Ahad, Mac 20, 2011

Pusat Sumber Masjid As-Salam dilancar dengan rasminya

Pn Hjh Mastura Mohammad, memotong riben merasmikan Pusat Sumber Masjid As-Salam





PUCHONG, 19hb March – Sejajar dengan visi dan misinya menjadikan masjid sebagai pusat pengembangan ilmu, pusat sumber Masjid As Salam Puchong Perdana dilancar untuk dimanfaatkan kepada ahli kariah sekitar Puchong Perdana di sini.


Nazir Masjid As-Salam Tuan Hj Yasim Mohamed berkata, kini pusat sumber itu mempunyai hampir 10,000 bahan bacaan untuk dijadikan rujukan kepada pengunjung yang ingin menambah ilmu pengetahuan.

Menurutnya, inisiatif penubuhan diambil selaras menjadikan rumah ibadah itu agen perubahan kepada masyarakat dalam masa sama membina masyarakat berilmu.


“Sesuai dengan matlamat kita supaya masjid bukan sahaja dijadikan tempat menunaikan ibadat malah turut menjadi pusat pengembangan ilmu".





Sebahagian anak kariah yang hadir semasa majlis Perasmian Pusat Sumber Masjid As-Salam




“Melalui penubuhannya, saya dan pihak jawatankuasa berharap ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Malah kita mahu lawatan ke pusat sumber ini dijadikan amalan dan budaya yang dapat dipraktikkan anak-anak kariah setiap kali musim cuti sekolah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pusat sumber itu, pagi semalam.






Pelancaran disempurnakan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor Puan Hajjah Mastura Mohamad. Hadir sama dalam majlis itu Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), En Sapiyan Md Din dan Ketua Biro Hal Ehwal Wanita Masjid Puan Norhanim Ismail.








Tuan Hj Yasim yang mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memberi sumbangan buku kepada pusat sumber itu berkata, jawatankuasa mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk menyumbang kepada pusat sumber itu.



“Hasrat penubuhannya berjaya dicapai dengan sokongan padu anak kariah yang memberi sumbangan sebelum ini.












“Kita masih memberi peluang sekiranya ada lagi yang bermurah hati menyumbang untuk menambah bahan bacaan di pusat sumber itu,” katanya yang memberitahu peminjaman buku boleh dibuat dengan mendaftar sebagai ahli dalam sistem pengurusan yang dibangunkan sendiri oleh pihak pusat sumber.












Ahli-ahli Persatuan Belia Masjid Selangor (PBMS) yang terlibat membantu, menyusun dan mengemaskan Pusat Sumber

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories