Isnin, Ogos 02, 2010

Laporan Kursus Pengurusan Jenazah Muslimah 2010

Biro Hal Ehwal Wanita Masjid As-Salam Puchong Perdana telah melaksanakan KURSUS PENGURUSAN JENAZAH MUSLIMAH 2010 pada 18 julai 2010 (ahad) bermula dari jam 8 pagi sehingga 4 petang. Penyertaan kursus ini mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga mencecah ke 150 orang. Penyertaan disertai oleh wakil-wakil Biro muslimah atau pengurus jenazah muslimah dari surau-surau di bawah Kariah Masjid As-Salam. Terdapat juga penyertaan dari individu-individu di dalam kariah ini.

Kursus ini bermatlamatkan agar muslimat di dalam kariah Masjid As-Salam mendapat ilmu fardhu kifayah secara khusus seterusnya dapat melaksanakan tuntutan pengurusan jenazah sekiranya berlaku di dalam kariah surau masing-masing. Ianya juga bertujuan agar peserta-peserta yang hadir dapat menunaikan tuntutan pengurusan jenazah ini diperingkat keluarga sekiranya berlaku kematian. Selain dari itu, kursus ini juga menjadi medan pertemuan antara muslimat-muslimat di dalam kariah Masjid As Salam untuk saling mengenali dan merapatkan ukhuwwah.
Peserta kusyuk mendengar ucapan daripada Tuan Nazir

Nazir Masjid As Salam, Tuan Hj Yasim B. Mohamed telah meluangkan masa untuk memberikan ucapan alu-aluan seterusnya merasmikan kursus tersebut. Di dalam ucapannya, Tuan Hj. Yasim mengucapkan tahniah kepada Biro Muslimah kerana telah berusaha dan berjaya melaksanakan kursus seumpama ini dengan penglibatan peserta hampir 150 orang. Beliau juga telah mencadangkan agar Biro Muslimah dapat menganjurkan satu seminar kewanitaan pada masa akan datang untuk memberi dan meningkatkan pengetahuan pelbagai aspek kehidupan khusus kepada kaum wanita.

Jemputan penceramah/muallimah untuk kursus ini adalah Ustazah Sanah Bt Arsad. Beliau merupakan ketua Biro Hal Ehwal Wanita, Masjid Lapangan Terbang Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah. Beliau mempunyai pengalaman yang banyak serta luas dalam menguruskan jenazah wanita.

Kursus ini dilaksanakan dalam 2 sesi. Sesi pagi dimulakan dengan teori/kuliah berkaitan pengurusan jenazah wanita. Manakala sesi petang selepas makan dan solat zuhor berjemaah, kursus diteruskan dengan praktikal pengurusan jenazah. Kreativiti ustazah dalam menyampaikan selingan nasyid-nasyid berunsurkan memperingati kematian diakhir sesi praktikal, menjadi sayu kepada sebahagian peserta yang menghayatinya. Peserta diberikan sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan dah tahniah kerana dapat menyertai kursus ini. Semoga dengan ilmu yang diperolehi ini, menjadikan kita semua insan yang bertaqwa di sisi Allah s.w.t.

Berikut dirakamkan suasana sepanjang kursus tersebut:

Sebahagian daripada peserta kursus yang hadir

Peserta mendengar toeri yang disampaikan oleh Ustazah Sanah Arsad

Ustazah Sanah menerangkan peralatan yang perlu digunakan untuk menguruskan jenazah

Peserta diajar cara-cara untuk memotong kain.

Puan Azizah Saiman menawarkan diri untuk menjadi model mayat

Ustazah memperkemaskan tudung yang menjadi salah satu pakaian jenazah muslimah

Ustazah menunjukan cara mengikat tali di bahagian kaki jenazah

Catatan disediakan oleh:
Pn Nor Zarina Bt Mohd Azhar,
Setiausaha,
Biro Hal Ehwal Wanita

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories