Ahad, Mac 06, 2011

MAHASISWA UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM) BERBAKTI DI MASJID AS-SALAM

Tuan Nazir bersama para mahasiswa UPM pada majlis penyerahan sumbangan tersebut


Sekumpulan lima orang mahasiswa pengajian Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia, Semester III dari UPM telah berbakti untuk Perpustakaan Masjid As Salam, Puchong Perdana baru-baru ini. Simbolik majlis ini telah diadakan pada hari Khamis, 3 Mac 2011 yang lalu di dalam bilik perpustakaan tersebut.




Kumpulan pelajar UPM ini terdiri dari Wan Firdaus Wan Hassan, Abdul Latif Abd Rahman, Mohd Affendi Abd Manaf, Mohd Hafiz Zakaria dan diketuai oleh saudara Roslan Hanapiah, yang juga merupakan Ketua Biro Belia & Rekreasi, Masjid As Salam.





Dalam tempoh lebih kurang dua minggu, setiap ahli kumpulan ini telah menghubungi ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan taulan untuk menghimpunkan buku-buku terpakai, masih elok dan berkualiti untuk dihadiahkan kepada perpustakaan masjid. Aktiviti ini telah berlangsung serentak di Puchong Perdana, Kajang, Gombak, Cheras Jaya dan Putrajaya.








Hasil dari kerja sukarela ini, kumpulan ini telah menerima lebih dari 500 judul buku pelbagai kategori, pakaian, kain tudung, surat khabar lama dan ada juga yang memberi wang tunai.










Setelah ditapis mengikut kesesuaian dan keadaan buku, hanya 268 judul buku difikirkan sesuai untuk dihadiahkan kepada perpustakaan masjid.




Buku-buku yang terlalu usang dan surat khabar lama telah dijual dan dana yang diperoleh telah diserahkan sepenuhnya kepada pihak masjid untuk dibeli bahan bacaan baru untuk manfaat anak kariah masjid.



Sejumlah RM487 wang tunai telah diserahkan kepada pihak masjid. Selain itu, 25 naskah Surah Yassin sumbangan Bank Kerjasama Rakyat Berhad turut diserahkan kepada pihak masjid.








Majlis penyerahan bahan bacaan ilmiah yang ringkas dan penuh bermakna itu telah dihadiri sendiri oleh Yang Berbahagia, Tuan Haji Yasim Mohamed, Nazir Masjid As Salam.



Beliau telah merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada kumpulan mahasiswa ini di atas usaha murni mereka yang insyaAllah, boleh memberi rangsangan kepada pihak lain untuk terlibat dengan kerja sukarela seperti ini.





Pengimarahan perpustakaan masjid itu nanti akan menjadi satu lagi manifestasi bahawa, institusi masjid tidak dilabel hanya untuk aktiviti ibadah khusus semata-mata.

http://www.youtube.com/watch?v=XowOJWwEN2o


Laporan oleh: Roslan Hanapiah

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories