Rabu, Februari 02, 2011

Program Bicara As-Salam mendapat sambutan meriah

Puchong, 1 Feb: Masjid As-Salam Puchong Perdana sekali lagi membuat kejutan dan kelainan apabila berjaya menganjurkan Program Bicara As-Salam Siri 1 Sabtu lalu.




Program Bicara As-Salam yang berkonsepkan Forum Perdana bertajuk “Gejala Sosial: Madu atau Racun” telah diadakan di Padang Permainan, Perumahan Taman Puchong Permai dengan kerjasama Surau Raayah dan Surau An-Najatulhasanah.



Program yang telah diadakan itu menampilkan 2 orang panelist yang terkenal iaitu Yang Berbahagia Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz bekas Pegawai Agama di Istana Negara dan Ustaz Roslan Mohammad, Pensyarah Kanan Akedemi Pengajian Islam Universiti Malaya. Bertindak selaku Moderator pada program kali ini ialah Tn Hj Yasim Mohamed, Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana.



Program Bicara As-Salam yang bermula pada jam 9:30 malam itu diadakan dalam rangka untuk mencari satu jalan penyelesaian kearah membendung Gejala Sosial yang kian berkembang di kalangan masyarakat setempat. Program ini juga adalah inisiatif yang dipelopori oleh Masjid As-Salam Puchong Perdana untuk mempelbagaikan kaedah penyampaian maklumat dan menggerakkan kerja-kerja Dakwah di sekitar Kariah Masjid As-Salam.




Program yang dihadiri oleh lebih 2000 orang penduduk yang terdiri daripada penghuni Taman Perumahan Puchong Permai dan Taman-taman Perumahan yang berhampiran telah berjaya memberi kesedaran tentang bahaya Gejala Sosial, permasalahan dan langkah-langkah penyelesaian.






Ust Roslan telah dengan panjang lebar menjelaskan tentang punca dan sebab berlakunya gejala social, antaranya ialah, kurang ilmu agama, pergaulan bebas, institusi kekeluargaan yang goyah, pengaruh rakan sebaya, pengaruh internet, fesyen pakaian dan dunia cinta remaja.





Dato’ Abu Hassan pula dalam penjelasannya berhubung penyelesaian kepada masalah Gejala Sosial ini telah menggariskan langkah-langkah untuk mengatasi seperti berikut; kembali kepada asas agama, banyakkan membaca, hadir bengkel dan seminar motivasi, lakukan aktiviti berfaedah dan bijak mengurus dan mengendalikan emosi.















Turut memberi kerjasama dalam menjayakan Program Bicara As-Salam ini ialah ahli jawatan kuasa Surau Raayah dan Surau An-Najatulhasanah dan juga Biro Keselamatan JKP Zon 14, Majlis Perbandaran Subang Jaya.

















Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories