuaca kerana hampir seminggu sebelum program ini berlangsung, hujan turun saban hari pagi, petang, siang dan malam.  Justeru kami terpaksa merangka beberapa pelan luar jangka sekiranya, hujan menjadi takdirnya pada malam tersebut.  Risiko kedua adalah tarikh dan masa program ini bertembung dengan Final Piala Malaysia yang mempertemukan Negeri Sembilan dan Terengganu.  Dan risiko ketiga adalah faktor kehadiran para penonton ke program ini.

Manusia merancang, Allah membalas perancangan itu dan pastinya perancangan Allah itu adalah perancangan terbaik yang tidak ada tolok bandingnya.  Apa yang berlaku pada malam tersebut, cuaca cerah dan nyaman sepanjang program berlangsung.  Biarpun 80,000 peminat memilih untuk menonton final perlawanan bola sepak pada malam tersebut secara langsung di stadium Shah Alam, namun masih berbaki, tidak kurang tiga ribu orang membanjiri Dataran As Salam, Puchong Perdana.  Ringkasnya, setiap program itu mempunyai tarikan dan kehebatan tersendiri.

 
Bicara As-Salam merupakan satu jenama atau ‘brand’ yang dijelmakan bagi memeriahkan wacana ilmu di bumi Puchong khususnya.  Ia adalah satu produk ilmu baru yang diperkenalkan kepada kariah Masjid As-Salam.  Konsep program yang santai bersama keluarga, merupakan salah satu dari puluhan cara atau medium dakwah yang membolehkan ilmu Allah itu disebarkan dengan kaedah yang pelbagai bagi mendekati pelbagai lapisan masyarakat, khususnya yang tidak berkesempatan untuk bertamu di masjid mahupun di surau-surau.  Apa yang menarik ialah, produk ini tidak diperkenalkan di laman masjid terlebih dahulu.  Malah untuk siri Bicara As Salam siri 1 – 3, semuanya dilaksanakan di luar perkarangan masjid iaitu dua siri di Puchong Permai dan satu siri di Puchong Utama, Court 2.


Kehangatan Bicara As-Salam Siri 4/2011 dimulakan dengan persembahan Dikir Barat.  Alunan dikir yang mengambil masa lebih kurang 40 minit begitu menghiburkan.  Bait-bait puisi yang diperdengarkan, sarat dengan 1001 nasihat dan pengajaran buat semua yang hadir.  Sekali lagi, medium dakwah menerusi elemen seni diketengahkan untuk santapan halwa telinga para hadirin.




Dari promosi yang dibuat, Bicara As-Salam Siri 4/2011 berhasrat menampilkan tiga orang personaliti bertaraf heavyweight dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Panelis yang ditampilkan adalah Profesor Dr. Muhaya Muhamad, seorang pakar mata, personaliti TV dan tetamu tetap di radio IKIM. Panelis kedua adalah Dr. Rubiah K. Hamzah, seorang pakar motivasi, perunding keluarga dan personaliti TV. Bicara As-Salam Siri 4/2011 telah mengundang Ustaz Fauzi Mustapha selaku moderator, namun, beliau telah menarik diri di saat akhir. Tanpa Ustaz Fauzi, program ini tetap berlangsung dengan ceria dan bertenaga apabila Nazir Masjid As-Salam, Tuan Haji Yasim Mohamed sendiri bertindak selaku moderatornya.



Banyak perkara yang telah dibincangkan dalam tiga pusingan forum ini.  Dan setiap pusingan telah mengupas tajuk atau aspek yang berbeda.  Dari kupasan apa itu cinta, faktor-faktor yang boleh menceria dan memantapkan sesebuah institusi rumah tangga hinggalah kepada halangan dan cabaran yang dihadapi untuk membentuk keluarga yang bahagia dan cemerlang, telah berjaya dibincangkan dengan begitu menarik sekali.  Dari perawakan yang lembut, berfalsafah dan cermat susun atur bicaranya dari Profesor Muhaya, hadirin tidak kering gusi dengan celoteh Dr. Rubiah yang sarat dengan pelbagai contoh dan realiti hidup masyarakat Islam pada hari ini.  Secara mudah, personaliti yang kontras ini telah menceria, menghidup dan menghangatkan malam tersebut dan tidak terasa jam terus berdetik hingga ke noktah menghampiri jam 11.30 malam.

Bagi kedua-dua orang personaliti dan moderator ini, tugas mereka tidak berakhir di atas pentas sahaja. Sebaik turun dari pentas, hadirin tidak melepaskan peluang bergambar dengan mereka bertiga termasuk membeli buku dan CD keluaran Profesor Muhaya.



Kesimpulannya, masyarakat hari ini dahagakan ilmu khususnya, ilmu keagamaan. Agama yang sepatutnya menjadi cara hidup dan landasan untuk memantapkan hubungan dengan Allah, serta hubungan sesama manusia. Ilmu itu juga boleh disampaikan dalam pelbagai medium baik secara audio visual mahupun program bual bicara yang santai, secara langsung dan menyeronokkan. Moga Allah merahmati semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program ini dari Jawatankuasa Penganjurnya di bawah pimpinan saudara Norhafizan Ibrahim, seluruh pimpinan Masjid As Salam, Panelis, Moderator dan seluruh umat Islam yang hadir pada malam tersebut. Jika diizinkan Allah, sekali lagi, Bicara As Salam Siri 5/2011 bakal menyusul di penghujung Disember 2011 nanti, insyaAllah.










Laporan oleh:

ROSLAN HANAPIAH

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories