Jumaat, Oktober 01, 2010

Intipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Nazir As-Salam pada 1/10/2010

Larangan mengaibkan sesama Islam
Firman Allah SWT. dalam surah An-Nur itu 19:

"Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)".

Ayat yang dipaparkan di atas menyatakan mengenai kemurkaan Allah kepada golongan yang suka memfitnah dan membuat tuduhan kepada orang lain. Islam melarang sama sekali perbuatan tersebut kerana boleh mencemarkan maruah. Meskipun demikian dianjurkan untuk kita menegur dan menasihati kesalahan dan kesilapan saudara kita tanpa mendedahkan ‘aibnya. Ini adalah lebih baik daripada menyebarkan kesalahan orang khasnya penyebaran fitnah terhadap orang-orang yang dikenali sebagai orang yang baik.
Namun dalam masyarakat kita pada hari ini terdapat segelintir daripada kalangan kita yang gemar berjanji untuk menyimpan rahsia keburukan saudaranya, tetapi kemudiannya menceritakan kepada orang lain dengan mensyaratkan janji yang sama untuk tidak menceritakan kepada orang lain.
Jika setiap orang melakukan perkara yang sama sudah pasti berita tersebut akan lebih cepat tersebar dan diketahui oIeh orang ramai.
Ayat ke 19 dalam surah An-Nur itu tadi sebenarnya diturunkan untuk menempelak golongan yang cuba memfitnah Saidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha. Terdapat beberapa riwayat yang menceritakan mengenai kisah fitnah Saidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha.
Kisah ini berlaku ketika Nabi dan rombongannya dalam perjalanan pulang ke Madinah setelah selesai peperangan. Rombongan Nabi telah singgah di suatu tempat untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan. Ketika rehat, ‘Aisyah keluar dari usungannya untuk mencari tempat qada' hajat tanpa disedari oIeh Rasulullah atau sahabat-sahabat yang lain yang akhirnya beliau tertinggal dan dibawa oIeh seorang sahabat.

Kepulangan Saidatina ‘Aisyah dengan diiringi oIeh Safwan bin Al-Mu'atthal telah menggembirakan golongan munafiqin. Mereka merasakan ini adalah peluang terbaik untuk mencemarkan kemuliaan Nabi dan maruahnya.
Mereka terus menanam jarum-jarum fitnah dengan menyebarkan tohmahan bahawa Safwan telah melakukan sesuatu yang tidak baik dengan isteri Rasulullah s.a.w. Racun-racun fitnah tersebut telah meresap dalam masyarakat sehingga keadaan menjadi kecoh dengan setiap orang menceritakan berita atau isu yang sama.

Allah menempelak perbuatan menyebarkan fitnah ini dalam surah An-Nur ayat 14 -15 yang bermaksud:

"Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di dunia dan di akhirat, nescaya kamu ditimpa ‘azab yang besar kerana perbicaraan kamu tentang berita bohong itu.
Ingatlah di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui dan kamu menganggapnya suatu yang ringan sahaja pada hal ia di sisi Allah adalah besar. Dan mengapa kamu tidak berkata di waktu mendengar berita bohong itu?. Sekali-kali tidaklah harus bagi kita memperkatakan ini. Maha suci Engkau (Ya Tuhan kami) ini adalah dusta yang besar".

Fitnah yang disebarkan oIeh golongan munafiqin ini telah sedikit sebanyak memberi kesan kepada Nabi dan sahabat-sahabatnya. Justeru para ulama ketika membincangkan perkara ini telah bersepakat bahawa sesiapa yang terlibat memfitnah dalam isu Al-Ifq ini, dia dihukumkan sebagai terkeluar daripada Islam.
Jika tidak bertaubat maka orang itu wajib dibunuh kerana menghina dan menjatuhkan maruah Rasulullah. Bahayanya penyebaran fitnah ini sehingga memaksa Rasulullah s.a.w. mengeluarkan perintah hukuman had terhadap tiga orang sahabat yang terlibat sama dalam fitnah ini dengan disebat setiap daripada mereka dengan 80 sebatan.

Hadith-hadith Rasulullah s.a.w. banyak menceritakan mengenai perintah atau galakan menyembunyikan keaiban saudara seislam yang lain. Antaranya hadith daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

"Tidak menutup seseorang akan keaiban orang lain melainkan Allah akan menutup keaibannya pada hari qiamat". (Riwayat Muslim).

Hadith ini menceritakan kelebihan bagi sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, maka Allah akan menutup keaibannya pada hari qiamat. Menurut para ulama, menyembunyikan keaiban orang lain terbahagi kepada dua keadaan:
iaitu mahmud (terpuji)
dan mazmum (dikeji).
Menyembunyikan keaiban orang lain dianggap terpuji jika orang itu dari kalangan orang yang baik, beriman dan beramal soleh. Maka dalam hal ini keaibannya perlu dirahsiakan.
Berbeza dengan orang yang suka melakukan maksiat, berbangga dengan maksiat yang dilakukan dan suka menceritakan maksiatnya kepada orang. Maka harus diceritakan kejahatannya supaya dapat dihukum seterusnya menjadi pengajaran kepada orang lain.

Apa yang penting dalam menyembunyikan keaiban orang lain adalah bergantung kepada maslahah atau kepentingan. Jika kepentingan menutup perbuatan tersebut maka perlu dirahsiakan begitulah sebaliknya.
Perhatikan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Imam Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Setiap umatku dimaafkan melainkan orang yang terang-terangan dan menunjuk-nunjuk dalam melakukan kemaksiatan (Al-Mujaharah). Dan sesungguhnya termasuk di bawah (Al-Mujaharah) ialah orang yang bangga melakukan kejahatan pada malam hari kemudian pada paginya Allah menyembunyikan keaibannya tetapi dia pula menceritakan kepada orang lain dengan berkata: "Ya Pulan, aku melakukan perbuatan ini dan itu semalam", pada hal ketika dia tidur pada malamnya Allah telah menutup keaibannya tetapi pada keesokannya dia mendedahkan apa yang telah ditutup oIeh Allah SWT.

Islam melarang umatnya mengaibkan sesama Islam sehinggakan orang yang telah dihukum dengan hukuman had pun ditegah daripada dihina dan diaibkan sebagaimana hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Abu Hurairah yang bermaksud:

"Seorang yang telah meminum arak dibawa kepada Nabi lalu Nabi memerintahkan supaya lelaki tersebut disebat. Abu Hurairah menceritakan:
Ada di antara kita yang memukul dengan tangannya, ada yang memukul dengan kasutnya, ada yang memukul dengan pakaiannya. Ketika lelaki tersebut beredar, setengah kaum menghinanya dengan mengatakan semoga Allah menghinakan engkau. Lalu Nabi melarang dengan katanya: Jangan mengeluarkan perkataan itu nanti syaitan akan mengambil peluang".

Larangan dan tegahan Islam tentang perkara yang mengaibkan sesama Islam adalah demi menjaga hubungan silaturrahim dan perpaduan sesama mereka. Musuh-musuh Islam akan bergembira apabila melihat umat Islam benci-membenci sesama mereka, hina-menghina, aib-mengaib dan fitnah-memfitnah.
Golongan yang dalam hatinya ada perasaan benci dan hasad kepada saudara seislamnya merupakan golongan yang ada dalam dirinya sifat-sifat munafiq. Tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan dalam Islam. Islam menganjurkan perbincangan dan pertemuan bagi menyelesaikan sebarang pertelingkahan dan pergeseran.
Mengaibkan saudara seislam yang lain tanpa bukti dan fakta yang tepat merupakan satu jenayah yang sangat besar kepada perpaduan Islam. Umat Islam sewajarnya melupakan pergeseran yang bersifat peribadi dan meletakkan kepentingan dan perpaduan ummah lebih daripada segala-galanya.

Pengajaran yang dapat dirumuskan daripada khutbah kita pada hari ini adalah:

Pertama: Kehidupan bermasyarakat dan bernegara hendaklah berlandaskan nilai-nilai akhlak dan nilai budaya yang bertamadun.

Kedua: Umat Islam perlu membina masyarakat dan negara di samping berinteraksi dalam politik, sosial, perniagaan dan sebagainya berdasarkan nilai dan ajaran Al-Quran yang luhur.

Ketiga: Nama baik seseorang serta kehormatannya perlu dilindungi sesuai dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.

Keempat: Orang atau kumpulan yang menggunakan cara mengaibkan lawan seperti mencolek, mengugut, melakukan rasuah, memfitnah dan sebagainya adalah melakukan perkara yang diharamkan oIeh Allah SWT.

Kelima: Golongan berkenaan pasti menerima padah dan akan dicampak oleh Allah ke dalam api neraka.

"Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan bahaya (seksa, bunuh dan sebagainya) kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam dan mereka akan beroleh azab api yang kuat membakar".

Sumber Rujukan: Jabatan Agama Islam Selangor

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories