Sabtu, Jun 12, 2010

Pelancaran Portal Untuk Kariah Berforum - Yahoo Group


Assalamualaikum wbt. Salam berkunjungan kepada seluruh anak-anak kariah Masjid As-Salam Puchong Perdana. Syukur Alhamdulillah, diberikan sedikit kesempatan dan ruang oleh Allah swt dalam membuat sedikit coretan di pagi yang sungguh indah, hari Sabtu 12 Jun, 2010.


Semenjak dari hampir setengah tahun yang lalu, antara sedar atau tidak saya telah terlalu jarang menghadirkan diri ke Masjid yang bagi saya tiada satu dan tiada dua, iaitu Masjid As-Salam Puchong Perdana. Oleh kerana jarak dan keterbatasan waktu, telah memaksa saya untuk tidak bergiat aktif sepertimana yang sepatutnya. Saya terlalu akur akan permasalahan ini namun, bak kata orang, walaupun jauh di mata, tetapi ianya terlalu dekat di hati. Saya senantiasa mengikuti perkembangan hampir keseluruhan peristiwa di Masjid saban hari melalui blog masjid-assalam ini.


Alhamdulillah. Semakin hari semakin berseri blog masjid dengan kehadiran beberapa penulis dan penelis yang saya fikir dijemput sendiri/khusus oleh nazir dalam usaha yang cukup murni iaitu untuk menyalurkan maklumat kepada anak kariah sebaik yang mungkin. Jelas sekali, kehadiran blog masjid begitu dan amat perlu dalam menyampaikan maklumat tambahan terutama bagi mereka yang kurang berpeluang untuk mengikuti program2 anjuran masjid dengan secara lebih dekat.


Walau bagaimana kecanggih sekalipun blog masjid, masih lagi belum mampu untuk menyampaikan segala macam bentuk maklumat terutamanya maklumat yang berbentuk pandangan dan luahan rasa dari kalangan anak-anak kariah. Umum mengetahui, blog adalah medium yang lebih merupakan satu bentuk penyampaian maklumat secara satu hala, di mana terlalu sedikit ruang diberikan kepada anak-anak kariah berbincang dengan panjang lebar. Perbahasan yang lebih berbentuk satu hala dan kurang "interektif" ini telah sedikit sebanyak menyekat peluang anak-anak kariah berinteraksi secara maya dengan pengurusan masjid.


Maka dengan itu, besandarkan kepada pemintaan dan saranan dari ramai anak-anak kariah, maka pihak masjid, melalui Nazir telah meminta untuk saya membangunkan satu format mudah untuk anak kariah berforum. Apa yang saya lihat, format , merupakan satu bentuk forum formal yang boleh dibincangkan panjang lebar tanpa had terhadap sesuatu isu.


Setelah daripada ini, terpulanglah kepada pihak pengurusan Masjid untuk melihat bagaimana kaedah yang sesuai dalam mengendalikan forum ini, baik dari segi keahlian mahupun dari segi adad-adab berforum. Pada pandangan saya, wajar bagi pengurusan membuat satu garis panduan khusus supaya perjalanan Yahoo Group ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.


Untuk pengetahuan semua, artikel/posting ini hanyalah memaklumkan kesediaan Masjid As-Salam Puchong Perdana menjemput anak-anak kariah berforum, namun dari segi perasmiannya, amat wajarlah dilakukan oleh Nazir masjid sendiri. Maka dengan itu, hanya setelah perasmian dibuat, barulah pendaftaran ahli-ahli akan dibuat mengikut prosedur yang dirancang.


Saya hanyalah sekadar membantu dari jauh, dan saya menaruh harapan yang penuh, sekali lagi, forum Yahoo Group ini mendapat sambutan yang sewajarnya dari anak-anak kariah seterusnya membawa Masjid As-Salam satu tahap lagi kehadapan.

"Selamat Berforum"

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories