Jumaat, Julai 30, 2010

Intipati khutbah Jumaat yang telah disampaikan oleh Nazir As-Salam pada 30/7/2010


Menghargai Pengorbanan Pahlawan

Pahlawan adalah benteng negara, tanpa pahlawan, negara sentiasa terdedah dengan ancaman musuh, maka kerana itu kalau kita sayangkan negara, kita mestilah sanggup memberi pengorbanan untuk mempertahankan negara daripada musuh yang menggugat keselamatan dan segala bentuk pencerobohan dan penjajahan.

Tanggungjawab menjaga keselamatan negara adalah tanggungjawab setiap rakyat. Islam mengajar kita supaya cintakan negara, kerana cintakan negara itu sebahagian dari tanda adanya iman. Menjaga negara tidak hanya sekadar menjaganya dari serangan musuh yang menggugat keamanan, tetapi juga dalam pengertian yang lebih luas, iaitu menjaga maruah negara dari segala anasir yang boleh merosakkan akidah, syariah, akhlak dan pemikiran rakyat, yang akhirnya akan menghancurkan kebahagiaan hidup seluruhnya.

Dalam hal tersebut, Rasulullah s.a.w. sangat tegas dan pantas bertindak menyelamatkan negara Islam yang Baginda tubuhkan bersama-sama para sahabatnya, dalam tempoh hanya 10 tahun negara Islam Madinah didirikan lebih 100 kali peperangan menentang musuh telah Rasulullah s.a.w. lakukan. Semata-mata dengan tujuan menjaga akidah, syariah, akhlak dan pemikiran umat Islam agar terus terpelihara dan dapat bertahan.

Sejarah keberanian dan kepahlawanan sahabat, sama ada lelaki mahu pun wanita telah dirakam oIeh sejarah Islam sehingga ada yang syahid seperti dalam Peperangan Badar Kubra, seramai 14 orang Islam terkorban syahid, begitu juga dengan Peperangan Uhud yang terkorban syahid seramai 70 orang. Sejarah Islam juga merakamkan kepahlawanan wanita Islam yang sama-sama terlibat dalam peperangan mempertahankan Rasulullah s.a.w. sebagai serikandi wanita yang berani.

Sekiranya Napoleon Bonaparte di Eropah mempunyai Beureta dan Agustina Saragaso sebagai pahlawan serikandi agungnya yang diberi penghormatan tinggi negara dalam Sejarah Eropah. maka Islam banyak menampilkan serikandi pahlawan wanita muslimatnya, contoh seperti Aisyah dan Ummu Salim serta wanita-wanita daripada Bani Jahsyin bin Bakr dalam Peperangan Uhud, seperti Ummu Ruqaidah, Ummu Ziyad, Asiah dan Ummu ‘Attiyah dan anak perempuan Mu'az (Rabi') yang menjadi pahlawan serikandi dalam Peperangan Khaibar dan tujuh peperangan yang lain. Dalam Peperangan Khandaq, Safiah (ibu saudara Rasulullah s.a.w.) dengan sebatang kayu khemah tampil menyerang Yahudi Bani Quraizah dan membunuhnya serta-merta.

Kalau Serikandi Wanita Islam membuktikan keberanian mereka, maka sejarah Islam tidak lupa merakamkan kepahlawanan para sahabat seperti Sa'ad Aljumahi, Abdullah bin Huzaifah, Abdullah bin Mas'ud, Salman Al-Farisi, ‘Ikrimah Al-Makhzumi, ‘Adi bin Khatim, Abdullah bin Ummu Maktum, Abdullah bin ‘Abbas, Shohaib Ar-Rumi, Zaid bin Harithah, Usamah bin Zaid, ‘Umair bin Sa'ad serta beratus-ratus pahlawan lagi yang syahid, berjiwa berani, ikhlas kerana Allah mempertahankan agama, akidah dan syariah serta Daulatul-Islamiah.

Contoh-contoh kepahlawanan sahabat yang disebutkan tadi, adalah pahlawan Islam sebenar yang berjuang atas dasar akidah, syariah dan akhlak Islam yang tinggi, berani kerana Allah, sanggup mati syahid mengharap keredhaan Allah dan ia menjadi pra-syarat kemenangan Islam dan keutuhan Daulatul-Islamiah yang dibina, serta keamanan dan kesejahteraan umat Islam yang duduk bernaung di bawahnya.Kerana itu pahlawan yang berjuang kerana Allah untuk mempertahankan agama dijanjikan ganjaran yang sangat tinggi nilainya, seperti sabda Rasulullah s.a.w.;
(Riwayat Al-Bukhari).
"Berjuang di jalan Allah satu hari, lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di atasnya".

Hadith tersebut membuktikan bahawa mereka yang memperjuangkan akidah, syariah dan akhlak Islam, sebagai agama yang mulia dan tinggi, mempertahankan Seruan Dakwah dan kedaulatan hukum-hakam Allah, lalu ia gugur tewas, mati mereka diberi ganjaran syahid, kehidupan mereka dinilai tinggi lebih dari nilai dunia dan segala isinya.

Negara kita Malaysia telah bebas dari penjajah Inggeris semenjak lebih 50 tahun yang lampau, perajurit kita telah berjuang mempertahankan negara menghalau komunis yang mengambil kesempatan untuk berkuasa, ke hutan belantara mereka redah, ke gunung mereka daki, ke lurah paya mereka harungi. Mereka diserang hendap, hujan peluru mereka tempuhi, jerangkap samar mereka jejaki, kedinginan malam dalam hutan belantara menjadi selimut tebal mereka, ada yang terkorban meninggalkan anak dan isteri tercinta, ada yang masih hidup membawa derita kaki terpotong, tangan terputus menjadi kudung.

Ada antara pahlawan yang menerima pingat penghargaan, ada juga yang tinggal kenangan pahit sebagai ingatan menanti saat-saat kematian, sebagai pahlawan tanahair yang tercinta, mereka adalah pahlawan gagah yang kita banggakan, mungkin mereka saudara-mara kita, jiran tetangga kita, bapa atau datuk kita sendiri. Ucapkanlah tahniah tanda penghargaan kita kepada mereka, doakanlah mereka semoga Allah menerima jasa besar mereka sebagai pahala jihad di jalan Allah Subhanahu Wata'ala. Kepada mereka yang pergi, kita doakan semoga roh mereka dicucuri rahmat oIeh Allah, diampunkan dosa kesalahan mereka, dikurniakan syafa'at melalui nabi Muhammad s.a.w. dan mendapat kebahagiaan di akhirat.

Pahlawan terbilang bukan sahaja dari kalangan tentera bersenjata yang menggempur musuh di perbatasan, tidak terkecuali juga dari kalangan pemimpin-pemimpin yang ikhlas berjuang di jalan Allah, ulama'-ulama' yang sedar dan insaf atas tanggungjawab dan amanah menyedarkan masyarakat tentang cintakan negara dan mulianya berjihad mempertahankan negara atas dasar agama.

Mereka itu antaranya seperti Tok Ku Paloh dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbung yang menentang penjajah British di Terengganu, Tok Janggut atau Tuan Guru Haji Hasan bin Munas di Kelantan yang syahid dibunuh, Mat Kilau di Pahang, Datuk Bahaman, Datuk Maharaja Lela, juga nama-nama terkenal seperti Dr. Burhanuddin Al-Hilmi dan ustaz Abu Bakr Baqir dari Gunung Semanggul, Perak, di mana penjajah dan orang yang memusuhi pergerakan mereka menggelarkan pergerakannya sebagai "Bahaya yang turun dari gunung".
Begitulah mehnah, dugaan dan cabaran yang terus-menerus menghimpit setiap pahlawan dan pejuang tanahair, namun tanpa rasa jemu, kecewa dan hampa, matlamat perjuangan terus dikejar, ‘akidah dipegang, syariat dijunjung, keikhlasan hati berjuang kerana Allah tetap dicari dalam mempertahankan negara, agama dan bangsa muslim yang mengejar janji Allah, mereka yang berjuang kerana Allah, Allah pasti akan mengukuhkan perjuangan mereka. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Muhammad ayat 7:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah (memperjuangkan agamanya), pasti Allah akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu".

Pahlawan yang sebenar ialah mereka yang berjuang untuk semua manusia, tanpa mengira bangsa, bahasa, keturunan, pangkat dan di mana sahaja negeri tempat mereka berteduh, perjuangan atas dasar faham ‘asabiyyah dan perkauman dilarang oIeh Islam, perjuangan kerana merebut harta, nama untuk disanjung-sanjung dan ingin kedudukan yang baik, maka tidak boleh diterima sebagai pahlawan yang berjuang di jalan Allah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang ditanya oIeh seorang lelaki tentang hakikat sebenar perjuangan;

(Riwayat Al-Bukhari).
"Ada pahlawan yang berperang kerana mengharapkan harta, ada pahlawan yang berperang untuk mendapat kemasyhuran dan ada pahlawan
yang berperang supaya diberi jawatan atau kedudukan yang baik, maka yang mana satukah pejuang di jalan Allah? Nabi menjawab; Sesiapa yang berperang meninggikan kalimah Allah yang tinggi, maka dialah sebenar-benar pahlawan yang berjuang di jalan Allah".

Saya menyeru kepada semua umat Islam, marilah kita sama-sama menghargai pengorbanan dan perjuangan pahlawan-pahlawan kita dengan:

1- Memandang tinggi pahlawan-pahlawan yang mempertahankan negara, menjaga keselamatan dan keamanan hidup rakyat, terutama yang mempertahankan kesucian agama Islam yang kita sanjung tinggi kerana sikap cintakan negara itu adalah sebahagian daripada iman.
2- Semangat kepahlawanan para sahabat yang menjaga negara dan agama, wajib dicontohi oIeh setiap orang pahlawan kita, jika kita inginkan keredhaan Allah dan ganjaran yang tinggi, sebagai pahala jihad di sisi Allah.
3- Semangat berani dan sanggup menggadai nyawa untuk syahid demi berjuang mempertahankan agama dan negara, wajib ada dalam setiap jiwa umat Islam.
4- Sejarah kepahlawanan sebenar dari kalangan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w., harus menjadi sukatan atau Modul Pembentukan Jiwa Remaja bakal pemimpin dan pahlawan yang cintakan tanahair.
5- Semangat mempertahankan akidah, syariah, jihad dan akhlak Islam, mesti bersepadu dengan setiap latihan dan pembentukan pahlawan negara agar perjuangan pahlawan dicintai dan diredhai oIeh Allah sebagai pahlawan yang sebenar-benarnya.
6- Kemerdekaan dan hak-hak rakyat mestilah dipelihara dan dilindungi tanpa diceroboh oIeh golongan yang mahu merampas hasil perjuangan leluhur silam dengan merenggut kemerdekaan umat dengan cara menakut-nakutkan mereka dengan dakwah dan gendang Islam yang dihubung-kaitkan dengan keganasan. Sehingga akhirnya Hak-hak Asasi Rakyat dan orang ramai dicerobohi sewenang-wenangnya atas dakwaan palsu demi menjaga keamanan.

Sesungguhnya penghargaan pahlawan silam ialah dengan mempertahankan ciri-ciri kebebasan dan kemerdekaan itu sendiri daripada sebarang gugatan.


Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor

Majlis Hi-Tea meraikan Pegawai dan kakitangan Masjid As-Salam Puchong Perdana


Pada hari Ahad 25 Julai 2010 yang lalu, satu majlis hi-tea telah diadakan untuk meraikan Pegawai dan kakitangan Masjid As-Salam Puchong Perdana di Hotel De Palma Shah Alam.
Nazir Masjid As-Salam Tuan Haji Yasim Mohamed dalam ucapan ringkasnya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan masjid diatas kerjasama dan komitmen yang diberikan disepanjang beliau menerajui Pentadbiran Masjid As-Salam sejak 1 Jun 2009 yang lalu.

Tuan Nazir menegaskan tentang perlunya perubahan kepada apa yang kita lakukan selama ini supaya impak kepada anak kariah dapat dilihat dan dirasai. "Perkhidmatan berkualiti" menjadi fokus utama untuk fasa yang kedua ini.


Pegawai Masjid seperti Imam, Bilal dan Siak hendaklah lebih kreatif dalam melaksanakan tugasan harian. Kreativiti dalam tugasan ini hanya akan lahir bilamana kita laksanakan sesuatu tanggungjawab itu dengan penuh keikhlasan semata-mata mencari keredhaan Allah swt. Aspek kebersihan masjid merupakan satu lagi fokus utama yang diterangkan oleh Tuan Nazir.


Tuan Haji Yasim berharap semua pegawai dan kakitangan masjid bersedia untuk melakukan perubahan dan melaksanakan amanah yang diberi dengan penuh tanggungjawab dan bersama-sama menggalas Visi dan Misi Masjid As-Salam supaya ianya menjadi kenyataan.



Khamis, Julai 29, 2010

Laporan Bergambar Mesyuarat Agong Kali Pertama Masjid As-Salam Puchong Perdana sesi 2009~2012

Barisan Jawatankuasa Masjid As-Salam Sessi 2009~2012

Mesyuarat Agong Kali Pertama Masjid As-Salam Puchong Perdana Sessi 2009-2012 telah berlangsung dengan jayanya pada 24hb Julai 2010.

Persiapan rapi bermula sejak 2 bulan yang lalu bagi memastikan mesyuarat agong pertama ini dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur. Laporan Tahunan Jawatankuasa lengkap telah pun dibukukan dan diedarkan kepada semua anak kariah yang hadir pada mesyuarat tersebut.

Sebanyak 100 buah buku Laporan Mesyuarat Agung telah pun diedarkan dan ini bermakna seramai 100 orang telah hadir untuk mesyuarat kali pertama ini.

Mesyuarat Agong ini telah dipengerusikan oleh Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana Tuan Haji Yasim Bin Mohamed manakala Encik Roslan Hanapiah bertindak selaku Pengerusi Majlis pada hari itu. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana En Sapiyan Md Din.

Tetamu Jemputan yang hadhir pada Mesyuarat Agong tersebut ialah Ust Mohd Nazim bin Suratman, Ketua Unit Pengurusan Masjid, Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Jabatan Agama Islam Selangor.

Berikut adalah perkara-perkara yang dibentangkan pada mesyuarat tersebut:

1. Laporan Tahunan Jawatankuasa Masjid As Salam Sessi 2009-2012.
2. Senarai Jawatankuasa Masjid As Salam Sessi 2009 – 2012.
3. Kehadiran Mesyuarat Jawatankuasa dan Pegawai Tahun 2009 /2010.
4. Laporan Aktiviti Jawatankuasa Jun 2009 - Mei 2010.
5. Laporan Kewangan Berakhir 31 Disember 2009.

Anak kariah yang hadir telah memberikan kerjasama yang baik disepanjang sesi mesyuarat berjalan seiring "tagline" Masjid As-Salam Puchong Perdana iaitu “Masjid As-Salam: Pusat Pengembangan Budaya Toleransi serta Pengembangan Budaya Perdamaian”.

Mesyuarat bermula pada jam 9.45 malam dan berakhir pada 11.30 malam. Anak kariah yang hadir pada mesyuarat tersebut di jamu dengan makan malam sebelum mesyuarat bermula.

Kepada anak kariah yang tidak dapat hadir bersama untuk mesyuarat kali ini boleh mendapatkan laporan mesyuarat tersebut di laman web kami http://masjidas-salam.blogspot.com/ atau e-mailkan ke kami di assalampuchong@gmail.com. Pihak pengurusan laman web dan pengendali e-mail Masjid As-Salam Puchong Perdana akan mengemailkan kembali senaskah laporan Jawatankuasa Mesyuarat Agong Pertama sessi 2009-2010m ke alamat email pelayar blog Masjid As-Salam Puchong Perdana.

Ery Sudirman Basri
Krew blogspot Masjid As-Salam Puchong Perdana
melaporkan.






En Asri Yaakob, Bendahari As-Salam sedang membuat pembentangan





Pn Norazah bt Noh sedang mengemukakan pertanyaan


Pencatit minit: En Rahman dan Hj Azmi Ghani



Pn Noorhanim Ismail, Ketua Biro Hal Ehwal Wanita



En Zakaria Md Ali, Ketua Biro Ekonomi



Rabu, Julai 28, 2010

Laporan Ceramah Khas sempena genap Setahun Pentadbiran Baru Masjid As-Salam


Pada 16 Jun 2010, Satu Ceramah Khas Sempena Genap Setahun Pentadbiran Baru Masjid As-Salam telah diadakan. Ceramah Khas ini telah disampaikan sendiri oleh Nazir Masjid As-Salam Tuan Hj Yasim Mohamed.

Dalam Ceramah Khas ini Tuan Nazir telah menerangkan tentang Perjalanan Pentadbiran Masjid bermula 1hb Jun 2009 sehingga sekarang. Pada enam bulan yang pertama, kita banyak berfokus kepada memperkemaskan skop kerja Pegawai dan kakitangan supaya mereka dapat melaksanakan tugasan selaras dengan skop kerja yang dipersetujui.
Antara perkara-perkara yang dijelaskan oleh Tuan Nazir ialah menjelaskan tentang Senarai 15 Surau yang berada didalam kariah Masjid As-Salam.


Didalam Ceramah Khas ini juga Tuan Nazir menjelaskan secara terperinci berhubung Visi dan Misi Masjid As-Salam Puchong Perdana. Adalah perkara yang amat penting untuk semua jawatankuasa dan Pegawai Masjid memahami tentang Visi dan Misi ini.

Imam Muda Masjid As-Salam Ust Firdaus Al-Hafiz
Tuan Nazir telah mengambil kesempatan untuk menerangkan kepada anak kariah sekalian tentang kemudahan-kemudahan yang ada di Masjid As-Salam.


Di akhir Ceramah Khas ini Tuan Nazir telah memaklumkan tentang perancangan masa depan yang meliputi Perancangan Jangka pendek dan jangka panjang.
Diantara Perancangan Jangka Pendek ialah;
1. Mengadakan Kelas Al-Quran untuk kanak-kanak (antara Maghrib dan Isyak)
2. Program Penghayatan Ramadhan
3. Seminar Kepimpinan untuk Pegawai Masjid dan AJK Surau
4. Jogathon Amal Terbuka As-Salam
5. Karnival Produk Halal
6. Seminar Kewanitaan

Antara Perancangan Jangka Panjang ialah:
1. Mengadakan Program Mini Tahfiz
2. Menubuhkan Sekolah Agama Rakyat
3. Menubuhkan Maahad Tahfiz (Berasrama)

Tuan Hj Yasim mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pegawai dan jawatankuasa Masjid serta anak karaiah sekalian diatas bantuan dan kerjasama yang diberi disepanjang menerajui Pengurusan Masjid As-Salam dan mengharapkan kerjasama dan sokongan yang sebegini berterusan dalam program pengimarahan masjid ini

Ahad, Julai 25, 2010

Kata-kata aluan Nazir As-Salam sempena Mesyuarat Agong Tahunan Kali 01 Sesi 2009 ~ 2012 Masjid As-Salam Puchong Perdana

Segala puji-pujian dipersembahkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam untuk Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabat Baginda seluruhnya.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kerana diberi peluang, ruang dan kesempatan untuk saya menukilkan sepatah dua kata di dalam buku laporan Mesyuarat Agung Tahunan Kali 1 (2009 ~ 2010) Masjid As-Salam Puchong Perdana.
Institusi masjid adalah pengkalan utama kepada pembinaan peradaban dan pembangunan insan disepanjang zaman. Ternyata dalam konteks sejarah, institusi masjid merupakan sebuah institusi yang berkedudukan terpenting dan berperanan besar dalam aspek pendidikan dan pembangunan tamaddun hidup umat sejagat.

Sejak dari zaman Rasulullah saw yang telah membina masjid Quba’ dan dilengkapkan dengan pembinaan Masjid Nabawi, di mana ia telah menjadi batu asas kepada destinasi penting dalam kehidupan umat disepanjang sejarah umat Islam.

Masjid adalah rumah Allah dan juga pusat pembentukan masyarakat yang dapat memainkan peranan ke arah meningkatkan syiar Islam.

Masjid tidak hanya terbatas kepada ibadat khusus sahaja, seperti ibadat solat, sebaliknya, konsep dan falsafah masjid yang telah ditunjukkan dan dipraktikkan oleh sirah Rasulullah SAW merangkumi semua aspek kehidupan termasuk perhubungan di antara manusia dengan Allah dan antara manusia sesama manusia.

Solat berjemaah dimasjid dituntut kerana ganjaran terlalu besar sehingga Rasulullah s.a.w tidak memberi kelonggaran walaupun kepada orang yang buta. Malah Rasulullah s.a.w pernah dalam ucapannya dengan memberi ancaman untuk membakar rumah orang yang tidak pergi berjemaah ke masjid. Solat berjemaah di masjid akan menghasilkan natijah yang berguna untuk diri dan ummah. Antaranya:

1- Membina displin yang tinggi

Penghayatan solat berjemaah pasti mendorong ke arah keadaan dimana setiap hari lima kali orang-orang Islam terutama golongan lelaki berbaris dalam satu saf yang rapi. Keadaan ini sudah pasti melahirkan disiplin yang tinggi, seperti pengurusan masa, pembersihan anggota badan dan pakaian, latihan berhimpun dan berbaris dengan rapi dan teliti.

2- Membina semangat persaudaraan dan kerjasama

Solat berjemaah merupakan wadah perancangan aktiviti sosial, termasuk merancang program gotong-royong, menziarahi anggota jemaah yang sakit, meninggal dunia atau mengalami masalah, tolong-menolong diantara satu dengan yang lain. Keadaan ini sudah pasti mendorong ke arah perpaduan ummah dan jihad yang lebih menepati Ajaran Islam.

Ibadat solat yang melibatkan institusi masjid adalah merupakan program dan wadah yang mengukuhkan lagi pembinaan sahsiah diri dan keluarga yang sekaligus menyatu dan memantapkan perpaduan serta perjuangan umat Islam. Dari sinilah bermulanya titik-tolak pergerakan mereka yang menginginkan kesejahteraan hidup didunia dan diakhirat.

Institusi masjid bukan sekadar medan pengajian ilmu keagamaan semata-mata tetapi diperluaskan skop dan fungsi sebagai pusat perkembangan minda, pusat sosial masyarakat setempat, kegiatan ekonomi, kaunseling, data maklumat penduduk dan pelbagai fungsi lain. Masjid juga seharusnya mempunyai barisan sukarelawan muda yang terdiri dari remaja dan belia yang bertindak sebagai golongan pelapis.

Masjid bukan sahaja indah dari sudut binaannya tetapi juga bersinar dengan pelbagai aktiviti untuk mengukuhkan perpaduan, meningkatkan ilmu pengetahuan, meluaskan semangat persaudaraan dan ikatan kasih sayang sesama Islam.

Oleh itu marilah kita sama-sama meningkatkan pengimarahan masjid kita supaya bertepatan dengan fungsinya yang sebenar dan diredhai Allah s.w.t.

Hj Yasim Mohamed
Nazir
Masjid As-Salam Puchong Perdana
24.7.2010

Rabu, Julai 21, 2010

Program Semarak Ilmu bersama Badan Dakwah Daerah Petaling

Sebahagian jemaah yang mengikuti ceramah tersebut

Pada 18hb Julai 2010 bersamaan 6 Syaaban 1431 Hijrah, bertempat di Surau perkampungan orang asli Taman Saujana Puchong telah berlangsung Program Semarak Ilmu anjuran Badan Dakwah Daerah Petaling.

