Ahad, Ogos 07, 2011

Huffaz Palestin meriahkan tarawih Ramadhan di Masjid As-Salam


 Puchong, 7 Ogos; Ramadhan tahun ini bakal memberi pengalaman baru kepada masyarakat Malaysia khususnya di Puchong apabila seramai 10 orang huffaz al-Quran dari kem-kem pelarian Palestin akan bersama-sama memeriahkan solat tarawih di tempat-tempat terpilih sepanjang Ramadhan.

Masjid As-Salam Puchong Perdana adalah diantara masjid yang terpilih didalam Program Keinsafan Ramadhan bersama Huffaz Palestin. Huffaz Palestin yang akan mengimami solat tarawikh pada 8/8/2011 di Masjid As-Salam ialah Imam Mohd Amer Bayazid, seorang hafiz al-Quran daripada Palestin.


Program yang dianjurkan oleh HALUAN dengan kerjasama Rabitah Ulama’ Palestin dan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat Islam di Malaysia terhadap tanggungjawab mereka ke atas permasalahan Palestin.



Mohammed Jamal Suboh, 24 tahun, lulusan Hashemite University of Jordan merupakan salah seorang huffaz yang menyertai program ini. Beliau memiliki ijazah dalam bidang pembacaan al-Quran di samping kelayakan lain dalam bidang tajwid dan pembacaan al-Quran mengikut 8 Maqamat.

Dalam satu majlis taklimat kepada wakil-wakil HALUAN Palestin di Subang Jaya baru-baru ini, Pengerusi HALUAN Palestin Dr Syed Muhamad Haleem Syed Hasan menyatakan bahawa kedatangan 10 orang huffaz Palestin ini adalah merupakan susulan cadangan dan perbincangan dengan Penasihat Kanan Rabitah Ulama Palestin, Sheikh Abu Bakr Al Awawidah, ketika kunjungan beliau ke Kuala Lumpur awal bulan Jun lalu.

Para huffaz akan ditugaskan di tempat solat tarawih terpilih seluruh negara. HALUAN Palestin akan memaklumkan kepada umum jadual dan lokasi yang dimaksudkan. “Allah memberi rezeki kepada kita dengan mengizinkan mereka datang dalam bulan yang penuh kemuliaan dan barakah ini. Semoga kehadiran mereka akan mendekatkan kita kepada perjuangan membebaskan Masjid Aqsa dan bumi Palestin, memberikan kita kekuatan untuk terus istiqomah dengan permasalahan Palestin,” sebut Dr Syed Muhamad Haleem.

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories