Selasa, Jun 29, 2010

Karnival Masjid As-Salam berlangsung dengan penuh meriah


Ahli Panel Forum Perdana Ehwal Islam

Masjid As-Salam sekali lagi telah berjaya membuktikan bahawa Masjid bukan sahaja hanya satu tempat untuk beribadah, tetapi boleh dijadikan sebagai sebuah pusat beriadah mahupun sebagai sebuah pusat bagi penganjuran berbagai program untuk kepentingan anak kariah setempat.



Baru-baru ini pada 26 – 27 Jun boleh dikatakan suasana di Masjid As-Salam agak berbeza dari kebiasaan, bermula dari seawal jam 8.00 pagi hingga ke 1000 malam, Masjid As-Salam tidak putus-putus dikujungi orang ramai. Ini adalah disebabkan satu karnival Masjid telah diadakan diperkarangan parkir Masjid As-Salam, seramai 69 peniaga, 4 agensi kerajaan iaitu BOMBA, AADK, PUSAT ZAKAT dan LPPKN telah mengambil bahagian.


Karnival anjuran Masjid As-Salam bersama JAIS, MAIS, JAKIM dan AMANAH IKHTIAR ini telah merangka berbagai program untuk dipertontonkan kepada orang ramai, antaranya Bengkel seminar HIV / AIDS, pameran, pemeriksaan kesihatan, forum Perdana, pertunjukan seni silat gayong, pertandingan nasyid (peringkat dewasa/ kanak-kanak), sukaneka (dewasa/ kanak-kanak) dan cabutan bertuah.



Biro Ekonomi Masjid As-Salam selaku Biro yang mengurus karnival yang diketuai oleh Encik Zakaria serta beberapa Biro dan NGO seperti Biro Muslimah, Nahi Mungkar, AN-NISA’ turut berganding bahu dalam menjayakan karnival ini.

Pada 26 jun, karnival ini diurus sepenuhnya oleh pertubuhan kebajikan AMANAH IKHTIAR, pada hari tersebut, Tuan Nazir Masjid As-Salam, Tuan Haji Yasim Mohamed telah diberi penghormatan untuk membuat ucapan perasmian.

Selepas dari itu, kesemua aktiviti yang dianjurkan telah berjalan serentak antaranya pertandingan nasyid dan memasak sehinggalah cabutan bertuah yang berlansung disebelah petang.

Selepas solat maghrib, Tuan Haji Yasim berkehendakan agar diadakan solat sunat gerhana bulan yang kebetulan berlaku pada hari yang sama, solat yang dipimpin oleh Imam 2 Ustaz Firdaus dan khutbah disampaikan oleh Imam 1, Ustaz Idris itu dianggarkan 300 jemaah telah hadir.


Bukan itu sahaja, malahan selepas solat sunat tersebut, seluruh jemaah yang hadir dapat bersama-sama melihat Masjid As-Salam menerima saudara baru dari Negara NIGERIA yang ingin memeluk islam.

Keesokan harinya pula, karnival diurus sepenuhnya oleh pihak Masjid As-Salam, peserta kursus haji yang secara kebetulan ada pada hari itu turut bersama memeriahkan karnival tersebut. Sebanyak 25 hadiah cabutan bertuah, 10 kategori sukaneka untuk kanak-kanak dan dewasa diadakan bagi memeriahkan suasana karnival pada hari itu.

Disamping itu, berbagai-bagai gerai jualan dibuka bagi memberi ruang kepada pengunjung karnival membeli belah. Sebelah malam pula, selepas solat solat maghrib, satu Forum Perdana anjuran Masjid As-Salam bersama JAKIM telah diadakan, forum perdana tersebut membabitkan 3 ahli panel yang cukup hebat antaranya Dr Masitah Muhamad Ketua Penolong Pengarah unit STD / AIDS Kementerian Kesihatan Malaysia, Ustaz Farizyan Subki Ketua Dakwah Lembaga Zakat Selangor dan En Zainuddin Ahmad Pengasih Malaysia.

Tuan Haji Yasim pula bertindak sebagai moderator. Istimewanya pada malam itu, En Zainuddin Ahmad sudi berkongsi tentang pengalaman pahit hidupnya sebagai seorang penghidap HIV, dan kini beliau telah membukti bahawa beliau yang asalnya seorang penagih dadah kini telah banyak memberi jasa kepada agama, bangsa dan Negara.
Sepanjang sesi Forum Perdana berlangsung, Tuan Haji Yasim Mohamed selaku moderator telah berjaya menarik perhatian jemaah sekalian dengan berperanan mengajukan soalan-soalan yang cukup teratur dan berkesan sekali gus membuatkan jemaah yang hadir pada malam itu tidak merasa bosan dan sedikit pun tidak berganjak.

Pihak Masjid As-Salam ingin merakam setinggi – tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan karnival ini serta tidak lupa juga kepada anak-anak kariah yang telah menyokong kami dalam penganjuran aktiviti seumpama ini.

Semoga di masa hadapan sokongan seluruh anak kariah akan lebih baik dalam kita sama-sama memastikan VISI DAN MISI Masjid As-Salam tercapai.

Afizan,
Melaporkan untuk Karnival Masjid As-Salam

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories