Rabu, Ogos 03, 2011

MB rasmi Konvensyen Pengurusan Masjid Negeri Selangor 2011




Shah Alam, 23 July 2011; Kira-kira 2,000 pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid dan surau seluruh Selangor menghadiri Konvensyen Pengurusan Masjid yang diadakan di Dewan Solat, Masjid Negeri Shah Alam.

Konvensyen ini dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali.
Pada majlis yang sama, Menteri Besar juga menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Moreh untuk Ramadan kepada masjid dan surau seluruh negeri Selangor.


Tn Hj Yasim Mohamed, Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana sedang membuat pembentangan berhubung Pelaksanaan KPI Pengurusan Masjid

Konvensyen Pengurusan Masjid ini diadakan bagi menghimpunkan Nazir Masjid dan Pengerusi Surau serta membuka ruang perbincangan yang luas dalam menilai keberkesanan dan prestasi pengurusan pengimarahan masjid Negeri Selangor.

Di Konvensyen tahun ini, 2 kertas kerja telah dibentangkan. Kertas Kerja yang pertama bertajuk "Pelaksanaan KPI Pengurusan Masjid" telah disampaikan oleh Tn Hj Yasim Mohamed, Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana manakala kertas kerja kedua bertajuk "Integriti dalam Pengurusan Masjid" telah disampaikan oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri seorang penulis dan pendakwah bebas.


Program ini sejajar dengan matlamat kerajaan Selangor menjadikan masjid sebagai institusi terpenting kepada umat Islam dalam menjana kehidupan dengan berpaksikan akidah yang mantap dan penghayatan yang menyeluruh.

Kerajaan Selangor juga sedar program-program yang dilaksanakan ketika ini perlu dipertingkatkan bagi memastikan insitusi masjid berperanan penting kepada kemajuan dan kesejahteraan umat Islam.


Penyampaian sumbangan moreh pula dilaksanakan pada setiap tahun bagi membuktikan keprihatinan Kerajaan Selangor kepada rakyat terutamanya pada setiap kali datangnya Ramadan yang dipenuhi keberkatan.


Sumbangan ini bertujuan membantu masjid dan surau dengan memberikan sedikit peruntukan supaya program pengimarahan di masjid dan surau dapat dilaksanakan terutamanya bagi masjid dan surau yang daif.

Sebanyak RM 999,260.00 diperuntukkan untuk sumbangan tahun ini, yang mana masjid dan surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat menerima peruntukan RM1,000 manakala surau sebanyak RM400.


Sebahagian daripada Nazir-nazir Masjid dan Pengerusi surau yang hadir di Konvensyen tersebut



Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories