Isnin, Oktober 04, 2010

Ceramah Motivasi, Solat Hajat dan Munajat Hadapi peperiksaan


Tuan Nazir sedang menyampaikan Ceramah Motivasi bertajuk "Memperkasa Budaya Kecemerlangan".




KEPENTINGAN ilmu dalam kehidupan kita di dunia ini memang tidak boleh disangkal. Ilmu mengeluarkan kita daripada kejahilan dan juga kemiskinan. Ilmu juga membolehkan kita mengenal Allah yang menciptakan kita.

Oleh yang demikian pada Jumaat 1hb Oktober 2010 yang lalu, Sek Men Puchong Perdana dengan kerjasama Masjid As-Salam telah menganjurkan Program Motivasi, Bacaan Yaasin, Solat Hajat dan Munajat untuk Kecemerlangan Pelajar PMR dan SPM 2010 di Dewan Solat Masjid As-Salam Puchong Perdana.


Seramai kira-kira 200 orang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta ibubapa dan penjaga masing-masing hadir dalam program tersebut.

Antara pengisian program adalah solat fardu maghrib dan isyak berjemaah, bacaan Yasin dan tahlil dan solat sunat hajat dan doa munajat secara berjemaah.

Turut diadakan juga adalah ceramah motivasi oleh Tuan Haji Yasim Mohamed, Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana.

Tuan Nazir dalam ceramah motivasinya yang bertajuk "Memperkasa Budaya Kecemerlangan" menerangkan bahawa Allah s.w.t maha adil. Setiap individu ada kekuatan dan kelemahan diri. Kekuatan perlu dikenalpasti supaya dapat digunakan bagi membentuk kecemerlangan diri. Kelemahan perlu dikenalpasti supaya dapat di atasi.

Setiap individu dilahirkan dengan berbekalkan berbagai potensi. Oleh itu, perlu diterokai untuk menimbulkan potensi ini. Orang cemerlang menunjukkan hasil, orang yang gagal memberi seribu alasan.

Antara objektif program adalah menyemai tabiat taabudiyah kepada Allah SWT untuk memohon sesuatu keperluan duniawi dan ukhrawi setelah berusaha dan berikhtiar.


Di samping itu, ia bertujuan memupuk semangat ukhuwah dan kerjasama antara ibu bapa, guru-guru, pelajar, orang awam dan anak qariah Masjid As-Salam Puchong Perdana untuk sama-sama mendokan kecemerlangan akademik dan akhlak anak-anak dan pelajar.

Di harap program ini dapat melahirkan pelajar yang cemerlang, berakhlak mulia, berwawasan serta boleh menjadi qudwah hasanah kepada generasi yang akan datang dan boleh memimpin Ummah untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.


Pada masa yang sama, ia dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara pelajar, ibu bapa dan guru-guru dan Masjid As-Salam sendiri.

Tuan Nazir berharap para pelajar akan memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang bakal dihadapi.

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories