Jumaat, Oktober 29, 2010

Berdoa dengan bahasa sendiri


Di antara faktor penting agar doa kita mustajab ialah keyakinan dan khusyu' ketika berdoa...Bagaimana mungkin seseorang boleh khusyu' sekiranya ia tidak memahami apa yang sedang ia pohon dengan Allah. Bagaimana kita mampu menghayati aduan dan munajat sekiranya tidak diketahui apa yang diungkapkan.
Oleh itu , berusahalah memahami doa yang dipohon. Doa yang terbaik adalah daripada al-Quran dan ungkapan Rasulullah s.a.w ( sekiranya faham). Mungkin ada yang berkata, agak susah untuk menghafal doa-doa daripada al-Quran dan hadis, apatah lagi makna-maknanya.
Justeru, berdoalah dengan bahasa anda sendiri. Alhamdulillah sedikit penglibatan saya dalam berkongsi ilmu dengan masyarakat, saya biasakan berdoa di hujung setiap pertemuan dan menterjemahkan doa tersebut. Feed back yang diperolehi amatlah positif. Kebanyakan hadirin menyatakan kegembiraan kerana dapat menghayati apa yang sedang diaminkan.
Di sini dikongsikan beberapa doa yang sangat baik untuk kita amalkan.

ربنا اغفرلنا ووالدينا وارحمهم كما ربونا صغارا
"Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku , dosa kedua ibu bapaku, Kurniakanlah belas kasihanMu kepada mereka, sebagaimana mereka mengasihi kami ketika kami masih kecil, Kepada ibubapa yang masih hidup, Kurniakanlah kesihatan kepada mereka untuk beribadat kepadaMu, Kurniakanlah kekuatan kepada kami untuk berkhidmat menghiburkan hati mereka, Kepada yang telah pergi meninggalkan kami, Jadikanlah tempat persemadian mereka sebagai salah satu daripada taman-taman syurgaMu, Tempatkanlah mereka bersama hamba-hambaMu yang soleh,

ربنا هب لنا من أزواجنا و ذريتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين اماما

Ya Allah, Kurniakanlah kepada kami, Pasangan-pasangan, serta zuriat, Yang menjadi penyejuk hati kami, Jadikanlah pasangan kami sebagai pembantu kami untuk sentiasa taat kepadaMu, Eratkanlah ikatan hati kami, Kekalkanlah ikatan kasih kami hingga ke FirdausMu Ya Allah...Jadikanlah zuriat kami, zuriat-zuriat yang soleh, Lembutkanlah hati-hati mereka, Masukkanlah Nur hidayahMu ke dalam hati-hati mereka, Jauhkanlah mereka daripada pengaruh-pengaruh yang merosakkan akhlak dan aqidah mereka, Jauhkanlah mereka dari kawan-kawan yang jahat, JADIKANLAH MEREKA ZURIAT YANG BENAR-BENAR MENDOAKAN KAMI KETIKA KAMI BERADA DI DALAM KUBUR NANTI....
Ini sekadar sebahagian doa yang boleh kita amalkan. Paling penting , berdoalah dengan bahasa sendiri, semoga kita bertambah khusyu' dan semoga diperkenankan , insyaAllah.Wassalam.

Intipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Nazir As-Salam pada 29/10/2010

Jangan diundang kemurkaan Allah

Sejak kebelakangan ini kita dapati pelbagai bencana alam yang merunsingkan telah berlaku seperti ancaman tsunami, gegaran bumi, ribut kencang dan lain-lain lagi. Ada kalanya hujan turun dengan kadar yang banyak bukan pada kebiasaan musimnya. Ada kalanya pula cuaca menjadi terlalu panas sehingga ke tahap membahayakan kesihatan manusia.

Para Saintis mengkaji dan mengemukakan pelbagai teori yang antaranya mengklasifikasikan senario ini sebagai pemanasan global.

Dari satu sudut yang lain, kita tidak boleh menafikan bahawa senario begini adalah permulaan amaran Allah SWT., kesan dari kerosakan yang dilakukan manusia kepada alam ini. Firman Allah di dalam surah Ar-Rum ayat 41;

"Telah nyata pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oIeh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Namun terlalu sedikit di kalangan kita yang ingin mengambil iktibar di sebalik sesuatu yang ditimpakan Allah SWT. Mereka lebih meyakini teori dan pandangan manusia yang hanya bersandarkan pengalaman berbanding ancaman Allah SWT.

Apabila Allah SWT. menurunkan sesuatu bala bencana, sudah pasti ada sebab dan musababnya. Sama ada disebabkan oIeh kezaliman, kemaksiatan, kelalaian terhadap peringatan-peringatan Allah atau mungkin juga sebagai suatu dugaan untuk menguji tahap keimanan hamba-hamba-Nya.

Apa yang jelas, apabila bala bencana itu turun, ia tidak memilih sesiapa walaupun ianya berpunca daripada sebahagian pihak sahaja. Firman Allah di dalam surah Al-Anfal ayat 25:

"Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di kalangan kamu secara khusus, (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab-Nya".

Pada 26.12.2004 Peristiwa Tsunami telah berlaku dan mengorbankan ribuan nyawa. Masihkah kita ingat lagi, di saat umat Islam bersedia meraikan ‘Iduladha, negara kita dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh; yang mengorbankan 4 nyawa dan ramai lagi kehilangan tempat tinggal mereka.

Kini, setelah lama berlalu, kita mula dirisaukan lagi dengan gegaran-gegaran bumi yang berlaku di negara-negara jiran?. Apakah kita masih merasa selesa lantaran bencana tersebut tidak berlaku di tempat kita?.

Begitulah antara siri-siri ujian atau mungkin juga bala bencana yang berlaku dan akan terus berlaku seandainya manusia masih lagi berpaling daripada peringatan-peringatan Allah SWT. Ujian atau bala bencana itu tidak terhenti sekadar itu sahaja . . .Ia mungkin berulang selagi mana manusia masih takabbur, angkuh, sombong dan bangga diri.

Dengan peristiwa seperti ini, sepatutnya membuka mata hati kita semua supaya segera bertaubat, mentaati dan berserah diri hanya kepada Allah. Manusia tidak seharusnya menyalahkan takdir Allah semata-mata, sedangkan peristiwa-peristiwa malang yang berlaku adalah kerana kerakusan, ketamakan dan kesombongan mereka sendiri.

Malang sekali kerana peristiwa sebegini jarang dijadikan iktibar dan panduan. Hanya sekejap sahaja menimbulkan rasa gerun kemudian dilupakan begitu sahaja.

Bala bencana boleh berlaku secara tiba-tiba sama ada siang atau malam tanpa sebarang amaran. Allah juga mengingatkan manusia di muka bumi ini supaya jangan terlalu yakin bahawa mereka terkecuali daripada ditimpa bencana.

Ingatlah apabila manusia leka dan membiarkan kemaksiatan bermaharajalela, maka itu merupakan isyarat bahawa mereka bakal diruntuh dan dihancurkan oIeh Allah SWT.

Perkara ini telah pun dibuktikan oIeh Allah SWT. kepada kaum-kaum terdahulu supaya menjadi pengajaran kepada kita contohnya seperti kaum Nabi Lut ‘Alaihis-Salam yang mengamalkan hubungan sesama jenis, akhirnya dihancurkan dan dilenyapkan dari muka bumi Allah ini.
Begitu juga dengan kaum Nabi Hud, kaum Nabi Saleh dan lain-lain lagi yang ditimpakan bencana oIeh Allah disebabkan keingkaran mereka.
Kita tidak nafikan bahawa segala punca kemurkaan yang mendekatkan kita dengan bala bencana Allah SWT. telah berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Antaranya adalah kerana;

Pertama:
Terlalu banyak kemungkaran dan maksiat yang dilakukan seperti bunuh, rogol, rompak dan lain-lain lagi.

Kedua:

Berleluasanya Pergaulan bebas di kalangan remaja seperti di Taman-taman Rekreasi, di Tempat-tempat Hiburan atau di mana jua sehingga berlakunya maksiat perzinaan yang menghasilkan kes pembuangan bayi.

ketiga :

Anak-anak menderhaka kepada kedua ibu bapanya sehingga sanggup meninggalkan mereka yang telah tua di rumah-rumah kebajikan.

Keempat:

Amalan rasuah menjadi-jadi dan dianggap amalan biasa sama ada di peringkat bawahan mahu pun di peringkat atasan.

Apa yang menyedihkan, Pusat-pusat Hiburan tumbuh bagaikan cendawan, para artis menjadi pujaan, teguran dan nasihat ulama tidak dihiraukan, malahan mereka pula menjadi bahan hinaan.

Selain itu, tidak kurang juga manusia-manusia jahil yang mendakwa memiliki pelbagai keramat dan 'azimat sehingga ada yang mengakui bahawa pemimpin mereka yang telah mati sebenarnya tidak mati tetapi ghaib yang kononnya dikatakan akan kembali hidup semula.

Malah ada juga yang mengaku sebagai rasul kaum atau nabi baru, wali dan sebagainya. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mencari keuntungan diri sendiri dengan cara menyesatkan orang lain. Ke semuanya ini hanya akan mengundang kemurkaan Allah SWT.

Dalam suasana kemungkaran yang berleluasa di sekeliling kita, alangkah baiknya jika para ilmuan, para pemimpin, organisasi dan politik, usahawan, remaja, belia dan para pencinta agama dapat disatukan fikrah dan pendirian mereka seterusnya bersama-sama pihak berwajib membanteras segala kemungkaran dan anasir-anasir yang membawa kerosakan.

Bagi mengelakkan bala bencana Allah ini, marilah kita kembali kepada ajaran Islam dan menjadikannya sebagai landasan kehidupan serta bersabar dalam menghadapi segala bentuk ujian daripada Allah SWT.

Marilah kita sama-sama mencari keredhaan Allah dan segera bertaubat memohon kerahmatan-Nya dan berdoa supaya terhindar daripada mala petaka yang tidak diingini. Jauhilah diri kita daripada terjebak ke dalam perkara-perkara maksiat dan mungkar.
Rujukan: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Sentiasa memberi yang terbaik



Menyedari akan benarnya sebuah kematian di hujung perjalanan, maka marilah kita menghargai kehidupan ini.


Biar pun kehidupan di dunia ini sangat pendek, namun ia menentukan kehidupan tanpa sempadan usia kita di Sana nanti. Biar pun kata sesetengah orang hidup ini sementara, namun hakikatnya kesan perbuatan kita kekal selama-lamanya.



Justeru lakukanlah yang terbaik demi menghargai peluang yang ada dalam kehidupan yang singkat ini.




Sebagai contoh, seorang suami teringin memakan ayam masak merah. Si isteri memasak acuh tidak acuh sedangkan bibik masak dengan bersungguh-sungguh. Tentu sahaja ayam masak merah kedua itu yang lebih menarik perhatian untuk dijamah. Ia adalah fitrah manusia yang memilih segala yang terbaik jika diberi peluang.




Fitrah manusia sukakan yang terbaik, Namun bolehkah kita mengharapkan yang terbaik jika tidak memberi yang terbaik? Pepatah menyebut, “what you give you get back“





Melakukan yang terbaik adalah semangat Islam dalam semua pekerjaan.







Acuh tidak acuh atau budaya melepaskan batok di tangga bertentangan dengan tatacara Islam dalam menilai perbuatan.





Berhakkah Allah menghendaki yang terbaik daripada kita? Sudah tentu kerana Allah telah memberikan yang terbaik kepada kita.





Kontraktor yang dilantik dengan bekalan alat binaan terbaik, pekerja terbaik, sudah tentu majikan menjangkakan hasil yang terbaik.




لقد خلقنا الإنسان في أحسن تقويم





ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Khamis, Oktober 28, 2010

Menghargai sebuah kehidupan


Gagal merancang bererti merancang untuk gagal. Hidup kita sudah terbiasa dengan pelbagai rancangan, sama ada apa yang dirancang untuk kita, atau kita sendiri merancang dengan pelbagai harapan.

Hidup berjalan dengan pelbagai perancangan dan jangkaan. Kita melepasi peringkat sekolah rendah – sekolah menengah – universiti – kerja – kahwin – anak – tua – pencen. Setiap peringkat itu berjaya ditempuh dengan kejayaan mengatasi kebarangkalian ia tidak berlaku.

Tidak semua yang bersekolah rendah sampai ke sekolah menengah. Tidak semua yang di universiti berjaya menggenggam segulung ijazah. Belum tentu semua yang berijazah mendapat kerja. Bukan semua yang bekerja bertemu jodoh, berkahwin, beranak pinak dan mencecah usia tua.

Semuanya sentiasa dengan kebarangkalian harapan tidak tercapai.
Hanya satu yang pasti berlaku iaitu MATI! Fikir mati pun mati, tak fikir mati pun mati. Bersedia untuk mati pun mati, tak bersedia untuk mati pun mati.

Justeru janganlah dipanggil bakal Datuk kerana mungkin tidak jadi Datuk. Jangan dipanggil bakal Puan Seri kerana mungkin tidak jadi Puan Seri.

Sebaliknya, WAHAI BAKAL-BAKAL JENAZAH sekalian! Itulah saya dan anda semua.

Islam tak mengajar kita takut dengan kematian tetapi menyedari adanya kematian di hadapan maka HARGAILAH SEBUAH KEHIDUPAN.

Teringat kepada perbualan saya dengan ibu bapa yang anak mereka sakit jantung – jangan difikir ajal anak itu kerana mungkin doktor mati dulu kemalangan. Mungkin ibu bapa mati dulu. Mungkin saya mati dulu berbanding anak kecil yang sakit itu.
Justeru janganlah dibimbangkan tentang kematian. Sebaliknya hargai setiap detik yang ada.

Nabi SAW bersabda: صلِّ صلاة مودِّع كأنك تراه ، فإن كنت لا تراه فإنه يراك yakni “bersolatlah kamu dengan solat perpisahan seolah-olah kamu melihat Allah. Jika kamu tidak dapat merasakan yang kamu melihat-Nya, sekurang-kurangnya rasakanlah bahawa Dia itu melihat kamu”.

Kita akan mati di antara dua solat. Tiada jaminan selesai solat Asar, kita sempat sampai ke Maghrib. Justeru setiap solat, lakukanlah ia sebagai solat terbaikmu.

Wal-‘Asr

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Sabtu, Oktober 23, 2010

Soal jawab berkaitan Korban dan Aqiqah

1. Apakah bezanya Korban dan Aqiqah?

Korban hanya boleh dilakukan pada Hari Raya Haji dan 3 hari selepasnya. Ia adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan memberi daging kepada orang miskin dan ahli keluarga serta sahabat handai. Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: “Tiada seorang dari kamu harus melakukan korban sehinggalah kamu telah melakukan solat (Eid)”.
Aqiqah adalah ibadat yang dilakukan bagi anak yang baru lahir. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sehingga anak itu baligh. Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: “Seorang anak lelaki sedang diikrarkan untuk aqiqah, ia dilakukan pada hari ketujuh, rambutnya dicukur dan dia diberi nama.” Kedua-dua ibadat ini adalah sunat.

2. Adakah aqiqah cuma boleh dilakukan untuk bayi yang baru lahir sahaja?
Aqiqah boleh dilakukan untuk anak selagi mana anak itu belum baligh. Jika anak itu sudah baligh, maka adalah lebih baik dilakukan ibadat korban.
Aqiqah boleh dilakukan bila-bila masa, tetapi korban hanya boleh dilakukan pada hari-hari tertentu sahaja dalam bulan Zulhijjah.

3. Bilakah waktu yang paling sesuai untuk aqiqah, cukur rambut dan khatan untuk bayi yang baru lahir?
Adalah sunat untuk dilakukan aqiqah dan cukur rambut pada hari ketujuh selepas kelahiran anak itu. Maka, adalah baik didahulukan cukur rambut pada hari ketujuh. Kemudian apabila ada kesempatan, seperti pada Hari Raya Haji, lakukan aqiqah anak itu. Tempoh aqiqah adalah sehingga anak itu baligh. Khatan pula baik dilakukan ketika anak masih kecil agar ia tidak ingat kesakitan yang dilaluinya. Namun, tidak mengapa ia ditangguhkan sehingga anak itu besar.

4. Bolehkah aqiqah ditangguhkan jika ibu bapa tidak mampu?
Aqiqah hanya digalakkan setelah seorang anak itu lahir, sebaiknya 7 hari selepas kelahirannya. Jika pada waktu itu kedua ibu dan bapa anak itu tidak berkemampuan untuk melaksanakan aqiqah, bolehlah ditangguhkan sehingga mereka mampu. Aqiqah boleh dilakukan sehingga anak itu belum mencapai usia baligh.

5. Berapa ekor kambing yang harus diaqiqahkan untuk anak lelaki?
Adalah sunat bagi melaksanakan aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing jika mampu. Namun, jika tidak, seekor pun memadai. Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Dua ekor kambing yang menyerupai (dalam usianya) disembelih untuk seorang lelaki dan seekor untuk seorang perempuan.”

6. Bolehkah seorang selain dari ibu bapa melakukan aqiqah untuk seorang bayi/kanak-kanak?
Dibolehkan melakukan aqiqah untuk seorang bayi/kanak-kanak oleh seorang selain dari ibu bapanya lebib-lebih lagi orang yang menjaga bayi atau kanak-kanak itu. Ia sebaiknya dilakukan pada hari ketujuh selepas lahirnya bayi tersebut.

7. Bolehkah seseorang itu melaksanakan aqiqah untuk anak angkatnya?
Aqiqah boleh dilaksanakan untuk anak kandung dan juga anak angkat. Ia sebaik-baiknya adalah pada hari yang ketujuh selepas kelahiran bayi.

8. Bolehkah digantikan aqiqah beberapa ekor kambing dengan seekor lembu?
Seekor lembu boleh disembelih atas 7 nama, tidak kira samada ia merupakan 7 individu, atau beberapa individu. Disunatkan bagi binatang yang diaqiqahkan agar tidak dipecahkan tulang-tulangnya. Dagingnya pula dibahagikan seperti berikut: sepertiga untuk fakir miskin, sepertiga untuk keluarga dan sahabat handai, dan sepertiga lagi untuk anda sekeluarga.

9. Adakah boleh melakukan aqiqah untuk anak di luar negara, kerana di Malaysia ia kebanyakannya dilakukan di hari raya Aidiladha saja?
Aqiqah boleh dilakukan di mana sahaja, tidak kira dalam negara atau luar negara, tidak kira samada disaksikan oleh orang yang lakukan aqiqah tersebut atau tidak. Selagi mana sewaktu membeli kambing tersebut ia telah jatuhkan niat sebagai aqiqah dan tukang sembelih berniatkan aqiqah ketika sembelih, maka aqiqah tersebut adalah sah.

10. Bolehkah seseorang itu mengerjakan ibadah korban/ aqiqah untuk yang sudah meninggal dunia?
Korban dan aqiqah hanya boleh dibuat untuk orang Islam yang masih hidup. Oleh itu, tidak boleh mengerjakan ibadah korban untuk yang sudah meninggal dunia. Adalah lebih baik berdoa, membaca Al-Quran atau bersedekah atas nama mereka yang sudah tiada dan berharap agar pahala ibadah-ibadah tersebut sampai kepada mereka.

11. Bagaimanakah caranya melakukan ibadah korban buat ahli keluarga yang masih hidup?
Cara melakukan korban untuk ahli keluarga yang masih hidup adalah dengan memberikan mereka wang untuk membeli kambing korban ataupun untuk membelikan lembu korban untuk mereka. Walaubagaimanapun, izin mereka haruslah diminta dahulu. Apabila waktu korban telah tiba, tukang sembelih akan menyebut nama mereka yang melakukan ibadah.

12. Perlukah seseorang itu menunggu sehingga segala hutangnya diselesaikan sebelum melaksanakan ibadah korban?
Sekiranya hutang tersebut ada tempoh untuk membayar dan kita yakin bahawa kita mampu membayar kembali hutang itu, maka itu tidak menghalang kita dari melakukan ibadah korban. Sayugia diingatkan disini bahawa hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunat dan bukanlah wajb, maka jika melaksanakan ibadah korban akan membebankan seseorang itu, maka tidak mengapa jika tidak melaksanakannya.

13. Kepada siapakah daging korban harus diagihkan?
Daging korban dibahagikan kepada tiga: 1) Sepertiga untuk fakir miskin.2) Sepertiga untuk ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat-handai walaupun mereka tidak mengharapkannya.3) Sepertiga untuk diri sendiri, dan bahagian ini boleh dimakan atau diberikan kepada orang bukan Islam. Walau bagaimanapun, jika ia merupakan korban wajib seperti nazar, maka yang membuat korban itu tidak boleh mengambil daging tersebut.

14. Bolehkah daging korban diberikan kepada orang bukan Islam?
Korban merupakan satu ibadat yang mendekatkan diri seseorang kepada Allah s.w.t. Sebahagian ulama mengkhususkan pembahagian tersebut hanya kepada orang Islam sahaja demi memelihara dan menjaga ibadat tersebut. Namun ianya tidak menjadi satu kesalahan jika daging korban yang telah dimiliki seseorang melalui pembahagian daging tersebut diberikan kepada teman atau jirannya yang bukan Islam. Hal ini sesuai dengan konteks masyarakat majmuk negara ini yang bergaul sesama masyarakat bukan Islam.

15. Bagaimanakah seseorang itu menerangkan tentang ibadah korban kepada mereka yang menganggapnya sebagai kezaliman keatas haiwan?
Jika tujuannya untuk membantu fakir miskin, bukankah pilihan lain lebih bersesuaian?
Perkataan Korban berasal dari perkataan “qaraba” yang bermaksud mendekati dan dalam konteks ibadah korban pula, bermaksud mendekati Allah dengan mengikut perintahNya agar mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain dengan pemberian daging korban atau amalan-amalan yang lain.
Perkara ini mungkin tidak boleh diterima oleh ahli vegetarian, penyayang haiwan dan kumpulan-kumpulan hak asasi haiwan yang menentang segala kekejaman terhadap haiwan. Walaupun pandangan golongan ini harus dihormati dan difahami, keperluan dan amalan golongan yang memakan daging (maserba) yang bersifat majoriti harus diambil kira juga.
Islam membenarkan manusia memakan daging dan sayuran kerana ia akur bahawa manusia secara semulajadi termasuk dalam golongan pemakan daging (maserba) dan mempunyai kedua-dua jenis gigi untuk memakan daging dan sayuran iaitu molars dan canine.
Akan tetapi, kebenaran ini datang dengan beberapa syarat dan syarat terpenting adalah larangan keatas segala kezaliman atau kekejaman ke atas haiwan. Ia juga melarang segala penganiayaan terhadap tumbuh-tumbuhan dan bumi kita.Sehubungan dengan soalan diatas, sayugia diterangkan disini bahawa walaupun Islam membenarkan manusia memakan daging, ia tidak bermaksud bahawa mereka boleh memakan apa sahaja yang diingini dan seberapa banyak yang diingini .
Islam telah memberi garis panduan tentang haiwan manakah yang boleh dimakan (halal) dan manakah yang dilarang (haram). Hanya haiwan pemakan sayuran atau tumbuhan (herbivores) adalah halal dimakan. Akan tetapi, memakan daging haiwan yang eksotik tidak digalakkan kerana tujuan asas memakan adalah untuk terus hidup dan bukan sebaliknya.
Tidak perlu untuk memakan daging haiwan seperti zirafah dan kuda belang kerana haiwan yang dibela jinak seperti kambing, lembu dan ayam lebih dari cukup.Islam melarang pembunuhan segala jenis haiwan yang tidak bermoral. Haiwan harus dibunuh dalam dua keadaan sahaja. Pertama, apabila ia membahayakan nyawa manusia. Dan kedua, apabila datangnya keperluan untuk memakan daging haiwan.
Dalam hal ini, Islam telah menetapkan cara yang terbaik yang penuh belas kasihan untuk mengambil nyawa haiwan. Sebagaimana yang dikatakan di Hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t telah memutuskan bahawa segala amalan harus dilakukan dengan belas kasihan. Jikalau seseorang itu harus membunuh seseorang (didalam peperangan atau sebagai hukuman mati) bunuhlah ia dengan belas kasihan.
Dan jikalau seseorang itu menyembelih seekor haiwan, sembelihlah ia dengan belas kasihan. Asahlah pisau yang digunakan dan izinkanlah haiwan itu berehat sebanyak mungkin.”Dengan itu, sudah menjadi kebiasaan bagi orang-orang Islam untuk mengasah pisau sebelum menyembelih. Pisau yang tajam akan memastikan pemotongan yang cepat dan bersih di saluran nafas dan saluran makanan dan minuman. Ini akan menyebabkan haiwan itu mati dengan serta-merta dan mengelakkan ia dari rasa terseksa. Haiwan itu juga harus dilindungi dari mana-mana tekanan, seperti mengasah pisau didepan haiwan tersebut.
Menurut cara penyembelihan Islam, kedua-dua urat saraf utama si haiwan itu harus dipotong tanpa memenggalkan kepalanya. Pemotongan kedua-dua urat tersebut akan menyebabkan kehilangan darah yang amat banyak di jantung dan otak dalam waktu yang singkat dan seterusnya menyebabkan penutupan kedua-dua organ tersebut secara serta-merta. Dan ini akan memastikan kematian yang cepat dan tidak menyakitkan.
Sebuah kajian yang dilakukan oleh Universiti Hanover di Germany telah membuktikan bahawa cara penyembelihan Islam akan memastikan bahawa haiwan yang disembelih itu akan mati hanya 6 saat selepas pemotongan. Memang terdapat banyak pilihan atau alternatif yang lain untuk membantu golongan fakir dan miskin. Satu contoh ialah dengan memberi sedekah atau dengan memberi mereka makanan.
Memandangkan bahawa kebanyakan dari mereka bukan dari golongan vegetarian, memberi mereka daging adalah sesuatu yang mereka amat menghargai kerana sayur-sayuran agak mudah didapati kerana harganya yang murah akan tetapi daging bukanlah sesuatu yang mereka mampu untuk membeli. Kekejaman terhadap haiwan yang dilakukan segolongan manusia, samada Islam atau bukan Islam, tidak patut menghalang seseorang itu dari memahami matlamat dan hikmah sebenar di sebalik ibadah Korban dan cara Islam yang penuh belas kasihan dalam menangani isu kekejaman terhadap binatang.

16. Mengapakah umat Islam menyambut Hari Raya Haji?
Islam telah menetapkan dua sambutan agama bagi umatnya iaitu; Hari Raya Puasa (Eid Al-Fitri) dan Hari Raya Haji (Eid Al-Adha). Sambutan Hari Raya Haji adalah sempena peristiwa yang berlaku antara Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. mengenai ujian yang diturunkan Allah s.w.t kepada mereka.“Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan "satu umat" (walaupun Ia seorang diri); ia taat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid; dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik. Ia sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmat Allah; Allah telah memilihnya (menjadi Nabi) dan memberi hidayah petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus.” (Qur'an 16:120-121)

SOALAN YANG MENJADI PERBAHASAN!!

Bolehkah berkorban bagi pihak orang yang telah mati?

Jawapan ulamak:
Ibadah korban ialah ibadah menyembelih binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau, dan kambing pada hari raya `idil Adha dan tiga hari Tasyriq kerana Allah. Berkorban hokumnya sunnat muakkadah. Ini berdasarkan firman Allah:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Maksudnya: ?i>maka hendaklah kamu kerjakan solat untuk Tuhanmu dan menyembelihlah?
(al-QurAn, al-Kauthar; 2).
Juga berdasarkan hadis Tirmizi:
أُمِرْتُ بِالنَّحْرِ وَهُوَ سُنَّةٌ لَكُمْMakusdnya: Aku diarahkan untuk menyembelih sedangkan ia sunat bagi kamu?

Berkorban adalah satu syiar yang mesti dizahirkan terutama oleh orang berkemampuan hinggakan Imam Malik berpandangan ianya wajib.

Menyembelih adalah Sunnat Kifayah bagi sebuah keluarga. Maksud Sunnat Kifayah ialah apabila salah seorang ahli keluarga melakukannya semua ahli keluarga mendapat pahala.

Malah kerajaan juga sunat berkorban bagi pihak orang Islam menggunakan harta Bait Mal.

Adapun berkorban bagi pihak si mati ia menjadi khilaf di kalangan ulama berdasarkan khilaf mereka tentang amalan si hidup adakah memberi manfaat kepada si mati. Pandangan yang shah (paling tepat) dalam mazhab Syafie ialah tidak harus melainkan dengan wasiat daripada si mati. Wallahua`lam

Moga apa yang dibincangkan ini dapat memberi manfaat dan menambahkan pengetahuan kita mengenai ibadah tahunan yang kita lakukan setiap tahun. Segala kesilapan atau salah faham mengenai ibadah korban yang kita lakukan sebelum ini, sama-samalah kita perbetulkan dan mohon keampunan kepada Allah SWT.

USTAZ NAIM HASHIM
29 NOV 2007

Khamis, Oktober 21, 2010

Larian Marathon Terbuka As-Salam 2010 (10km)




Majlis Jamuan Hari Raya Aidil Fitri Masjid As-Salam Puchong Perdana pada 25 September 2010 yang lalu telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri.
Buat julung-julung kalinya setiap pimpinan masyarakat, Pertubuhan Politik, kumpulan Agama daripada rumah-rumah ibadat seperti Gereja, Kuil dan Tokong Cina serta rakyat disekitar kawasan Masjid As-Salam telah membuktikan bahawa perpaduan, keharmonian dan persaudaraan sesama insan merupakan suatu perkara yang universal sifatnya.

Lanjutan daripada kejayaan program di atas serta sokongan dan galakan yang kami terima daripada kalangan pemimpin masyarakat yang hadir maka Biro Hal Ehwal Belia dan Sukan Masjid As-Salam Puchong Perdana dengan besar hati dan penuh tanggungjawab akan menganjurkan program Larian Marathon di atas bagi mencapai objektif berikut:-

  • Membantu memupuk dan mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni serta dapat berinteraksi secara aman damai, bebas dan mesra.
  • Menjadikan platform sukan sebagai salah satu wadah untuk menyatu padukan masyarakat dalam mencapai kesejahteraan dikalangan pelbagai kaum.
  • Membentuk masyarakat yang sihat fizikal, mental dan emosi serta sentiasa mengutamakan kesejahteraan dan kemaslahatan umum dalam segala tindakan.
  • Memperkukuhkan peranan Institusi Masjid As-Salam Puchong Perdana sebagai model Pusat Pengembangan Budaya Toleransi serta Pengembangan Budaya Perdamaian.

Program Larian Marathon ini akan berlangsung seperti ketetapan berikut:-

  • Tarikh: 12 Disember 2010 (Ahad)
  • Masa: 7:30 pagi ~ 10:30 pagi
  • Tempat: Persekitaran Masjid As-Salam Puchong Perdana

Program ini terbuka kepada semua kaum tanpa mengira latar belakang agama, fahaman politik dan budaya.

Penyertaan dibuka sekarang, Untuk keterangan lanjut, sila hubungi penama berikut:-

  • Roslan Hanapiah / Pengarah Program (012-372 6328)
  • Izan (012-376-5446)
  • Ery (016-320 6089)
  • Husin (019-299 0600)

Ahad, Oktober 17, 2010

Program Korban Perdana Masjid As-Salam 2010




Penyertaan dibuka sekarang
Satu Bahagian (Lembu) - RM350
Kambing (seekor) - RM600 ~RM1000

Untuk maklumat lanjut dan borang penyertaan, sila hubungi:

1. Tn Hj Hamdan Md Jali (Siak) - 012-3116251
2. Tn Hj Rahim Mat Piah (Bilal) - 016-3896524
3. En Afizan b. Ibrahim - 019-6007317
4. En Husin Hasran - 019-2990600
Tarikh tutup penyertaan ialah pada 10 Nov 2010.

Khamis, Oktober 07, 2010

Khatib Jemputan di Masjid As-Salam Jumaat 8/10/2010

Khatib jemputan di Masjid As-Salam Puchong Perdana untuk solat Jumaat esok, 8/10/2010 ialah Yang Berhormat Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Dr. Mujahid Yusof Rawa merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar, Negeri Perak dan merupakan anak kepada Allahyarham Tuan Guru Yusof Rawa. Beliau merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pusat.

Pendidikan
Ijazah Sastera Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir
Ijazah Sarjana Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM)
Ijazah Kedoktoran Siasah Syariah di Universiti Malaya
Pensyarah Universiti Multimedia, Melaka Bandar Raya Bersejarah (1999-2004) Universiti Multimedia
Meneruskan perniagaan keluarga dalam bidang penerbitan buku yang mana beliau merupakan pengarah urusan syarikat tersebut iaitu Safir IImu Sdn Bhd di Bayan Baru, Pulau Pinang.
Selain menjadi aktivis masyarakat, beliau juga terlibat dalam aktiviti keilmuan seperti menyampaikan kuliah-kuliah agama di seluruh negara terutama dalam bidang sirah dan beliau juga telah menulis hampir 10 buah buku antaranya ialah:
  • Dakwah dan Tarbiah (1992),
  • Masjid dan Peranannya (1993),
  • Khilaf Satu Fenomena (1994),
  • Global View of Islam (1996),
  • Moral Ethica of Study (2000) dan
  • Permata dari Pulau Mutiara (2003)

Bantuan kecemasan untuk pesakit angin ahmar / stroke

Pengalaman yang baik untuk dikongsi.


Rujukan asal: http://xa.yimg.com/kq/groups/10012394/998149945/name/BantuanKecemasanAnginAhmar.pdf

Rabu, Oktober 06, 2010

Peluang Terbaik untuk sambung belajar


  • Kolej yang diiktiraf
  • Kelulusan 3 kredit SPM disyaratkan
  • Pinjaman PTPTN disediakan
  • Penginapan ditawarkan
  • Peluang kerja sebagai kerjaya
  • Tempat praktikal juga disediakan
  • Zakat Selangor, SUK diberi bagi yang layak
  • Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

Mohd Hafizil Qaifee b. Mohd Azhar 016-2620241 / 017-3010780 hafizil@kolejmasa.edu.my

Rekod Kutipan Jumaat Masjid As-Salam Puchong Perdana








Isnin, Oktober 04, 2010

Ceramah Motivasi, Solat Hajat dan Munajat Hadapi peperiksaan


Tuan Nazir sedang menyampaikan Ceramah Motivasi bertajuk "Memperkasa Budaya Kecemerlangan".




KEPENTINGAN ilmu dalam kehidupan kita di dunia ini memang tidak boleh disangkal. Ilmu mengeluarkan kita daripada kejahilan dan juga kemiskinan. Ilmu juga membolehkan kita mengenal Allah yang menciptakan kita.

Oleh yang demikian pada Jumaat 1hb Oktober 2010 yang lalu, Sek Men Puchong Perdana dengan kerjasama Masjid As-Salam telah menganjurkan Program Motivasi, Bacaan Yaasin, Solat Hajat dan Munajat untuk Kecemerlangan Pelajar PMR dan SPM 2010 di Dewan Solat Masjid As-Salam Puchong Perdana.


Seramai kira-kira 200 orang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta ibubapa dan penjaga masing-masing hadir dalam program tersebut.

Antara pengisian program adalah solat fardu maghrib dan isyak berjemaah, bacaan Yasin dan tahlil dan solat sunat hajat dan doa munajat secara berjemaah.

Turut diadakan juga adalah ceramah motivasi oleh Tuan Haji Yasim Mohamed, Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana.

Tuan Nazir dalam ceramah motivasinya yang bertajuk "Memperkasa Budaya Kecemerlangan" menerangkan bahawa Allah s.w.t maha adil. Setiap individu ada kekuatan dan kelemahan diri. Kekuatan perlu dikenalpasti supaya dapat digunakan bagi membentuk kecemerlangan diri. Kelemahan perlu dikenalpasti supaya dapat di atasi.

Setiap individu dilahirkan dengan berbekalkan berbagai potensi. Oleh itu, perlu diterokai untuk menimbulkan potensi ini. Orang cemerlang menunjukkan hasil, orang yang gagal memberi seribu alasan.

Antara objektif program adalah menyemai tabiat taabudiyah kepada Allah SWT untuk memohon sesuatu keperluan duniawi dan ukhrawi setelah berusaha dan berikhtiar.


Di samping itu, ia bertujuan memupuk semangat ukhuwah dan kerjasama antara ibu bapa, guru-guru, pelajar, orang awam dan anak qariah Masjid As-Salam Puchong Perdana untuk sama-sama mendokan kecemerlangan akademik dan akhlak anak-anak dan pelajar.

Di harap program ini dapat melahirkan pelajar yang cemerlang, berakhlak mulia, berwawasan serta boleh menjadi qudwah hasanah kepada generasi yang akan datang dan boleh memimpin Ummah untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.


Pada masa yang sama, ia dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara pelajar, ibu bapa dan guru-guru dan Masjid As-Salam sendiri.

Tuan Nazir berharap para pelajar akan memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang bakal dihadapi.

Jumaat, Oktober 01, 2010

Intipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Nazir As-Salam pada 1/10/2010

Larangan mengaibkan sesama Islam
Firman Allah SWT. dalam surah An-Nur itu 19:

"Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)".

Ayat yang dipaparkan di atas menyatakan mengenai kemurkaan Allah kepada golongan yang suka memfitnah dan membuat tuduhan kepada orang lain. Islam melarang sama sekali perbuatan tersebut kerana boleh mencemarkan maruah. Meskipun demikian dianjurkan untuk kita menegur dan menasihati kesalahan dan kesilapan saudara kita tanpa mendedahkan ‘aibnya. Ini adalah lebih baik daripada menyebarkan kesalahan orang khasnya penyebaran fitnah terhadap orang-orang yang dikenali sebagai orang yang baik.
Namun dalam masyarakat kita pada hari ini terdapat segelintir daripada kalangan kita yang gemar berjanji untuk menyimpan rahsia keburukan saudaranya, tetapi kemudiannya menceritakan kepada orang lain dengan mensyaratkan janji yang sama untuk tidak menceritakan kepada orang lain.
Jika setiap orang melakukan perkara yang sama sudah pasti berita tersebut akan lebih cepat tersebar dan diketahui oIeh orang ramai.
Ayat ke 19 dalam surah An-Nur itu tadi sebenarnya diturunkan untuk menempelak golongan yang cuba memfitnah Saidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha. Terdapat beberapa riwayat yang menceritakan mengenai kisah fitnah Saidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘Anha.
Kisah ini berlaku ketika Nabi dan rombongannya dalam perjalanan pulang ke Madinah setelah selesai peperangan. Rombongan Nabi telah singgah di suatu tempat untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan. Ketika rehat, ‘Aisyah keluar dari usungannya untuk mencari tempat qada' hajat tanpa disedari oIeh Rasulullah atau sahabat-sahabat yang lain yang akhirnya beliau tertinggal dan dibawa oIeh seorang sahabat.

Kepulangan Saidatina ‘Aisyah dengan diiringi oIeh Safwan bin Al-Mu'atthal telah menggembirakan golongan munafiqin. Mereka merasakan ini adalah peluang terbaik untuk mencemarkan kemuliaan Nabi dan maruahnya.
Mereka terus menanam jarum-jarum fitnah dengan menyebarkan tohmahan bahawa Safwan telah melakukan sesuatu yang tidak baik dengan isteri Rasulullah s.a.w. Racun-racun fitnah tersebut telah meresap dalam masyarakat sehingga keadaan menjadi kecoh dengan setiap orang menceritakan berita atau isu yang sama.

Allah menempelak perbuatan menyebarkan fitnah ini dalam surah An-Nur ayat 14 -15 yang bermaksud:

"Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di dunia dan di akhirat, nescaya kamu ditimpa ‘azab yang besar kerana perbicaraan kamu tentang berita bohong itu.
Ingatlah di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui dan kamu menganggapnya suatu yang ringan sahaja pada hal ia di sisi Allah adalah besar. Dan mengapa kamu tidak berkata di waktu mendengar berita bohong itu?. Sekali-kali tidaklah harus bagi kita memperkatakan ini. Maha suci Engkau (Ya Tuhan kami) ini adalah dusta yang besar".

Fitnah yang disebarkan oIeh golongan munafiqin ini telah sedikit sebanyak memberi kesan kepada Nabi dan sahabat-sahabatnya. Justeru para ulama ketika membincangkan perkara ini telah bersepakat bahawa sesiapa yang terlibat memfitnah dalam isu Al-Ifq ini, dia dihukumkan sebagai terkeluar daripada Islam.
Jika tidak bertaubat maka orang itu wajib dibunuh kerana menghina dan menjatuhkan maruah Rasulullah. Bahayanya penyebaran fitnah ini sehingga memaksa Rasulullah s.a.w. mengeluarkan perintah hukuman had terhadap tiga orang sahabat yang terlibat sama dalam fitnah ini dengan disebat setiap daripada mereka dengan 80 sebatan.

Hadith-hadith Rasulullah s.a.w. banyak menceritakan mengenai perintah atau galakan menyembunyikan keaiban saudara seislam yang lain. Antaranya hadith daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

"Tidak menutup seseorang akan keaiban orang lain melainkan Allah akan menutup keaibannya pada hari qiamat". (Riwayat Muslim).

Hadith ini menceritakan kelebihan bagi sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, maka Allah akan menutup keaibannya pada hari qiamat. Menurut para ulama, menyembunyikan keaiban orang lain terbahagi kepada dua keadaan:
iaitu mahmud (terpuji)
dan mazmum (dikeji).
Menyembunyikan keaiban orang lain dianggap terpuji jika orang itu dari kalangan orang yang baik, beriman dan beramal soleh. Maka dalam hal ini keaibannya perlu dirahsiakan.
Berbeza dengan orang yang suka melakukan maksiat, berbangga dengan maksiat yang dilakukan dan suka menceritakan maksiatnya kepada orang. Maka harus diceritakan kejahatannya supaya dapat dihukum seterusnya menjadi pengajaran kepada orang lain.

Apa yang penting dalam menyembunyikan keaiban orang lain adalah bergantung kepada maslahah atau kepentingan. Jika kepentingan menutup perbuatan tersebut maka perlu dirahsiakan begitulah sebaliknya.
Perhatikan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Imam Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Setiap umatku dimaafkan melainkan orang yang terang-terangan dan menunjuk-nunjuk dalam melakukan kemaksiatan (Al-Mujaharah). Dan sesungguhnya termasuk di bawah (Al-Mujaharah) ialah orang yang bangga melakukan kejahatan pada malam hari kemudian pada paginya Allah menyembunyikan keaibannya tetapi dia pula menceritakan kepada orang lain dengan berkata: "Ya Pulan, aku melakukan perbuatan ini dan itu semalam", pada hal ketika dia tidur pada malamnya Allah telah menutup keaibannya tetapi pada keesokannya dia mendedahkan apa yang telah ditutup oIeh Allah SWT.

Islam melarang umatnya mengaibkan sesama Islam sehinggakan orang yang telah dihukum dengan hukuman had pun ditegah daripada dihina dan diaibkan sebagaimana hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Abu Hurairah yang bermaksud:

"Seorang yang telah meminum arak dibawa kepada Nabi lalu Nabi memerintahkan supaya lelaki tersebut disebat. Abu Hurairah menceritakan:
Ada di antara kita yang memukul dengan tangannya, ada yang memukul dengan kasutnya, ada yang memukul dengan pakaiannya. Ketika lelaki tersebut beredar, setengah kaum menghinanya dengan mengatakan semoga Allah menghinakan engkau. Lalu Nabi melarang dengan katanya: Jangan mengeluarkan perkataan itu nanti syaitan akan mengambil peluang".

Larangan dan tegahan Islam tentang perkara yang mengaibkan sesama Islam adalah demi menjaga hubungan silaturrahim dan perpaduan sesama mereka. Musuh-musuh Islam akan bergembira apabila melihat umat Islam benci-membenci sesama mereka, hina-menghina, aib-mengaib dan fitnah-memfitnah.
Golongan yang dalam hatinya ada perasaan benci dan hasad kepada saudara seislamnya merupakan golongan yang ada dalam dirinya sifat-sifat munafiq. Tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan dalam Islam. Islam menganjurkan perbincangan dan pertemuan bagi menyelesaikan sebarang pertelingkahan dan pergeseran.
Mengaibkan saudara seislam yang lain tanpa bukti dan fakta yang tepat merupakan satu jenayah yang sangat besar kepada perpaduan Islam. Umat Islam sewajarnya melupakan pergeseran yang bersifat peribadi dan meletakkan kepentingan dan perpaduan ummah lebih daripada segala-galanya.

Pengajaran yang dapat dirumuskan daripada khutbah kita pada hari ini adalah:

Pertama: Kehidupan bermasyarakat dan bernegara hendaklah berlandaskan nilai-nilai akhlak dan nilai budaya yang bertamadun.

Kedua: Umat Islam perlu membina masyarakat dan negara di samping berinteraksi dalam politik, sosial, perniagaan dan sebagainya berdasarkan nilai dan ajaran Al-Quran yang luhur.

Ketiga: Nama baik seseorang serta kehormatannya perlu dilindungi sesuai dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.

Keempat: Orang atau kumpulan yang menggunakan cara mengaibkan lawan seperti mencolek, mengugut, melakukan rasuah, memfitnah dan sebagainya adalah melakukan perkara yang diharamkan oIeh Allah SWT.

Kelima: Golongan berkenaan pasti menerima padah dan akan dicampak oleh Allah ke dalam api neraka.

"Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan bahaya (seksa, bunuh dan sebagainya) kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam dan mereka akan beroleh azab api yang kuat membakar".

Sumber Rujukan: Jabatan Agama Islam Selangor
Grab this Widget ~ Blogger Accessories