Ahad, November 28, 2010

Ahad, November 21, 2010

Mekah dilanda banjir (Nov 2010)

Beberapa jemaah meredah banjir manakala sebahagian lagi menolak kenderaan di sebatang jalan raya di Mekah.
Ujian yang melanda jemaah pada musim haji tahun ini mungkin ada rahmatnya. Allah lebih mengetahui semua perkara yang berlaku.

MEKAH - Beberapa kawasan di Mekah kelmarin dilanda banjir ekoran hujan lebat menyebabkan sebahagian jemaah meredah air banjir namun ia tidak melibatkan kawasan yang menempatkan Kaabah.

Sebelum ini, hujan turun dengan lebat di Mina pada Rabu lalu semasa para jemaah melontar jamrah sebagai tanda merejam syaitan. Hujan dan angin itu menyebabkan beberapa buah pokok tumbang di tepi sebatang jalan raya di Mekah.

Lebih 2.8 juta jemaah haji berhimpun di Mekah untuk mengerjakan rukun Islam yang wajib dilakukan oleh umat Islam yamg mampu. Bagaimanapun, cuaca di Mekah semalam yang merupakan hari terakhir jemaah mengerjakan haji berada dalam keadaan baik selepas hujan turun.

Air naik ganggu jemaah ke Kaabah selepas lontar jamrah di Mina

MINA: Hujan menyebabkan di beberapa tempat di kota Makkah dinaiki air semalam sekali gus mengganggu sebahagian jemaah dari Mina yang dalam perjalanan ke Kaabah bagi menunaikan ibadat terakhir Haji tahun ini selepas melontar jamrah.


Hujan melanda Mina sejak petang kelmarin ketika jemaah mula keluar dari kawasan perkhemahan di Mina bagi melontar jamrah pada hari ketiga.


Air separas buku lali memenuhi jalan raya dari Mina ke Makkah dan menyebabkan lalu lintas tersekat. Kenderaan terkandas di jalan raya yang dinaiki air. Anggota polis trafik dilihat membantu kereta kecil keluar dari air banjir.


Air dilihat menuruni bukit di Mina dan masuk ke dalam khemah jemaah menyebabkan tilam dan barang lain dihanyutkan.
“Di sesetengah khemah, keadaan agak kelam-kabut. Orang ramai berlari untuk mengelak daripada arus air deras,” kata seorang jemaah kepada jurugambar Arab News.


Selepas air surut, jalan raya di Mina dipenuhi pelbagai jenis sampah. Jam tangan dan barang kemas dihanyutkan manakala peniaga tepi jalan meninggalkan kedai bagi mengelak hujan lebat.


Hujan lebat memeranjatkan jemaah namun ia tidak mengejutkan pihak berkuasa Pengurusan Jemaah Asia Selatan. Seorang daripada mereka berkata: “Kami sedia menghadapi hujan seperti diramal.
“Syukur, hujan berlaku pada hari terakhir Haji ketika jemaah berada di Mina. Jika hujan turun lebih awal, keseluruhan jentera pentadbiran akan kucar kacir.”

Beberapa batang pokok tumbang menghempap beberapa buah kereta akibat hujan dan tiupan angin di Mekah kelmarin.


Televisyen Saudi menunjukkan jemaah terus melontar jamrah dan mengelilingi Kaabah. Ribuan jemaah masih berada di Mina bagi menghabiskan acara melontar.


Jemaah yang gagal meninggalkan Mina sebelum malam perlu tinggal sehari lagi. Ramai jemaah gembira dapat menyelesaikan haji. Pengulas India Muslim terkenal, Ausaf Vasfi, berkata semuanya lancar. – Agensi

Selasa, November 16, 2010

Korban & Aqiqah: Panduan dan Hukum


Klik pada imej untuk paparan yang lebih jelas


Jumaat, November 12, 2010

Jom!! Ambil Lesen Memandu Sambil Beramal

Sila klik pada imej untuk paparan yang lebih jelas



Khamis, November 11, 2010

Pastikan Qurban Anda Tahun Ini Sah!



Hukum Berwakil Membeli Dan Menyembelih Korban


Sepertimana kebiasaan di negara kita ibadat korban itu dilaksanakan secara berkumpulan atas pelbagai nama berkongsi haiwan spt lembu atau kerbau, malah dijadikan sebagai projek atau program tahunan setiap kali datangnya hari raya korban/eidul adha.Jika dilihat daripada amalan kebiasaan bagi perlaksanaan ibadah korban itu, kumpulan tersebut akan menentukan wakil mereka untuk mengurus pembelian, penyembelihan binatang korban dan pengagihan dagingnya di pusat-pusat penyembelihan. Jika ditinjau dari segi hukum, perlaksanaan yang sedemikian itu melibatkan hukum wakalah iaitu berwakil.


Huraian Umum Mengenai Wakalah


Wakalah dari segi bahasa bererti menyerahkan kuasa, pengawasan, penjagaan dan pemeliharaan. Dari segi istilah fiqh pula ialah seseorang itu menyerahkan sesuatu perkara ketika hidupnya kepada orang lain agar melakukannya dalam hal-hal yang boleh diwakilkan.


Hukum wakalah adalah harus berdasarkan Al-Qur’an, sunnah dan ijma‘ ulama. Wakalah mempunyai empat rukun iaitu:


i. Muwakkil (orang yang berwakil)


ii. Muwakkal (orang yang dijadikan wakil)


iii. Muwakkal fihi (sesuatu yang diwakilkan)






iv. Shighah (ijab dan qabul). (I‘anah At-Thalibin: 3/100-101)


Shighah Dalam Wakalah


Apa yang ingin dihuraikan di sini ialah rukun yang keempat iaitu shighah di mana perkara ini sangat penting diketahui demi menjaga keshahihan ibadah korban berkenaan.


Disyaratkan ijab ke atas orang yang berwakil itu dengan melafazkan sesuatu perkataan sama ada secara sharih (jelas atau terang) ataupun kinayah (yang tidak terang atau tidak jelas) seperti dalam kitabah (penulisan), persuratan atau dengan isyarat jika yang berwakil itu orang bisu yang boleh difahami, yang menyatakan bahawa orang yang berwakil itu adalah dengan keredhaan hatinya. (Majmuk: 14/197)


Ini bererti ada interaksi antara orang yang berwakil dengan orang yang diwakilkan yang dinamakan aqad. Namun orang yang dijadikan wakil itu tidak disyaratkan baginya qabul (ucap terima), kecuali di dalam keadaan tertentu seperti jika dalam perwakilan itu dengan upah.


Contohnya orang yang berwakil itu mewakilkan seseorang untuk menjualkan sebidang tanahnya dengan harga sekian dan memberi upah kepada wakilnya itu. Maka dalam keadaan ini, wakil itu hendaklah melafazkan qabulnya sama ada dia menerimanya ataupun tidak.


Adapun yang disyaratkan bagi orang yang dijadikan wakil itu ialah dia tidak menolak ucapan atau lafaz orang yang berwakil itu. Jika orang yang dijadikan wakil itu menolak ucapan tersebut, seperti dia berkata: “aku tidak terima” atau seumpamanya, maka batal dan tidak sah akad perwakilan itu.


Jika dilihat ketentuan hukum dalam bab wakalah dan dipraktikkan dengan cara kebiasaan yang tersebut di atas oleh sebahagian kumpulan yang berkorban itu ditakuti tidak menepati kehendak sebenar hukum wakalah. Pada kebiasaannya, orang-orang yang hendak menyertai ibadat korban akan mendaftarkan namanya dan membayar kadar tertentu bagi tujuan tersebut tanpa disertai dengan lafaz tawkil kepada wakil yang dilantik.


Amalan tersebut tidak memenuhi kehendak hukum berwakil kerana jika dilihat kepada tuntutan bab wakalah orang yang berwakil itu wajib melafazkan tawkilnya (akad) sama ada dengan lafaz yang sharih atau kinayah kepada wakil yang ditentukan bagi tujuan seperti membeli dan menyembelih binatang korban serta mengagihkan daging korban tersebut.


Melantik Wakil Kedua


Dalam bab wakil ini, para ulama fiqh juga berpendapat bahawa orang yang dijadikan wakil itu harus mewakilkan lagi kepada orang lain untuk menjadi wakil yang kedua tanpa perlu mendapat izin daripada orang yang berwakil. Itu pun jika perkara yang diwakilkan itu tidak dapat dikerjakan oleh wakil itu sendiri, disebabkan dia tidak layak melakukannya atau tidak berkemampuan mengerjakannya.


Akan tetapi jika sebaliknya, iaitu dia mampu untuk melaksanakan perkara yang diwakilkan ke atasnya itu, maka tidak harus baginya melantik orang lain menjadi wakil yang kedua melainkan dengan izin orang yang berwakil. (Majmuk: 14/218)


Mewakilkan Sembelihan Binatang Korban


Menurut hukum asal berkorban itu bahawa sunat binatang yang hendak dijadikan korban itu disembelih oleh orang yang berkorban itu sendiri, kiranya dia pandai menyembelih. Walaupun begitu boleh juga dia mewakilkan orang lain untuk menyembelih korban itu dan hadir ketika penyembelihannya. Afdhalnya wakil itu ialah orang Islam yang mengetahui akan hukum-hakam mengenai korban.


Keharusan berwakil dalam ibadah korban itu diambil daripada perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang telah berkorban dengan seratus ekor unta, di mana Baginda sendiri menyembelih - dengan tangan Baginda yang mulia - enam puluh tiga ekor, kemudian Baginda menyerahkan pisau penyembelih itu kepada Sayyidina Ali Karramallahu wajhah untuk menyembelih bakinya.


Persoalan Niat


Disyaratkan orang yang berkorban itu berniat kerana korban ketika menyembelih, kerana ia ibadat dan harus juga mendahulukan niat itu sebelum menyembelih mengikut pendapat yang ashah.


Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korbannya dengan hadir orang yang berwakil ketika itu. Dalam hal ini, niat orang yang berwakil itu adalah memadai dan wakil tidak perlu lagi berniat. Walau bagaimanapun adalah lebih baik orang yang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.


Apa yang mesti diambil perhatian dalam hal berniat korban ini, ada baiknya ditentukan niat itu umpamanya sebagai korban sunat -----------bagi mengelakkan niat itu menjadi korban wajib, kerana haram bagi yang berkorban itu makan daripada daging korban wajib, bahkan wajib disedekahkan semua daging tersebut kepada fakir miskin.


Lafaz Niat Dan Tawkil Dalam Korban


Niat itu tempatnya di hati dan sunat melafazkannya dengan lidah. Niat bagi korban sunat itu ialah seperti berikut:


Maksudnya: “Sahaja aku melakukan korban yang sunat”


Contoh lafaz berwakil:“Buatkan korban/udhhiyyah sunat untuk saya”, atau“Belikan korban sunat untuk saya”, yang bermakna: “Sembelihkan untuk saya, niatkan untuk saya.”


Contoh terima wakalah:“Aku terima.”


Menyembelih Binatang Korban Di Luar Negeri Dan Dagingnya Diagihkan Ke Negeri Yang Lain


Apa yang dimaksudkan dengan memindahkan daging korban itu ialah memindahkan daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain, supaya daging korban itu dibahagi-bahagikan kepada mereka yang berhak di negeri berkenaan itu.


Adakah harus bagi orang-orang tempatan berwakil untuk berkorban di luar negeri dan daging korban itu dipindahkan daripada tempat korban ke negeri atau daerah lain?


As-Sayyid Al-Bakri Ad-Dumyathi, Pengarang Hasyiah I‘anah At-Thalibin menjelaskan bahawa telah dijazamkan dalam An-Nihayah bahawa haram memindahkan daging korban daripada tempat berkorban itu seperti mana juga zakat, sama ada korban sunat atau wajib. Adapun yang dimaksudkan daripada korban sunat itu ialah bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin.


Manakala memindahkan wang daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban adalah di haruskan seperti mana katanya yang ertinya :


"Adapun memindah wang dirham daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli dengannya binatang korban di negeri tersebut maka ia adalah harus.”(I‘anat At-Thalibin: 2/380)


As-Syeikh Mohammad bin Sulaiman Al-Kurdi pernah ditanya :“Sudah menjadi kebiasaan orang-orang Jawi (kepulauan Melayu) berwakil kepada seseorang untuk membeli na‘am (seperti lembu dan kambing) di Mekkah untuk dijadikan aqiqah dan korban sedangkan orang yang hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi. Adakah sah perbuatan sedemikian atau tidak, mohon fatwakan kepada kami.


Jawapan: Ya! Sah yang demikian itu dan harus berwakil membeli binatang korban dan aqiqah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.”(I‘anah At-Thalibin: 2/381)


Dalam perkara ini pengarang Kitab Sabil Al-Muhtadin pula menyebutkan:


Kata Syeikhi Muhammad bin Sulaiman: Harus berwakil pada membeli na‘am akan korban pada negeri yang lain dan pada menyembelih dia dan pada membahagikan dagingnya bagi segala miskin negeri itu intaha. Maka iaitu zahir sama ada negeri Mekkah atau lainnya tetapi jangan dipindahkan dagingnya daripada negeri tempat berkorban kepada negeri yang lain maka iaitu haram lagi akan datang kenyataannya dan sayuginya hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil pada masalah ini wallahu ‘alam. (Sabil Al-Muhtadin: 214)


Katanya lagi jikalau berwakil seorang akan seorang pada berkorban di negeri lain kerana menghasilkan murah umpamanya hendaklah disedekahkan oleh wakil akan dagingnya bagi fakir miskin negeri itu dan janganlah dipindahkannya akan sesuatu daripada dagingnya daripada negeri itu kepada negeri yang berwakil melainkan sekadar yang sunat ia memakan dia itupun jika ada korban itu sunat (adapun) jika ada korban itu wajib maka wajiblah atas wakil mensedekahkan sekeliannya kepada fakir di dalam negeri tempat berkorban itu (dan haram) atasnya memindahkan suatu daripadanya ke negeri yang lain. (Sabil Al-Muhtadin: 216)


Berdasarkan perkataan para ulama seperti yang dinukilkan di atas, adalah jelas bahawa hukumnya harus berwakil untuk membeli binatang korban di negeri yang lain dan menyembelihnya serta membahagikan daging tersebut kepada fakir miskin di negeri berkenaan.Adapun memindahkan daging korban daripada tempat sembelihan Ke negeri yang lain itu adalah berhubungkait dengan hukum menyedekahkan daging korban itu:


Jika korban itu adalah korban wajib yang mana kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, maka haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada tempat sembelihan. Inilah pendapat jumhur ulama Syafi‘eyah.


Jika korban itu korban sunat di mana sebahagian daripada daging korban itu harus dihadiahkan atau dimakan oleh orang yang berkorban, maka bahagiannya (hak orang yang berkorban) itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain. Manakala bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin itu wajib disedekahkan di tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain. (I‘anah At-Thalibin: 2:380)


Penutup


Mengingatkan hukum berkorban itu sunat mu’akkadah dan mempunyai kelebihan-kelebihannya yang banyak, sayugia jangan dilepaskan peluang untuk membuat amalan korban ini.


Supaya korban itu sempurna, fahamilah hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah korban itu. Begitu juga mengambil perhatian dalam memenuhi tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan seperti berwakil membeli dan menyembelih sebagaimana yang dijelaskan di atas supaya amalan berkorban itu benar-benar menepati syara‘.


Petikan ini diambil dari dinding Facebook Al-Ustaz Hashim Al-Maranji facebook.com/ustazhashim atau di





Jumaat, November 05, 2010

Intipati Khutbah yang disampaikan oleh Nazir As-Salam pada 5 Nov 2010

Pemimpin Yang Amanah



Perkembangan tamadun manusia pasti mencatatkan bahawa berdirinya sesebuah pemerintahan. Semuanya terbina dengan adanya pemimpin yang berkaliber. Kehidupan rakyat tanpa pemimpin yang memandu halatuju mereka hanya akan membawa pelbagai kemelut dalam masyarakat dan negara.



Pemimpin ialah umpama kepala bagi sesebuah jasad, mereka juga merupakan simbol kesatuan dan kekuatan sesebuah organisasi. Pemimpin yang hebat merupakan individu yang mampu menunaikan tanggungjawabnya sebagai khalifah bersesuaian dengan garis panduan Al-Quran dan As-Sunnah. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Haj, ayat 41 :



"Iaitu mereka (Umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan".



Islam memandang isu kepimpinan suatu perkara yang amat besar. Beberapa nota penting yang perlu kita ketahui berkaitan kepimpinan iaitu :



Pertama : Islam menganggap setiap individu adalah pemimpin sama ada pemimpin masyarakat, persatuan dan sebagainya.



Kedua : Sesungguhnya melantik pemimpin adalah tuntutan syariat. Islam menyarankan bagi perkumpulan manusia yang berjumlah tiga orang dan lebih agar memilih salah seorang daripada mereka sebagai ketua. Jelas kepada kita keutamaan melantik ketua dan membentuk organisasi dalam perkumpulan manusia yang ramai adalah penting.



Ketiga : Hendaklah melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin yang jujur dan amanah.



Sesungguhnya tidak akan terlaksana pergerakan sesebuah kumpulan atau organisasi kecuali dengan adanya pemimpin dan pengikutnya yang taat.



Kepimpinan Islam dalam semua peringkat organisasi hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi cirri-ciri seorang pemimpin yang ikhlas dan bertawakkal kepada Allah.




Pemimpin sanggup turun padang bertemu rakyat, melihat sendiri penderitaan, kemiskinan, kesakitan mereka sambil membantu dengan penuh keikhlasan.


Seorang pemimpin hendaklah sedar tanggungjawab yang digalas adalah besar. Amanah yang dipikul akan ditanya oleh Allah kelak. Kerana itulah Rasulullah s.a.w awal-awal lagi menegaskan supaya umatnya menjadi pemimpin yang amanah. Pernah suatu ketika Abu Zarr al-Ghifari berkata kepada Rasulullah yang bermaksud:



"Tidakkah anda mahu mengangkat saya menjadi pemimpin wilayah?" Maka baginda pun menepuk bahu Abu Zarr dan bersabda : "Wahai Abu Zarr, anda lemah. Ini adalah amanah. Ia adalah sumber kehinaan dan penyesalan di hari kiamat kelak, kecuali siapa yang menerima mandat kepimpinan ini dengan betul dan menunaikan segala tuntutannya."
(Riwayat Muslim)



Walaupun amanah kepimpinan ini sangat besar dan berat, namun seorang pemimpin bukanlah dikerah secara paksa untuk melaksanakan tuntutan yang tidak mampu ditunaikannya. Islam mengajar kita melaksanakan sesuatu mengikut kemampuan yang ada, tidak akan ditanya di akhirat mengapa kita tidak berjaya, akan tetapi apa yang ditanya kelak ialah mengapa tidak berusaha menunaikan amanah?.



Menyedari besarnya amanah sebagai pemimpin, setiap individu yang menggalas tanggungjawab ini hendaklah sentiasa ingat bahawa semua perkara perlu kepada pergantungan kepada Allah SWT. Semua kelancaran tugas, kejayaan dalam mencapai matlamat tidak akan berhasil kecuali dengan taufik dan pertolongan Allah Ta'ala. Iltizam dalam kerja, kuatkan tawakkal dan pohonlah bantuan daripada Allah SWT.



Dalam perjalanan hidup insan, matlamat yang jelas merupakan satu perkara yang sangat penting kerana ia akan mendasari tindakan-tindakan yang dilaksanakan. Islam telah menggariskan beberapa matlamat utama yang perlu dicapai dan ia memerlukan satu sistem kepimpinan bagi memastikan pelaksanaan yang syar'ie dan jelas antaranya adalah;



PERTAMA : TUGAS SEBAGAI KHALIFAH.



Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Baqarah, Ayat 30 :



Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat : "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi...."



Para ulama' menjelaskan bahawa tugas khalifah ialah meneruskan tugas Nabi dan Rasul dalam perkara memelihara agama dan mentadbir dunia dengannya(agama).




Dalam takrifan ini, kita dapati dua perkara yang penting dalam tujuan kejadian manusia iaitu menjaga agama (amar maaruf nahi mungkar) dan mentadbir dunia (berdasarkan syariat Allah)



Pengiktirafan manusia sebagai khalifah disertakan ‘peruntukan-peruntukan kuasa' yang tertentu menjadikan tugas pemimpin untuk melaksanakan syariat merupakan satu tuntutan yang pasti. Pemimpin wajib melaksanakan syariat Allah sepenuhnya, kerana dengan cara ini sahaja kemakmuran akan dapat dikecapi.




Pemimpin mestilah yakin untuk melaksanakan ajaran-ajaran Islam kerana ianya dijamin oleh Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali Imran, ayat 19:



"Sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah adalah Islam..."



KEDUA : MENYAMBUNG TUGAS RASUL



Bahawa Rasulullah saw merupakan utusan terakhir menegaskan tiada lagi pemimpin umat bertaraf rasul, namun tugas menegakkan syariat Allah merupakan kewajipan sepanjang zaman.




Oleh itu, perlulah diwujudkan pemimpin di kalangan manusia itu sendiri untuk menyambung tugas para rasul yang terdahulu. Walaupun tugas para rasul ini sewajarnya diteruskan oleh semua umat Islam.



KETIGA : ‘IBADATULLAH (PENGABDIAN DIRI KEPADA ALLAH).



Semua manusia adalah hamba Allah. Sama ada mereka orang biasa ataupun pemimpin mereka terletak di bawah tujuan mereka diciptakan seperti yang dinyatakan oleh firman Allah Ta'ala di dalam Surah az-Dzariat, ayat 56:



"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku".



Imam Abu Yusuf r.a menulis kepada khalifah Harun ar-Rasyid menasihati beliau:



"Wahai Amirul-Mukminin, sesungguhnya bagi Allah sahajalah segala pujian, yang telah mengangkat kamu melaksanakan urusan yang amat besar, pahalanya amat besar dan balasan seksanya pun amat besar....".



Hal ini menunjukkan bahawa persoalan kepimpinan ini termasuk di dalam perkara ibadat yang menjadi sebahagian daripada hikmah kejadian manusia. Oleh itu, kepimpinan tidak boleh lari daripada persoalan dosa dan pahala, halal dan haram dan sebagainya.



KEEMPAT : KEMASLAHATAN UMMAH



Pemimpin hendaklah bertanggungjawab untuk memastikan hak-hak semua pihak terpelihara. Apabila keadaan ini dapat direalisasikan maka nasib ummat akan terbela dan maslahah akan terjaga. Ini adalah berdasarkan konsep keadilan di dalam Islam yang menuju ke arah keamanan sejagat dan kesejahteraan bersama.



Kesimpulannya, marilah kita berusaha bersama-sama menjadi pemimpin yang melaksanakan amanah kepimpinan seperti yang dituntut oleh Islam. Apabila kita melaksanakan tugas dengan penuh keadilan dan kerendahan diri kepada Allah S.W.T, maka yakinlah bahawa itu adalah merupakan usaha kita untuk merintis jalan ke syurga yang akan dapat dinikmati buat selama-lamanya.



Justeru, kita hendaklah muhasabah diri, adakah telah sempurna amanah dan kepimpinan yang ditugaskan kepada kita?. Mohonlah pertolongan dan bantuan Allah agar dipermudahkan segala urusan dalam melaksanakan beban amanah dan kepimpinan ini, demi keselamatan dan kemaslahatan hidup kita di dunia yang sementara ini dan akhirat yang kekal selama-lamanya.



"Tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan wanita yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu keputusan mengenai sesuatu perkara, mereka mempunyai pilihan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata".
(Surah Al-Ahzab:36)




Rujukan: Jabatan Agama Islam Selangor

Isnin, November 01, 2010

Motivasi hari ini: 7 perkara untuk lebih positif


Dalam tips kali ini saya kongsikan dengan Anda 7 perkara yang perlu Anda jauhi untuk memastikan Anda sentiasa berfikiran positif.


Walaupun Anda melakukan salah satu dari 7 perkara ni tanpa disengajakan, ia akan meneutralkan getaran gelombang positif Anda. Kesannya, usaha Anda untuk jadi orang yang berfikiran positif jadi sia-sia. Bahkan, Anda akan menarik lebih banyak gelombang negatif dan perkara-perkara-situasi dan benda yang Anda tak inginkan.


7 perkara yang perlu Anda jauhi adalah :


1. Jangan bercakap tentang keburukan, kelemahan dan kesalahan orang lain yang Anda tak puas hati. Sekali Anda bercakap, perkataan yang lahir dari hati Anda boleh menimbulkan getaran negatif. Anda akan susah nak berfikiran positif semula.


2. Jangan pandang rendah orang lain. Jangan ketawakan mereka dan kelemahan mereka, kerana sikap memandang rendah adalah sikap negatif, ia membuatkan Anda riak, meninggi diri dan dalam masa yang sama membuatkan Anda sedikit bongkak.


3. Jangan bercakap tentang isu-isu semasa yang agak negatif, isu-isu politik, permasalahan, perbalahan dan persengketaan. Kalau Anda asyik tak puas hati, itu tandanya minda Anda dipenuhi gelombang emosi negatif. Kesannya, Anda akan menarik situasi-situasi negatif.


4. Jangan merasa Anda lebih hebat dan lebih ber'skill' dari orang lain.


5. Buang rasa meluat, menyampah dan tak senang dengan sesiapa yang Anda tak suka. Maafkan mereka, terima mereka seadanya dan lupakan apa yang mereka dah buat pada Anda. Kalau di simpan lama-lama ia menjadi magnet negatif yang semestinya menarik semua yang negatif datang pada Anda. Sebab, Anda asyik sakit hati saja ! Latih diri Anda untuk jadi seorang yang pemaaf.


6. Jangan selalu kenang situasi buruk di masa lalu. Paling baik, jadikannya pembakar semangat untuk lebih memajukan diri. Elakkan dari rasa tertekan, risau, gusar, sakit hati mahupun geram dek kenangan lalu.

7. Jangan lupa untuk berterima kasih pada apa jua yang Anda ada sekarang ini, orang-orang yang ada di sekeliling Anda, semua benda yang Anda ada dan hasil gaji dari kerjaya Anda. Ucapkan syukur sentiasa.Bila Anda buat begitu sepenuh hati, tandanya Anda sudah bersedia untuk menerima limpahan nikmat dan rahmat yang lebih banyak dari yang sebelumnya!


Kunci utama kepada kecemerlangan dan kejayaan adalah rasa syukur yang mendalam, berpanjangan dan konsisten.


Moga tips ini bermanfaat buat Anda.
Grab this Widget ~ Blogger Accessories