Sabtu, Jun 26, 2010

Intisari Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Tuan Nazir Masjid As-Salam pada 25-6-2010

Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam pembangunan diri manusia dan tamadun alam seluruhnya. Tuntutan pertama dan utama terhadap manusia ialah saranan menuntut ilmu, kerana ianya merupakan asas pembangunan insan dan kemajuan alam.
Ini telah diperkukuhkan dengan turunnya wahyu pertama yang diterima oIeh Rasulullah s.a.w. dalam surah Al-‘Alaq ayat 1-5 :
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian mahkluk). Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah. Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya".


Intisari ayat ini merupakan asas penting untuk mengubah keadaan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya keilmuan. Mengikut ahli Mufassirin mereka mengatakan surah Al-‘Alaq ini mengandungi tiga perkara besar:


Pertama: Mengenal Allah Rabbul ‘Alamin yang Maha Esa dan Maha Kuasa, yang menghidupkan dan mematikan manusia.

Kedua: Ilmu tentang "manusia dan kemanusiaan" yang telah diciptakan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala dalam sebaik-baik keadaan dan diberikan berbagai-bagai keistimewaan berbanding makhluk-makhluk yang lain.

Ketiga: "Nikmat ilmu pengetahuan" yang telah diajarkan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala kepada manusia melalui pena dan tulisan.

Imam Al-Qurtubi turut mengutarakan bahawa permulaan wahyu yang pertama ini adalah perintah Allah yang ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan umat manusia seluruhnya bahawa membaca, menulis dan mencari ilmu pengetahuan adalah kewajipan yang wajib dilaksanakan. Ia merupakan dasar utama yang diperjuangkan oIeh Islam bagi membangunkan diri insan.

Islam yang di dalamnya tersingkap keindahan ajarannya menggesa umatnya mencari dan mendapatkan ilmu sama ada secara formal atau tidak formal di mana membaca adalah salah satu cara di antara cara-cara tersebut .

Iqra', kalimah pertama yang diturunkan kepada insan terpilih Muhammad Rasulullah s.a.w. Kalimah yang mempunyai hikmah, rahsia dan mukjizat yang tersendiri. Apabila kita menghayati gagasan semangat iqra' yang diceritakan melalui Rasulullah dengan turunnya ayat pertama surah Al-‘Alaq ia boleh membuka minda ummah daripada terpenjara dalam pemikiran yang sempit dan jumud.

Dr. Wahbatuz-Zuhaili menggambarkan bahawa nilai-nilai penting yang ada pada wahyu pertama ini, lebih kepada mengajak manusia bagi memahami kepentingan membaca dan menulis.

Melalui wahyu pertama, Tuhan memberikan mukjizat kepada nabi yang dikenal sebagai buta huruf, hal ini sebagai petanda bahawa Tuhan menganugerahkan kepada manusia "akal" yang menjadikan manusia lebih bernilai berbanding makhluk-Nya yang lain. Manusia dikeluarkan daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya ilmu melalui budaya membaca dan menulis.

Imam Malik mengungkapkan:
"Ilmu itu (umpama) binatang buruan, tulisan itu (laksana) ikatan, ikatlah binatang buruan itu dengan kuat (agar ia tidak dapat lari).

Dengan membaca segala rahsia dapat dibongkar dengan melakukan penyelidikan mendalam dalam semua bidang. Ilmu adalah makanan rohani dan spiritual. Tanpa ilmu, rohani dan spiritual proses perkembangan manusia menjadi tidak seimbang.

Ini yang menyebabkan banyaknya berlaku gejala sosial yang semakin hari semakin bernanah dalam masyarakat kita. Gejala rogol, seks bebas, dadah, arak, judi, termasuk judi bola dan sebagainya menjadi masalah yang tidak selesai sejak dahulu lagi.

Masyarakat Islam terdahulu mengalami ledakan ilmu yang hebat. Daripada ilmu agama hinggalah kepada ilmu berkaitan sains. Munculnya tokoh-tokoh terkenal dan terbilang seperti Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Jabbar, Al-Kindi dan Al-Khawarizmi. Mereka ini bukan sahaja menjadi rujukan umat Islam, tetapi umat seluruh dunia. Ia berlaku di atas penghayatan dan pengaplikasian Konsep Iqra'.

Pengalaman budaya membaca dalam masyarakat kita terutamanya di Malaysia amnya dan di negeri Selangor khususnya masih di tahap sederhana. Statistik yang dikeluarkan berdasarkan kajian profil membaca rakyat Malaysia menunjukkan rakyat Malaysia membaca dua buku setahun. Ini adalah satu peningkatan yang baik berbanding statistik yang sama dibuat pada tahun lapan puluhan.

Pelbagai usaha dilakukan oIeh kerajaan ke arah Bangsa Cintakan Ilmu Cintakan Pembacaan. Setiap tahun selama lima tahun berturut-turut sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor menganjurkan Pesta Buku Negeri Selangor. Pada tahun ini ia akan diadakan dari 25 Jun hingga 5 Julai bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam.

Di samping itu, satu program yang dinamakan ‘Hari Ilmu' dan Gerakan Membaca Perdana Negeri Selangor akan juga diadakan bertempat di Taman Tasik, Shah Alam pada 26 Jun 2010 (Sabtu) bermula jam 8.00 pagi. Semua lapisan masyarakat dijemput hadir dan insya-Allah ianya akan dicatatkan sebagai Acara Membaca Beramai-ramai Terbesar di Malaysia.

Usaha bersepadu ini adalah bagi memastikan budaya ilmu menjadi asas kepada pembangunan dan kemajuan negeri khususnya dan negara amnya. Salah satu kriteria kepada sesebuah negara maju adalah Kemajuan Industri Perbukuan Dan Penulisan di negara tersebut yang sentiasa pesat dan meluas.

Islam adalah agama yang menaungi dunia ilmu. Banyak agama lain yang mencuba menggabungkan antara Dunia Ilmu Sains dengan agama mereka, namun begitu mereka masih gagal.

Islam adalah satu-satunya agama atau ad-din yang dapat menggabung-jalinkan dengan Dunia Sains tanpa sebarang masalah. Islam adalah agama segala cabang ilmu yang bermanfaat. Setiap kalimah dan ayat di dalam Al-Quran adalah kata-kata tersirat yang jika diterjemahkan akan memberikan nilai dan hikmat kepada semua pembacanya.

Untuk menjadi bangsa berilmu, kita seharusnya memohon kepada Allah agar kita diberikan limpahan ilmu yang berguna. Ia tidak akan berlaku semata-mata dengan doa sahaja. Ia perlu dijalankan dengan usaha bersepadu daripada semua pihak.

Pembinaan Perpustakaan Mini atau pun sudut bacaan di rumah-rumah adalah suatu permulaan yang baik. badan-badan kerajaan, tempat-tempat awam dan terutamanya masjid-masjid seharusnya mempunyai perpustakaan tersendiri.

Ilmu yang dicari dan dimiliki begitu sahaja tanpa diamalkan tentu tidak memberi kesan. Sebab itu, mencari ilmu mestilah dengan niat mengamalkannya.

Ini kerana para ulama' Islam ada yang mengingatkan bahawa orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya akan disiksa sebelum penyembah berhala disiksa.

Marilah kita sama-sama meningkatkan usaha mencari ilmu dan beramal dengannya. Semoga dengan usaha dan kegigihan dalam pencarian ilmu ini, kita boleh mengembalikan kegemilangan umat Islam dan menobatkan kembali kekuatan serta kedaulatan Islam bagi kepentingan agama dan negara.

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor

Tiada ulasan:

Grab this Widget ~ Blogger Accessories