Rabu, September 15, 2010

Intipati Khutbah Eidul Fitri yang disampaikan oleh Nazir As-Salam pada 10/9/2010

Hari ini seluruh umat Islam di dunia meraikan ‘Idulfitri. Mereka menyatakan kesyukuran dengan bertasbih, bertahmid memuji Allah dan bertakbir mengagungkan-Nya sebagai tanda kegembiraan kerana berjaya memerangi nafsu dan pengaruh syaitan sepanjang bulan Ramadhan. Nafsu adalah musuh utama dan paling besar terhadap manusia. Mereka yang berjaya mengalahkan pengaruh nafsu dan syaitan itulah orang yang bertaqwa kepada Allah.

Bukti taqwa yang lahir dari kesan Ramadhan itu berada dalam diri kita:
Pertama : Kita akan sentiasa bersemangat untuk menunaikan perintah Allah dengan ikhlas. Kedua: Kita akan terus merasa bimbang jika ketinggalan untuk mengerjakan perintah Allah. Ketiga: Kita akan sentiasa menjaga diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Keempat: Kita akan terus menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk ke jalan yang benar, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan. Kelima : Kita akan merasa perubahan pada diri ke arah yang lebih baik, lebih berintegriti, telus dan berkeperibadian soleh.

Ini adalah kerana Al-Quran yang diturunkan di bulan ramadhan itu, berautoriti menjadi seseorang muslim itu mampu memikul amanah, bertanggungjawab dan melaksanakannya dengan baik. Kesannya kita akan menjadi orang yang ceria dan bahagia dengan nur hidayah Allah SWT. Maka wajarlah hari ini, kita semua bergembira dengan bertakbir, bertasbih dan bertahmid sebagai tanda syukur kita menjadi hamba-Nya yang bertaqwa.

‘Idulfitri merupakan syiar kemenangan umat Islam dalam memerangi kehendak nafsu dan pengarauh syaitan. Ketika Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud; “ Kita telah kembali daripada medan perang melakukan jihad yang kecil dan akan menghadapi medan perang melaksanakan jihad yang lebih besar. Para sahabat bertanya; Apakah ada lagi jihad yang lebih besar daripada itu Ya Rasulullah? Baginda menjawab; “Jihad melawan hawa nafsu”. ( Riwayat Ad-Dailami )
Ini menunjukkan memerangi nafsu jahat tidak ada batas berhenti atau rehat, walaupun penat dan letih sekembalinya dari peperangan. Penat dan letih berperang menentang kuffar tidak sebesar dan sehebat memerangi hawa nafsu yang melampaui batas. Kedatangan kitab Al-Quran di bulan Ramadhan serta Lailatul qadr yang Allah anugerahkan kepada kita, sewajarnya telah membawa perubahan secara besar-besaran bagi mengukuhkan lagi iman dan amalan kita sebagai seorang muslim.

Saban tahun, selepas kita berpuasa Ramadhan dan membayar zakat fitrah, kita menyambut ‘Idulfitr, kita menunaikan solat sunat ‘Idulfitr, bertakbir membesarkan Allah dan mengagungkan-Nya. Maka nama Allah begitu agung bermain-main di bibir kita.

Tetapi agungkah Allah dalam kehidupan kita?, agungkah Allah dalam makan minum kita?, agungkah Allah dalam harta yang kita miliki?.

Agungkah Allah dalam gelaran dan pangkat kebesaran kita?. Agungkah Allah dalam perjuangan hidup kita?, agungkah Allah dalam bilik-bilik pejabat kita?,

agungkah Allah dalam organisasi yang kita bertungkus lumus kerananya?.

Agungkah Allah dalam negeri dan Negara kita yang kita pertahankan bermati-matian?.

Jangan sampai yang kita agung-agungkan itu, hanyalah sekadar mengagungkan nafsu yang kita kuburkannya di bulan Ramadhan, kemudian kita suburkannya semula selepas Ramadhan. Sebagai umat Islam yang mahu kepada perubahan sebenar, bengkel Ramadhan banyak membantu kita mencapai taraf manusia bersopan santun dan berhati murni.

Ibn ‘Athaillah dalam kitabnya “Al-Hikam” menyatakan;

“Bahawa pengaruh nafsu “haiwaniyyah” di dalam hati tidak akan dapat dibersihkan, kecuali dengan adanya dua perkara dalam hatinya”:-

Pertama : Seseorang itu mestilah merasa takut dan gerun terhadap Allah SWT. Kedua : Seseorang itu mestilah merasa kasih dan rindu kepada Allah SWT.

Kenapa nafsu haiwaniyyah menjadi musuh utama?

Kenapa nafsu itu sentiasa terdorong untuk melakukan apa sahaja yang dilarang Allah?

Sesungguhnya nafsu itu sentiasa tidak mahu dan enggan menurut apa sahaja yang Allah perintahkan. Suruhan Allah walaupun mudah, tetapi nafsu tidak mahu, nafsu merasa terlalu payah. Sebaliknya apa sahaja larangan Allah walaupun susah dan terlalu payah, namun nafsu haiwaniyyah itu tetap merasa mudah, ringan dan mahu melakukannya.

Imam Ghazali Rahimahullah menjelaskan;

Antara sifat-sifat jahat itu ialah sifat-sifat syaitaniyyah seperti riak, takbur, sombong, ujub, iri hati, hasad dengki, suka dipuji, suka disanjung, tidak suka dicerca, bersikap degil, keras hati dan bersikap kasar dan sebagainya.

Sifatsifat syaitaniyyah itu juga akan melahirkan sifat-sifat haiwaniyyah seperti banyak makan dan minum, suka duduk berehat dan banyak tidur, gemarkan keseronokkan seks, tidak mengenal halal haram dan sebagainya. Maka lahirlah sikap tamak haloba dan mementingkan diri sendiri.

Kita mengharapkan bahawa sifat-sifat haiwaniyyah tersebut telah terkubur dihapuskan oleh ibadah yang telah kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan yang lalu. Sifat-sifat syaitaniyyah dan haiwaniyyah itu telah hangus terbakar dengan puasa, terawih, tilawah Al-Quran, wirid dan solat tahajjud disepanjang bulan Ramadhan. Kita mesti berusaha kuat menghadapi cabaran sengit nafsu syaitaniyyah dan haiwaniyyah sepanjang bulan Ramadhan.

Kita akan memperoleh kejayaan jika usaha gigih itu disambung dengan berpuasa enam hari selepas ‘Idulfitri ini. Di hari ‘Idulfitri ini, wajarlah kita meraikan kejayaan ini dengan takbir, tahmid dan tahlil mengagungkan Allah sepanjang hayat dan zaman. Bermaaf-maafan sesama kita, ziarah-menziarahi menghubungkan silaturrahim.

Di pagi Syawal yang mulia ini , marilah kita merenung sejenak betapa Allah SWT. menjadikan Ramadhan sebagai bulan untuk hamba-Nya mencapai taqwa sebagai matlamat berpuasa. Antara matlamat puasa yang diperintahkan kepada kita adalah :

1 . Menunjukkan Maha adilnya Allah , diperintahkan-Nya kita bertaqwa lalu disediakan ganjaran berlipat kali ganda bagi hamba-Nya yang berpuasa, bertarawih, bersedekah, membayar zakat fitrah, bertadarus, berzikir, solat sunat dan semua kebaikan atau kebajikan akan dilipatgandakan hingga tujuh ratus kali ganda, yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain.

2 . Hikmah penurunan Al-Quran di bulan Ramadan supaya hamba-Nya dapat panduan hidup yang sebenar yang tidak sesat selama-lamanya .

3 . Disuruh menggandakan amal pada sepuluh malam yang akhiar di bulan Ramadhan supaya hamba-Nya dapat merasakan keimanan dan keikhlasan yang sebenar dalam ibadah puasanya agar Allah memberikan Rahmat, maghfirah، dan melepaskannya dari api neraka.

Maka pada hari ini kita rayakan hari kemenangan kita itu . Kita mestilah mempertahankan kemenangan itu dan terus diberikan kemenangan :

1- Jika kita meneruskan amalan berpuasa sunat Isnin dan Khamis setelah berpuasa enam hari di bulan Syawal .

2- Jika kita terus menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup kita berkeluarga, bermasyarakat, berniaga dan dalam mengurus tadbir rakyat dan negara .

3- Jika kita menjadikan sumbangan ikhlas kita itu sebagai keprihatinan kita melakukan kebajikan dan keadilan kepada semua insan dengan bersikap telus ،tidak berlaku hasad dengki dan memfitnah . Bahkah dapat membantu saudara seagama di samping dapat mempereratkan hubungan persaudaraan sesama insan .

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories