Khamis, Ogos 18, 2011

Sheikh Maher Hasan al Munajjed di Masjid As-Salam Puchong Perdana pada 21 Ogos 2011

Sheikh Maher Al Munajjed



Keinsafan Ramadhan Bersama Huffaz Palestin: Mereka dikuasai al-Quran!


Ramadhan terus membawa nikmat dan rahmat yang tidak terhitung. Setiap orang beriman samada kanak-kanak mahupun dewasa, lelaki atau wanita, berlumba-lumba meraih kebaikan dan keampunan Allah. Mereka amat yakin bahawa walaupun setiap amal yang diusahakan itu mungkin tidak begitu kelihatan manfaatnya di dunia ini, Allah akan tetap memberi ganjaran berganda-ganda di akhirat kelak


Kehadiran Ramadhan kali ini membawa anugerah yang amat bermakna kepada kami sukarelawan HALUAN Palestin apabila seramai 10 orang huffaz Palestin sempat meluangkan masa sepanjang Ramadhan di Malaysia. Jika sebelum ini kita sering terdengar bagaimana kecintaan anak-anak Palestin terhadap al-Quran, maka kali ini dapat pula kita berjumpa dan bermesra dengan mereka, mengambil iktibar secara langsung dari pengalaman hidup mereka yang dibesarkan dalam suasana penuh perjuangan dan naungan al-Quran.


Sheikh Maher Hasan al Munajjed yang mengetuai pemuda-pemuda yang dihantar khusus oleh Robitah Ulama Palestin ini dilahirkan di Damsyik pada tahun 1971. Betapa tegasnya ibubapa beliau dalam penghayatan Islam dan al-Quran, Sheikh Maher membesar sebagai seorang tokoh yang sangat disegani di Syria. Masakan tidak, beliau telah mendapat anugerah Ijazah Qiraat 10 yang mutawatir dari Syeikh Muhammad Toha Sukkar rahimahullah Taala pada tahun 1998.


Bermula dengan ijazah dalam ilmu hadith dari Allamah Syeikh Muhammad Samir, iaitu nas yang diijazahkan dari Allamah Syeikh Yaa Siin al Ghaddani al Indonesiy Rahimahullah, beliau terus meraih ilmu sehingga mendapat kelayakan kedoktoran (PhD) dalam Usul Fiqh dari Universiti Omm Darman pada tahun 2011. Beliau juga turut diijazahkan dalam ilmu Mantiq dan Usul oleh Dr Muhammad Hasan Haito Hafizahu Allah.

Dengan ilmu yang dianugerah Allah ini, Sheikh Maher memikul tanggungjawab yang sangat besar. Selain menjadi ahli tetap lajnah al-Quran di Kementerian Waqaf Syria, beliau juga menjadi ahli lajnah pemerhati mashaf dan ahli lajnah ujian pengijazahan al Quran di Syria.

Pada masa yang sama, beliau juga merupakan seorang guru al-Quran al Kareem di Kuliyah Dakwah al Islamiyah cawangan Damsyik dan juga di Jabatan Pengajian Tinggi di Jamiah Omm Darman cawangan Damsyik.

Sheikh Maher merupakan seorang khatib di Masjid Sultan Muhammad Fateh, Damsyik.

Perwatakan beliau yang merendah diri, bersahaja dan sentiasa dihiasi senyuman sudah cukup membuatkan para jemaah ternanti-nanti apa yang beliau akan perkatakan dalam sesi tazkirah sebelum bertarawih. “Tuan, esok Sheikh ada kat masjid mana? Saya nak terus ikut dia solat tarawih,” tanya seorang ahli jamaah di Cheras seusai solat tarawih yang dipimpin oleh Sheikh Maher.

Apa yang menarik dengan solat tarawih yang dipimpin oleh Sheikh Maher adalah selain membaca ayat-ayat al-Quran dengan tartil, beliau memperkenalkan bacaan mengikut qiraat yang berbeza, lalu menerangkan secara ringkas tentang qiraat tersebut seusai solat.


Menurut beliau, semua qiraat datang dari Rasulullah saw, di mana para sahabat Rasulullah saw telah diagihkan ke tempat-tempat yang berlainan bagi menyebarkan dakwah Islam. Para sahabat Rasulullah saw begitu komited dalam bidang qiraat ini sehinggakan mereka menjadi terkenal dengan ketinggian Ilmu yang mereka perolehi. Antara jenis-jenis qiraat yang dimaksudkan adalah Qiraat Ibn Kathir, Qiraat Hamzah, Qiraat ‘Asim, Qiraat Al-Hisan, disempenakan nama-nama para sabahat terbabit.

Rasulullah saw mengambil qiraat-qiraat ini dari wahyu, bukan hasil rekaan Baginda saw sendiri. Perbezaan qiraat ini untuk memudahkan bacaan, kerana kesukaran orang-orang Arab tertentu untuk menyebut sesuatu qiraat itu. “Qiraat yang banyak ini juga bukti Al-Quran sebagai Mu’jizat,” syarah Sheikh Maher.

Indahnya al-Quran. Begitu luas bidang pembacaannya, apatah lagi panduan kehidupan yang dibawanya. Insaflah wahai diri!

Sheikh Maher Hasan al Munajjed akan meng"imamkan" solat Tarawikh di Masjid As-Salam Puchong Perdana pada 21 Ogos 2011. Muslimin dan muslimat dijemput hadir beramai-ramai.

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories