Selasa, September 14, 2010

Laporan Program Meraikan Anak Yatim dan Majlis Berbuka Puasa

Anak-anak yatim dibawa membeli pakaian hari raya di Jusco Seri kembangan

Anak yatim, itulah gelaran yang cukup sinonim kepada kanak-kanak khususnya yang kehilangan ibu atau bapa. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka dalam meneruskan kehidupan didunia ini. Tidak salah atau keterlaluan rasanya jika saya berpendapat bahawa kita seharusnya memindahkan sedikit perhatian kita dari anak-anak kita kepada mereka ini. Kerana mereka ini juga ada haknya keatas diri kita.



Petugas memastikan keselamatan anak-anak yatim semasa menaiki bas

Jika kita mengambil berat akan diri mereka, maka tidak mustahil suatu hari nanti nasib yang sama akan menimpa diri kita dan pada masa itu orang lain pula akan melakukan perkara yang sama terhadap anak-anak kita. Sesungguhnya Allah itu maha berkuasa lagi maha mengetahui akan setiap perbuatan hamba-hambaNya.


Tuan Nazir melepaskan bas rombongan anak yatim menuju ke Seri kembangan

Di Masjid As-Salam pada 5 September yang lalu, seramai 35 orang anak-anak yatim daripada 100 orang yang telah berdaftar dibawah Biro Kebajikan Masjid As-Salam telah terpilih untuk menyertai “Program Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim”.

Tuan Nazir menyampaikan sumbangan voucher kepada anak-anak yatim

Program julung-julung kali yang diadakan di Masjid As-Salam ini telah dianjur oleh Ahli jawatankuasa khas Ramadhan Masjid As-Salam dengan kerjasama Biro Kebajikan Masjid As-Salam, seawal jam 1000 pagi, anak-anak yatim telah berkumpul di Masjid As-Salam untuk pendaftaran dan untuk mendengar sedikit taklimat aturcara dari Pengarah program.

Bergambar beramai-ramai semasa di Jusco seri Kembangan

Tuan Nazir Masjid As-Salam, Tuan Haji Yasim Mohamed turut meluangkan masa untuk bersama-sama dalam Program ini dan menyampaikan ucapan alu-aluan serta menyerahkan baucer membeli belah kepada setiap peserta.

Anak-anak yatim diberi taklimat semasa berada di Jusco Seri kembangan

Pada jam 1045 pagi, diiringi oleh satu pasukan Polis Trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, konvoi yang membawa anak-anak yatim ini berlepas ke Jusco Taman Equine Sri Kembangan. Tuan Haji Yasim sekali lagi diberi penghormatan untuk melepaskan konvoi tersebut dengan kibaran jalur gemilang.

Kakitangan Pusat Membeli Belah Jusco bersiap sedia untuk membantu

anak-anak yatim mendapatkan pakaian yang sesuai

Setibanya konvoi di Jusco, mereka disambut meriah oleh Pengurus Besar Jusco iaitu MR Kobayashi Tomohisa, Pengurus Besar Bahagian Pentadbiran iaitu Puan Norah Raman serta beberapa kakitangan mereka. Kami juga diberi beberapa taklimat oleh pihak pengurusan Jusco dan setiap anak-anak yatim dipecahkan beberapa kumpulan dengan bertujuan untuk memudahkan bagi mengurus sepanjang membeli belah.

Setiap kumpulan diketuai oleh kakitangan Jusco dan 2 kaunter bayaran khas disediakan untuk anak-anak yatim membuat bayaran. Dengan peruntukan sebanyak RM130.00 seorang, mereka diberi masa selama 3 jam untuk memilih pakaian kegemaran mengikut kehendak masing-masing.

Sepanjang masa membeli belah tersebut, keselamatan anak-anak yatim ini tidak dibiarkan begitu sahaja, mereka dipantau sepenuhnya oleh Biro Keselamatan JKP ZON 13 yang diketuai oleh En Zamri dan turut dibantu oleh 8 orang anggotanya. Anak-anak yatim yang terdiri dari umur 3 hinggalah ke 13 tahun, menunjukkan pelbagai telatah dan ragam membuatkan petugas-petugas tidak berasa penat mahupun jemu melayan kerenah mereka.

Setelah selesai membeli belah, mereka dibawa semula berkumpul untuk sesi penyampaian saguhati yang ditaja oleh pihak Jusco, konvoi anak-anak yatim mula berlepas pulang dari Jusco ke Masjid As-Salam tepat pada jam 2.45 petang dengan diiringi sekali lagi oleh pihak Polis Trafik.

Setiba di Masjid As-Salam pada jam 3.00 petang, mereka diberi masa untuk berehat selama 2 jam sementara menanti program seterusnya. Pada jam 5.30 petang, anak-anak yatim diminta berkumpul semula diperkarangan pakir di dalam Masjid untuk acara selanjutnya, mereka turut dihiburkan dengan persembahan Qasidah oleh kumpulan “Perikatan Tasawuf” yang didatangkan khas oleh Encik Ery Sudirman.

Kakitangan Jusco membantu anak-anak yatim dalam membuat pilihan pakaian

Pada jam 6.00 petang, ketibaan para tetamu jemputan iaitu Tuan Nazir Masjid As-Salam, Timbalan Nazir Masjid As-Salam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Ketua Bahagian Keteteraman Awam & Ketua Trafik Daerah Subang Jaya (KBKA), Pegawai Pentadbiran IPD Subang Jaya, Ketua Balai Polis Bukit Puchong, Eksekutif Pembanggunan Islam FELDA dan Bahagian Kaunseling Agama (BAKA) IPD Subang Jaya.

DSP Tengku Anwar serta ACP Zainal Rashid bersama-sama Tuan Nazir
berbuka puasa bersama anak-anak yatim

Sebelum majlis berbuka puasa, kesemua anak-anak yatim turut diberi sumbangan hamper dan duit raya yang disampaikan sendiri oleh beberapa tetamu jemputan. Program selesai setelah sahaja majlis berbuka puasa.

Disini saya selaku Pengarah Program, ingin merakamkan jutaan terima kasih khususnya kepada FELDA HOLDING BHD, KETUA POLIS DAERAH SUBANG JAYA, ALFA MAJU RESTORAN dan PUSAT KHIDMAT MASYARAKAT DUN SRI SERDANG diatas sumbangan untuk membantu pihak Masjid As-Salam dalam melaksanakan program ini.

Tidak lupa juga kepada seluruh anak kariah Masjid As-Salam kerana turut memberi sumbangan kepada tabung-tabung khas yang ditubuhkan oleh pihak pengurusan saya dalam merialisasikan program bersama anak-anak yatim ini. Saya berasa sungguh gembira kerana program yang pada asalnya ini banyak menghadapi rintangan dan cabaran akhirnya berjaya juga diadakan.

Ini semuanya berkat dari doa serta kerjasama yang tidak terhingga dari seluruh ahli jawatankuasa termasuk anak kariah itu sendiri. Semoga program seupama ini dapat dianjurkan kembali pada masa-masa yang akan datang. Saya bersama Biro Kebajikan Masjid As-Salam sekali lagi berhasrat ingin menganjur kembali program sebegini pada bulan November akan datang, ia bertujuan untuk membantu anak-anak yatim dan anak-anak asnaf bagi meringankan beban keluarga mereka untuk kembali ke sekolah pada musim yang baru pada tahun 2011.

Kami amat mengalu-alukan sumbangan wang ringgit dari individu atau syarikat-syarikat dalam membantu kami untuk mengadakan program yang kami namakan “BACK TO SCHOOL”.Sila berhubung terus dengan saya di talian 012-3765446 (EN AFIZAN) atau 019-3287197 (EN HARUN). Laporan dari Pengarah Program Mohammad Nor Afizan Ibrahim Masjid As-Salam Puchong Perdana

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories