Khamis, September 09, 2010

Tazkirah Khas Ramadhan yang disampaikan oleh Nazir As-Salam pada 8/9/2010 (Rabu)


Tuan Nazir menyampaikan Tazkirah Khas Ramadhan dengan penuh bersemangat

Konsep Hari Raya Menurut Islam

Begitu pantas masa berlalu. Kini, kita sudah berada di penghujung Ramadhan, bermakna giliran Syawal pula bakal menjelma.

Hari-hari terakhir sebegini sesetengah umat Islam sedang sibuk dengan hal menguruskan persiapan menyambut hari raya Aidil Fitri.

Apa lagi kanak-kanak, memang merekalah yang paling gembira. Maklumlah segala-galanya serba baru. Pakaian baru, kasut baru, baju baru dan pendek kata semuanya baru.

Ibu bapa pula sanggup berhabisan untuk berbelanja semua itu. Tidak kisah dan tidak mengapa, kerana beraya pun setahun sekali.

Gedung dan pasar raya bagaikan berpesta, kerana semua turun berkampung, malah segala mak nenek dan keturunan dikerah ke pasar raya. Kelabu mata dibuatnya dengan tawaran "Sale" dan harga runtuh.

Berkumandang lagu raya di corong radio dan televisyen manakala jalanraya sesak memanjang ke mana-mana destinasi dan pendek kata Syawal yang bakal diraikan serba meriah.

Pada hari raya memang patut kita bergembira, maklumlah sudah sebulan berlapar menahan ujian berpuasa.

Idulfitri maknanya ialah pulang dalam keadaan fitrah. Fitrah maknanya bersih dan yang bersih adalah hati yang sudah dididik oleh tarbiyah Ramadhan.

Ramadhan sebagai bulan pembersih dan pencuci. Ia membersih diri kita dari sifat kedekut dan menanam sifat pemurah.

Ia juga membersihkan sifat invidualistik (keakuan) serta menggantikan sifat kasih sayang dan tolong menolong (kemasyarakatan)

Solat Tarawih membersihkan dosa, solat Tahajud, ibadat membaca al-Quran, berlapar, bersedekah dan zakat fitrah adalah pembersih.

Apa yang dibersihkannya? Yang dibersihkan adalah hati daripada sifat mazmumah (keji). Bersih dalaman inilah yang menyempurnakan makna Taqwa yang menjadikan kita berpuasa.

Sebenarnya menyambut Hari Raya bukan sahaja dengan baju baru, pakaian baru, rumah baru, sofa baru, kuih-muih baru tetapi menyambut raya ialah dengan jiwa yang baru, iaitu jiwa yang berjaya mengekang dan mendidik hawa nafsu.

Apalah ertinya 1 Syawal yang kita sambut dengan serba baru, sedangkan perangai kita adalah yang lama dan tidak berubah. Sikap ego kita tidak berubah, malas macam dulu juga , bercakap kasar berterusan dan melanggar disiplin dengan selamba sahaja.

Oleh kerana ibadah puasa pada Ramadhan berteraskan akidah, maka cara menyambut Idulfitri mestilah juga munurut acuan akidah.

Bukan sahaja dengan solat Idulfitri tetapi acuan akidah itu dalam keseluruhan cara menyambutnya, termasuk cara berpakaian yang sopan dan tidak mendedahkan aurat, makanan dan minuman tidak melampau, pergaulan lelaki dan wanita berteraskan syariat, manakala bentuk hiburan dan cara berhibur jangan pula sampai terbabas daripada tuntutan syariat.

Demikian juga bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram mesti dielakkan. Makan minum jangan jadikan perut seperti tong sampah. Sebulan berpantang jaga itu dan jaga ini takkanlah semua itu roboh dan musnah pada 1 Syawal.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin

Hj Yasim Mohamed
Nazir
Masjid As-Salam Puchong Perdana

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories