Rabu, Julai 07, 2010

Majlis Mesyuarat Pengerusi dan Setiausaha Surau Kariah Masjid As-Salam dibentuk

Majlis Mesyuarat Pengerusi dan Setiausaha Surau sedang berlangsung


Ahad 4 Julai 2010 - Majlis Mesyuarat Pengerusi dan Setiausaha Surau-surau Kariah Masjid As-Salam terbentuk dalam satu perjumpaan dua hala antara Masjid As-Salam bersama surau-surau di bawahnya.


Cuma kali ini ia agak berbeza dari yang lepas. Hanya Pengerusi dan Setiausaha sahaja yang dipanggil bagi membincangkan isu dari sudut yang lebih dekat, permasalahan, cadangan dan penyelesaian.

Tuan Nazir sedang menjelaskan objektif penubuhan Majlis Mesyuarat ini

Majlis Mesyuarat Pengerusi dan Setiausaha Surau terbentuk hasil idea daripada Tuan Nazir Masjid As-Salam, Tuan Haji Yasim Mohamed untuk melicinkan "net-working" yang wujud dalam pentadbiran dan pengurusan surau di Kariah Masjid As-Salam.

Pengerusi-pengerusi Surau mendengar penjelasan oleh Tuan Nazir dengan tekun

Medium komunikasi ini lebih menjurus ke arah memahami tanggungjawab, amanah serta pengorbanan yang perlu ada pada seseorang yang telah dilantik serta dipilih oleh anak kariah untuk memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.

Itulah sebenarnya sifat yang perlu dimiliki seseorang yang bergelar Pengerusi mahupun sebagai Nazir. Tuan Haji Yasim sendiri turut berkongsi pengalamannya semenjak beliau dipilih menjadi Nazir Masjid As-Salam, berbagai-bagai jenis ragam masalah yang dihadapinya dari anak kariah, dan untuk menghadapinya perlu ada sifat kesabaran serta pengorbanan, lebih-lebih lagi beliau tidak dapat mengendalikan urusan berkenaan Masjid mahupun anak kariah itu sepenuh masa kerana komitmen kerja mahupun keluarga perlu juga di titik beratkan.

En Suhaimi Ishak, Setiausaha Majlis Mesyuarat Pengerusi dan Setiausaha Surau membuat catitan semasa mesyuarat berjalan.

Kata Tuan Haji Yasim lagi, kita perlu ada daya pemikiran yang “smart” untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu, dan yang paling penting ialah apa yang kita lakukan itu semata-mata kerana”Allah ta’ala”.

Kata-kata ucapan dari Tuan Haji Yasim itu sebenarnya lebih ke arah untuk memotivasikan seluruh Pengerusi surau-surau agar mereka selepas ini dapat menjalankan amanah dengan lebih baik dan berkesan.

Disamping menguruskan Masjid As-Salam, Tuan Haji Yasim tidak pernah lupa akan tanggungjawab pada 15 buah surau dibawahnya, ini adalah kerana kekerapan pertemuan mahupun program-program bersama akan diadakan dari masa ke semasa bagi memastikan hubungan baik dua hala ini akan kekal.

Antara program-program yang telah dirangka pada masa hadapan oleh pihak Masjid As-Salam ialah, kursus “azan & iqamah” untuk bilal surau, solat terawih bersama imam Masjid As-Salam, sambutan hari kebesaran dalam islam, lawatan Biro Dakwah ke Surau-surau dan berbagai-bagai lagi.

Di dalam pertemuan ini juga, Tuan Haji Yasim memberi peluang kepada setiap Pengerusi untuk mengemukakan persoalan atau luahan masalah dan cadangan untuk dibincangkan bagi mencari jalan penyelesaian.

Sessi soal jawab bersama Tuan Nazir

Antara soalan dan permasalahan yang dibangkitkan ialah berkenaan jurunikah yang boleh dikatakan anak kariah setempat di surau masing-masing belum mengenalinya, sehubungan itu pihak Masjid As-Salam telah membekalkan setiap surau dengan satu memo beserta gambar dan maklumat berkenaan jurunikah agar mudah dihubungi.

Untuk memudahkan anak kariah yang melayari blog Masjid As-Salam mendapatkan maklumat mengenai jurunikah yang dilantik oleh JAIS dikawasan Puchong, bolehlah menghubungi terus Tuan Haji Ahmad b. Hassan di nombor 017-6350661.

Wakil daripada Surau Raayah Puchong Permai mengemukakan cadangan

Turut di sentuh lagi mengenai amil zakat kawasan dan masalah kewangan. Tuan Haji Yasim juga menyarankan agar setiap surau mencontohi Biro Ekonomi Masjid As-Salam bagaimana mereka dapat membantu menambah dana ekonomi Masjid, ini bermakna Masjid As-Salam tidak hanya mengharap infak dari anak kariah semata-mata, setiap Pengerusi perlu memainkan peranan bersama ajk masing-masing untuk memikirkan bagaimana harus untuk menambah dana surau.

Pengerusi surau Al-Mawaddah Puchong Prima, Tuan Haji Razak turut meminta cadangan dari semua yang hadir dalam pertemuan tersebut untuk memberi pendapat bagaimana cara untuk beliau usahakan bagi mendapat sumber wang tunai yang agak tinggi jumlahnya untuk membuat pengubahsuaian membesarkan surau.

Tuan Nazir menjawab semua persoalan yang dikemukakan

Permasalahan ini timbul kerana strutur asal surau Al-Mawaddah hanya mampu menampung 40 jemaah sekali solat, sedangkan suraunya bukan hanya dikunjungi oleh anak kariah setempat, malahan turut dikunjungi oleh penduduk kawasan perumahan bersebelahannya.

Kata Haji Razak lagi, hingga setakat ini mereka hanya mampu mengumpul dana berjumlah RM65,000 sahaja, dan kos sebenar pembinaan keseluruhan berjumlah RM200,000.

Pertemuan yang bermula jam 0930 malam ini berakhir pada jam 1100 malam, Tuan Haji Yasim juga mengingatkan kepada semua Pengerusi bahawa pertemuan seumpama ini akan diadakan mugkin dalam sebulan atau 2 bulan lagi, maka setiap Pengerusi perlu memberi komitmen yang lebih baik di masa-masa akan datang.

Afizan,
Melaporkan untuk mesyuarat Pengerusi surau-surau bersama Nazir Masjid As-Salam
Gambar,
Husin Hasran

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories