Isnin, Ogos 30, 2010

Penyampaian sumbangan di Surau Annajatul Hasanah Puchong Permai

Tn Nazir menyampaikan sumbangan kepada yang layak
Pada 22hb Ogos yang lalu satu majlis penyerahan sumbangan kepada mereka yang memerlukan telah berlangsung di Surau Annajatul Hasanah Flat Puchong Permai.

Exco Agama Negeri Selangor menjadi Khatib Jumaat di Masjid As-Salam


Puchong, 13 Ogos. - Exco Kanan Agama Negeri Selangor Yang Berhormat Dato' Dr Hassan Hj Mohd Ali telah hadir menyampaikan khutbah dan seterusnya mengimamkan solat Jumaat di Masjid As-Salam Puchong Perdana pada 13/8/201 yang lalu.

Ini merupakan kali pertama beliau menjejak kaki di Masjid As-Salam semenjak dilantik menjadi Exco Agama 2 tahun yang lalu. Beliau telah diberikan taklimat ringkas oleh Nazir Masjid As-Salam, Tn Hj Yasim Mohamed berhubung dengan perkembangan semasa masjid.

Ahad, Ogos 29, 2010

Kuliah Maghrib Nazir As-Salam di Surau Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya

Tn Hj Yasim menggunakan kemudahan ICT dalam penyampaian Kuliah Maghribnya.


Pada 9hb Ogos 2010 yang lalu, Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana Tn Hj Yasim Mohamed telah dijemput untuk menyampaikan Kuliah Maghrib di Surau (IPD) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di USJ 8, Subang Jaya.

Sabtu, Ogos 28, 2010

Suasana kemeriahan Bazaar Jumaat di Masjid As-Salam

Barangan berasaskan ubat-ubatan dijual di Bazaar Jumaat ini


Setiap Hari Jumaat, diperkarangan kawasan parking Masjid As-Salam Puchong Perdana penuh dengan peniaga-peniaga Bazaar Jumaat. Seawal pukul 10:00 pagi, peniaga-peniaga ini menyiapkan barangan jualan mereka di bawah Canopy yang dipasang sebelum perniagaan bermula.

Dari barangan makanan serta pakaian hingga ke barangan peralatan rumah ada dijual di bazaar ini.

Selasa, Ogos 24, 2010

Hormatilah kuliah ilmu

Al-Thabrani meriwayatkan daripada Abi Hazim daripada Sahal r.a., berkata bahawa beliau telah menyampaikan kuliah tentang sunah Nabi s.a.w. kepada kaumnya. Terdapat di kalangan mereka yang hadir bersembang dan tidak memberikan perhatiannya.


Beliau merasa marah dengan sikap buruk yang ditunjukkan itu, lalu bangun meninggalkan para jemaah. Beliau berkata: “Lihat golongan ini, aku sedang mengajar mereka apa yang aku pelajari daripada Nabi s.a.w., tiba-tiba mereka sibuk menceritakan perkara lain. Lebih baik bagiku untuk keluar dari tempat ini dan aku takkan kembali lagi”.

Berilah penumpuan terhadap ilmu yang disampaikan agar difahami dan dapat diamalkan.


Abi Hazim lantas bertanya kepadanya: “Ke manakah tuan akan pergi membawa diri?” Jawabnya: “Aku akan pegi berjihad di jalan Allah.”

Jumaat, Ogos 20, 2010

Anak-anak Yatim diraikan di majlis berbuka puasa

Anak-anak yatim sedang menjamu selera

Puchong, 15 Ogos; Majlis berbuka Puasa untuk meraikan anak-anak yatim dari Rumah Kebajikan Baitul Hidayah Kampung Baru Sri Puchong telah diadakan di Masjid As-Salam.

Intipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Nazir As-Salam pada 20/8/2010

Natijah Ramadhan: Jalan menuju takwa



Bulan Ramadhan merupakan bulan yang agung. Padanya Allah mewajibkan kita berpuasa di siang hari. Pada bulan ini juga Allah Subhanahu Wata'ala telah membuka seluas-luasnya pintu pengampunan, khususnya kepada hamba-hamba-Nya yang mengharapkan keampunan daripada-Nya.

Ini dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sebuah hadith;


"Dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu dari Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sabdanya: Sesiapa yang mengerjakan puasa Bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Ta'ala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu".
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Oleh itu, marilah kita bersama bertaubat dan merafa' sembah memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wata'ala atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan. Betapa hinanya kita, sanggup menderhakai Allah Subhanahu Wata'ala sedangkan dalam masa yang sama kita masih hidup, makan dan minum rezeki milik Allah Subhanahu Wata'ala.


Agungnya Ramadhan juga kerana Al-Quran mula diturunkan pada bulan ini. Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah Al-Baqarah, ayat 185 :
"(Masa yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah".



Ramadhan menjadi cukup istimewa kerana Allah Subhanahu Wata'ala menjadikan di dalamnya malam Al-Qadr yang mempunyai ganjaran yang amat besar. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman di dalam surah Al-Qadr ayat 1 hingga 5:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam al-qadr; dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-qadr itu?. Malam al-qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka, untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar".


Islam sebagai agama yang progresif sentiasa mengajak umatnya supaya meningkatkan usaha pembaikan dalam setiap masa dan waktu dalam kehidupan. Usaha perubahan merupakan suatu yang wajib dilakukan oleh setiap individu muslim demi mencapai kemajuan dan kejayaan di dunia dan akhirat.


Oleh itu, Ramadhan merupakan bulan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita untuk melaksanakan usaha-usaha perubahan, tajdid dan Islah pada diri, keluarga, masyarakat dan negara dari sudut rohani dan jasmani. Ini boleh dicapai dengan kita memperbanyakkan amalan zikir, selawat, bersolat dan memelihara anggota tubuh zahir dan batin daripada melakukan perkara-perkara lagha (sia-sia) dan maksiRamadhan juga merupakan bulan jihad. Di dalam bulan ini kita diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala supaya berjihad melawan musuh yang berada di dalam diri manusia iaitu hawa nafsu.


Sesungguhnya seorang insan yang istiqamah melaksanakan kebaikan sebenarnya mereka telah memanfaatkan senjata ketaatan untuk memerangi hawa nafsu agar sentiasa terdidik untuk setia patuh kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
"Orang yang mujahid itu ialah orang yang berjihad melawan nafsu dan menundukkannya supaya patuh kepada Allah Subhanahu Wata'ala".
(Riwayat At-Tarmizi)


Sekiranya nafsu dapat dididik, maka akan lahirlah manusia yang cemerlang akhlak dan budi pekertinya. Sesungguhnya Ramadhan adalah medan terbaik untuk membentuk jiwa dan mendidik nafsu demi mencapai darjat hamba Allah yang bertaqwa.

Ramadhan merupakan bulan tarbiyyah diri dan kehidupan. Ia merupakan bulan untuk seorang muslim itu melatih dirinya agar sentiasa setia, taat dan patuh kepada segala suruhan dan perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Melalui sikap ini, akan melahirkan individu muslim yang memiliki akhlak, sikap dan syakhsiah yang mulia sesuai dengan tuntutan Ilahi yang menjadikan kita sebagai makhluk ciptaan yang terbaik.


Sepanjang sebulan Ramadhan kita dididik dan ditarbiyyah supaya bersifat sabar, sentiasa melakukan kebaikan, menjaga lidah dan perbuatan dan mendidik hati dan nafsu.


Oleh sebab itu, sepanjang bulan Ramadhan ini, Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menyuruh kita memperbanyakkan amal kebaikan dan menjauhi kemungkaran sebagai tarbiyyah diri dan jiwa kita demi mencapai darjat taqwa yang merupakan kunci kejayaan insan di dunia hingga akhirat.

Bulan Ramadhan juga berperanan untuk membangunkan jiwa. Amal-amal ibadah yang dihidangkan sepanjang bulan Ramadhan merupakan makanan yang mengenyangkan jiwa dan hati kita. Selama 11 bulan kita mengenyangkan perut kita dengan makanan yang lazat, maka Ramadhan datang bukan untuk mengenyangkan jasad kita sebaliknya ia datang untuk menyuburkan jiwa kita.


Apabila jiwa kita kenyang dengan amal-amal ma'ruf, maka ia akan hidup segar memberi sinar hidayah dan kekuatan rohani manusia. Manusia yang hidup dengan jiwa yang hidup dan hati yang suci bersih akan melahirkan manusia yang berakhlak mulia dan memiliki syakhsiah serta budi pekerti yang luhur.


Segala tindakan, pemikiran dan ucapan kita yang keluar dari jiwa yang suci bersih akan memberi manfaat kepada makhluk di sekeliling kita dan membangunkan juga jiwa mereka untuk menyebar-luaskan kebaikan ke seluruh alam.


Melalui ibadah puasa yang dilakukan dengan kesungguhan dihiasi pula dengan amal-amal ibadah yang lain seperti menyantuni golongan fakir, miskin dan anak-anak yatim, menunaikan zakat, bersedekah, memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir, bertarawih, berqiamullail dan lain-lain, sebenarnya ia merupakan ubat yang paling mujarab untuk membersihkan jiwa kita daripada kuman-kuman mazmumah di samping mendorong kita kepada kehidupan yang bahagia dan diredhai Allah Subhanahu Wata'ala.


Rasulullah Sallallahu ‘Alai Wasallam telah bersabda seperti diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin ‘Auf Radhiallahu ‘Anhu, maksudnya:


"Sesungguhnya Allah telah memfardhukan puasa Ramadhan dan aku sunatkan bagi kamu menghidupkan malamnya, maka sesiapa yang berpuasa dan melakukan ibadah qiam (ibadah malam) disertai dengan keimanan dan kerana menuntut keredhaan Allah, nescaya kelak dia bersih dari dosa-dosanya seperti pada hari dia dilahirkan oleh ibunya".
(Riwayat Ibn Majah)


Bulan Ramadhan adalah bulan kebajikan. Ia merupakan hadiah Allah Subhanahu Wata'ala kepada seluruh makhluknya. Beruntunglah kepada sesiapa yang berusaha merebut seberapa banyak hadiah Allah yang disediakan sepanjang bulan Ramadhan.


Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan hadiah kasih sayang, keampunan dan syurga kepada hamba-hamba-Nya yang soleh. Inilah merupakan kebajikan yang cukup agung yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada makhluk-makhluk-Nya.


Tunaikanlah kewajipan berzakat dan perbanyakkanlah bersedekah di dalam bulan ini, kerana bagi setiap kebajikan yang dilakukan, Allah menjanjikan gandaan pahala yang tidak terkira banyaknya.


Dari Salman Radhiallahu ‘Anhu katanya, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah berucap kepada kami pada hari yang akhir dari Bulan Sya'aban sabdanya yang bermaksud;
"Barangsiapa mendampingkan diri kepada Allah dalam Bulan Ramadhan dengan sesuatu dari perkara kebajikan, samalah seperti ia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu, samalah seperti ia menunaikan tujuh puluh perkara yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain".
(Riwayat Ibn Khuzaimah)


Dalam sebuah hadith qudsi, Nabi Sallallahu ‘Alahi Wasallam meriwayatkan dari Allah Subhanahu Wata'ala Firman-Nya:
Semua amal anak Adam digandakan pahalanya dari sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa. Maka puasa itu hanya untuk-Ku dan Akulah yang akan membalasnya. Dia meninggalkan keinginan syahwat, makan dan minum kerana-Ku".
(Riwayat Muslim)


Maka beruntunglah kepada sesiapa yang merebut peluang yang Allah sediakan ini dengan memperbanyakkan amal ibadah dan rugilah orang yang mensia-siakan peluang ini dengan kekal melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.


Buat akhirnya, marilah kita merenung kepada diri kita. Adakah Ramadhan yang telah dilalui benar-benar membawa kesan yang baik kepada diri kita. Sekiranya kita merasakan bahawa Ramadhan yang lalu banyak kekurangan yang berlaku, pastikan Ramadhan kali ini benar-benar membawa perubahan yang besar dalam kehidupan kita. Ini termasuklah melaksanakan Solat Tarawih 20 rakaat sepertimana ia dilaksanakan di Masjidil-Haram, Mekah dan Masjidin- Nabawi, Madinah serta bertadarus Al-Quran.


Bersyukurlah kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana atas izin-Nya jua, kita dapat menikmati bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. Marilah kita membuktikan tanda syukur kita dengan bermujahadah melaksanakan usaha yang terbaik demi mencapai wawasan yang dinyatakan di dalam Al-Quran iaitu sebagai hamba Allah yang bertaqwa, Insya-Allah.


Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor

Persiapan berbuka puasa oleh Jawatan kuasa Ramadhan

En Norafizan, Pengerusi Jawatan kuasa Ramadhan dan Sukarelawan sibuk membuat persiapan untuk memasak





Ikan-ikan dicuci oleh sukarelawan sebelum proses memasak bermula

Sebahagian AJK menyediakan bahan-bahan mentah yang lain

Sayur-sayur dipotong dan dibersihkan

En Shah membantu tukang masak di bahagian dapor





Tn Hj Ahmad (berkopiah) memasukkan rempah-rempah untuk dimasak


Tn Hj Samad Md Da, tenaga penting dalam jawatankuasa Ramadhan ini

Hj Samad tersenyum riang setelah kerja-kerja penyediaan makanan selesai

Kerja-kerja pembersihan peralatan berjalan terus

Sukarelawan sedang tekun memastikan masakan terbaik dan berkualiti dihidangkan semasa berbuka puasa nanti


Sukarelawan sedang berihat setelah kerja-kerja menyediakan makanan selesai

Gotong-royong memindahkan gulai daripada periuk besar ke bekas penghidang

Tn Hj Abdullah (berkopiah putih) merupakan antara tukang masak yang memberi khidmat di Masjid As-Salam


Suasana Majlis Berbuka Puasa di Masjid As-Salam


AJK Ramadhan sibuk menyediakan makanan kepada jemaah

Setiap hari disepanjang bulan Ramadhan, Masjid As-Salam ada menyediakan "berbuka puasa" kepada musafir dan jemaah.
Jawatankuasa Ramadhan yang terlibat dengan majlis berbuka puasa ini telah membentuk sukarelawan untuk membantu dalam memasak dan menyediakan makanan setiap hari sekiranya tidak ada penajaan makanan daripada pihak luar.










Majlis Pengislaman Warga Negara Cameroon Afrika Selatan

Ust Khairudin menerangkan kalimah syahadah kepada En Takui

Puchong, 11 Ogos: Satu majlis ringkas Pengislaman Warga Negara Cameroon Afrika Selatan telah diadakan di Masjid As-Salam. Seorang warga Afrika En Takui telah dengan rela hati menyatakan hasrat untuk memeluk Islam.

Pernyataan Syahadah telah diketuai oleh Ust Khairudin b. Malik, Imam III Masjid As-Salam dan telah disaksikan oleh Imam Muda Ust Firdaus serta para jemaah yang lain.

En Takui telah memilih nama Islamnya "Salman Takui" setelah dicadangkan oleh Ust Khairudin. Majlis ringkas ini berakhir dengan bacaan doa selamat oleh Ust Khairuddin.



Para jemaah sedang sama-sama berdoa memohon keberkatan

Pengucapan syahadah oleh En Takui

Para jemaah mengucapkan tahniah kepada En Takui diakhir majlis


AJK Ramadhan mencari Penaja Majlis Berbuka Puasa


En Ery Sudirman (baju kuning) yang merupakan setiausaha Jawatan kuasa Ramadhan sedang berbincang dengan "Penaja" Majlis Berbuka Puasa

Jawatankuasa Ramadhan Masjid As-Salam telah dibentuk pada awal bulan Julai 2010 untuk merancang dan menguruskan aktiviti pengimarahan Masjid disepanjang bulan Ramadhan ini.

Pengerusinya En Norafizan b. Ibrahim memaklumkan untuk memastikan perjalanan pengurusan aktiviti sepanjang bulan Ramadhan pada tahun ini berjalan dengan baik beberapa pelan tindakan telah diatur lebih awal.
Antaranya adalah mencari "Penaja" untuk menaja majlis berbuka puasa di Masjid. Makluman dan borang-borang telah diedar untuk memudahkan jemaah merancang tentang penajaan berbuka puasa ini.
Imam Muda Ust Firdaus menerima pengesahan Penajaan daripada Restoran Syed Bistro Puchong

Penajaan diterima daripada Usahawan disekitar Puchong


Penajaan diterima daripada Wakil Restoran Thai Alisara Puchong Indah


Pengesahan penajaan diterima daripada Restoran Benasir di Puchong Indah

AJK Ramadhan menerima sumbangan gula daripada penaja

Rabu, Ogos 18, 2010

Menara jam tertinggi di dunia di Mekah

RIYADH, Pembangunan bandar suci Mekah telah mendirikan sebuah hotel mewah yang akan menjadi bangunan tertinggi kedua di dunia. Bangunan tersebut mempuyai sebuah menara jam tertinggi dan terbesar di dunia.

Menara jam raksasa tersebut yang diberi nama Mecca Royal Clock direka oleh syarikat dari Jerman merupakan jam raksasa yang 6 kali lebih besar jam Big Ben di London. Menara jam tersebut mempunyai ketinggian 577 Meter yang mempunyai 4 pandangan sisi.

Bangunan hotel yang terletak jam tertinggi di dunia ini sedang dibina tersebut mempunyai ketinggian 622 meter dan puncak menara tersebut dibuat dari logam berbentuk bulan sabit setinggi 155 meter.

Jika kedua bahagian itu digabungkan, maka hotel yang dibangun di kota Mekah itu hanya 11 meter lebih pendek dari Burj Khalifa, bangunan paling tinggi di dunia yang puncaknya yang mempunyai ketinggian 828 meter.

Jam besar Jam Diraja Mekah itu dapat dilihat dari jarak 17 kilometer pada malam hari dan 11-12 kilometer di siang hari. Jam tertinggi di dunia ini telah mula berdetik pada 1 Ramadhan, 11 Ogos 2010 yang lalu untuk ujian oleh kerajaan Saudi.

Berikut adalah gambar jam tertinggi di dunia ini dan hotel tersebut dari pelbagai pandangan sudut dari Kota Suci Mekah.






Grab this Widget ~ Blogger Accessories