Ceramah bertajuk " Persiapan Ramadhan" telah disampaikan oleh Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana Tuan Haji Yasim Mohamed atas jemputan daripada Pejabat Orang Besar Daerah Petaling.


Program Semarak Ilmu ini bermula dengan solat Maghrib berjemaah yang telah di Imamkan oleh Ustaz Firdaus Imam 2 Masjid As-Salam Puchong Perdana.

Kesinambungan daripada Program membawa Imam Masjid As-Salam Puchong Perdana bersama dengan masyarakat ini telah memberi impak yang besar kepada Jati diri dan Profesion Imam itu sendiri. Pergaulan dan pendedahan sebegini akan memberi ruang yang luas kepada imam-imam muda untuk mendekati dan berinteraksi dengan masyarakat secara lebih dekat.

Tuan Nazir bersama Penganjur Program, Ust Muhammad (Badan Dakwah Daerah Petaling)

Program Semarak Ilmu adalah lanjutan dari pelbagai program yang dianjurkan oleh Badan Dakwah Daerah Petaling. Pengkhususan diberikan kepada perkampungan orang asli tersebut adalah untuk memberi mereka ruang yang lebih luas kepada ajaran Islam dan membentuk peribadi Muslim yang cemerlang.
Kelihatan Imam Muda Masjid As-Salam Ust Firdaus Al-Hafiz (kiri berserban putih) bersama-sama mengikuti ceramah

Ceramah yang berlangsung selama hampir satu jam tersebut berkisar kepada persediaan yang perlu ada sebagai orang Islam untuk menyambut Bulan Ramadhan pada pertengahan Ogos ini.

Sessi ceramah bermula dengan pengenalan kepada bulan-bulan Islam dan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada bulan-bulan tertentu dalam kalendar Islam. Bermula dari bulan Muharram hinggalah ke bulan Zulhijjah Tuan Nazir telah menerangkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada bulan-bulan tersebut seperti Maal Hijrah, Israk Mikraj dan lain-lain.

Sebahagian daripada jemaah wanita yang mengikuti ceramah


Ceramah tersebut berkisarkepinapakeperluan-keperluan yang perlu disediakan untuk memperolehi keredhaan dari Allah s.w.t bukan setakat berlapar dan haus sahaja disiang hari malah amalan-amalan yang afdhal untuk dilakukan sebagai seorang muslimin yang mantap dari segi pemahaman aqidah dan tidak seperti muslimin yang mengikut sahaja tanpa berilmu.


Objektif Ceramah tersebut diharap akan membuka minda yang lebih luas kepada mualaf-mualaf dikalangan orang asli untuk mengorak langkah yang lebih jitu untuk mencapai dan mengecapi keindahan ajaran agama tauhid yang dibawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad S.a.w.

Ery Sudirman Basri melaporkan bagi
Krew Blogspot Masjid As-Salam Puchong Perdana.

Ceramah Israk Mikraj bersama Nazir As-Salam di Surau Taman Mawar, Kinrara Puchong

Pada 6hb Julai 2010, Encik Hasnizam Bin Hashim AJK SURAU BALAI ISLAM FLAT TAMAN MAWAR, JALAN TK 5/26 TAMAN MAWAR PUCHONG SELAGOR telah bertemu dengan salah seorang AJK Masjid As-Salam Puchong Perdana untuk mendapatkan bantuan bagi mencari Ustaz untuk memberi ceramah Israk Mikraj yang akan diadakan pada 10hb Julai 2010 di Surau Balai Islam Flat Taman Mawar, Kinrara.

Kebetulan saya dan Ketua Biro Kebajikan ada di Pejabat Masjid sedang berbincang sesuatu, kami dikunjungi oleh Encik Hasnizam. Sungguhpun Surau Balai Flat Taman Mawar bukan Surau dibawah kariah Masjid As-Salam Puchong Perdana. Dengan berpegang kepada falsafah ukhuwwah dan merealisasikan visi dan misi Masjid As-Salam Puchong Perdana, kami pihak AJK Masjid As-Salam tidak menolak akan bantuan yang diminta lantas menghulurkan bantuan.

Tuan Nazir Masjid As-Salam terus dihubungi untuk memohon jasa baik beliau menyampaikan ceramah atas Jemputan Surau Flat Taman Mawar tersebut. Dengan rasa hormatnya beliau bersetuju untuk menerima jemputan tersebut sungguhpun pada malam itu ada Majlis Perjumpaan antara Tuan Nazir Masjid As-Salam bersama-sama Pengerusi, Imam, Bilal dan Siak dibawah kariah Masjid As-Salam Puchong Perdana. Rombongan kami sampai di Surau Balai Islam Flat Taman Mawar tepat jam 7.00 petang seperti yang dijanjikan pada 10hb Julai 2010. Imam 1 Masjid As-Salam Ustaz Muhammad Idris Saniman hadir bersama untuk mengimamkan Solat Maghrib dan Isyak berjemaah.


Penglibatan Imam Masjid As-Salam di Program-program ceramah merupakan salah satu pendekatan yang dicetuskan oleh Tuan Nazir Masjid As-Salam untuk memberi pendedahan kepada mereka supaya bersama-sama masyarakat dengan lebih dekat dalam usaha menggerakkan kerja-kerja dakwah untuk melahirkan Masyarakat Penyayang.

Sekian Laporan dari
Ery Sudirman Basri
Biro Pendidikan dan Pembangunan Insan
Masjid As-Salam Puchong Perdana.

Bicara ringkas bersama Ketua Biro Kebajikan Masjid As-Salam

Pada 16hb Julai 2010, krew Blogspot Masjid As-Salam Puchong Perdana sempat menemuramah Ketua Biro Kebajikan Masjid As-Salam Puchong Perdana En Harun Nayan berhubung aktiviti Program Infak yang telah dijalankan.

"Banyak program-program telah diaturkan dan sumbangan yang diberikan kepada mereka-mereka yang kurang bernasib baik seperti golongan miskin telah pun dibuat".

Menurut Encik Harun Nayan lagi, perkara tersebut dapat direalisasikan melalui sebuah khemah yang menempatkan pelbagai barangan keperluan harian yang akan disumbangkan kepada yang berkenaan seperti kopi, gula, susu pekat manis dan beras kampit seberat 10kgs yang ditempatkan di perkarangan Masjid setiap Jumaat.

Untuk pengetahuan pelayar Blogspot Masjid As-Salam Puchong Perdana tidak setakat memberi keperluan asas makanan hatta bantuan dari segi wang ringgit juga diberikan hasil dari Program infak Biro Kebajikan Masjid As-Salam.



Ramai juga anak-anak kariah yang tidak bernasib baik menemui beliau untuk memohon sumbangan dari segi barangan makanan harian dan wang ringgit bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh anak-anak kariah yang tidak berkemampuan.

Dengan adanya Program Infak tersebut, orang ramai berpeluang memberi sumbangan kepada Biro Kebajikan untuk membeli barangan keperluan harian yang akan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan tanpa menunggu dari pihak berwajib untuk meringankan bebanan mereka.
Menurut Ketua Biro Kebajikan lagi program ini telah berjalan sejak 5 bulan yang lalu dan ia banyak dan telah berjaya membantu anak kariah Masjid yang ditimpa musibah dan dalam keadaan yang tertekan dari segi bantuan kewangan dan makanan.

Malahan Program Infak ini telah banyak memberi sumbangan kepada mereka-mereka yang miskin dan memerlukan disekitar kawasan Puchong, Shah Alam dan Bangi.

Selain dari itu, menurut beliau lagi ia dapat juga membantu masyarakat bukan Islam kerana mereka yang kesusahan perlu dibantu tanpa mengira ras agama, bangsa mahupun kaum. Ujarnya lagi, wang derma yang diperolehi memcecah RM300.00 seminggu selain dari sumbangan pihak persendirian yang dermawan.

Laporan ini disediakan oleh
krew Blogspot Masjid As-Salam Puchong Perdana

Grab this Widget ~ Blogger Accessories